Monday, March 8, 2010

Derap Langkah Mujahadah



Dalam derap langkah mujahadah mengejar cinta kepada Ilahi, mendamba kasih daripadaNya, jua mengharap redha daripadaNya, kadang-kadang langkah kita bisa tersungkur dan tersasar.

Mungkin langkah kita yang tergopoh-gapah dek ketidaksabaran untuk tiba ke destinasi atau juga kita tidak berhati-hati dalam setiap langkah, melangkah dengan penuh bangga dan bongkak sehingga tidak mahu langsung menundukkan pandangan ke tanah. Melihat ke bawah, bimbang seandainya ada duri atau kayu menjadi halangan. Dek kesombongan diri, kita tersungkur dan berisiko tersembam ke lopak air yang kotor.
Atau mungkin juga dalam langkah mujahadah ini, mata kita dibentang dengan segala macam kecantikan perhiasan yang terdapat di sepanjang deretan perjalanan. Saat itu langkah terhenti seketika, pandangan mata ibarat terpukau. Langkah kaki diangkat berpaling menuju ke sana, alasannya ingin berehat sebentar dan ingin melepaskan kepenatan. Akhirnya kita lupa kembali melangkah di jalan yang benar.

Namun sedarkah kita, di saat kita tersungkur dan hampir jatuh, ada tangan yang menghulur bantuan untuk kita bangun semula dan membantu membersihkan kotoran yang terpalit pada diri kita. Juga di saat kita tersasar dari jalan ini, ada tangan yang menghulur untuk memimpin kita kembali menemui jalan sebenar. Siapakah mereka?

Merekalah yang kita gelar ‘SAHABAT’. Sama ada kita sedar atau tidak, mereka seikhlasnya menghulur tangan memimpin kita atas dasar ukhwah lillahitaala. Kita tidak melangkah bersendirian, kerana masih ramai lagi yang bersama-sama melangkah di jalan menuju cinta Ilahi ini. Namun kesombongan dan keegoan kita kekadang menolak kehadiran mereka. Sedarlah bahawa kita tak mampu menggapai cinta Ilahi keseorangan, langkah kita mudah longlai dan lemah. Sambutlah huluran tangan mereka, kerana hakikatnya, kasih sayang yang hadir dari mereka adalah kasih sayang Ilahi.

Dari kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman oleh Imam Habib Abdullah Haddad :

1) Apabila seseorang mencintai orang lain, bersahabat dan membiasakan diri dengannya, kerana dilihatnya orang itu mencintai Allah dan taat-setia kepada perintah Allah, maka hal sedemikian itulah yang dikatakan bercinta-cintaan kerana Allah Ta'ala.

2) Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana orang itu membantunya di dalam selok-belok agama, dan mengarahkannya untuk bertaat-setia terhadap Tuhannya, maka hal sedemikian itu juga dikira bercinta-cintaan kerana Allah.

3) Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana orang itu membantunya dalam urusan keduniaan, yang mana dengannya pula ia bisa mengurus urusan akhiratnya, maka itu juga termasuk cinta-mencintai kerana Allah.

4) Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana dirinya merasa senang berkawan dengan orang itu, dan dadanya merasa lapang senang berkawan dengan orang itu, dan dadanya merasa lapang bila duduk bersama-sama dengannya.

5) Ataupun orang itu dapat menolongnya di dalam urusan dunianya, dan di dalam hal-ehwal kehidupannya, yang menerusinya ia bisa hidup senang-lenang, maka cinta serupa itu adalah cinta biasa yang tidak ada kena-mengena sedikit pun dengan Allah.

6) Adapun jika ia bersahabat kepada seseorang, kerana orang itu bisa menemannya untuk pergi ke tempat maksiat, atau membantunya untuk menganiaya orang, ataupun memimpin dan menunjuknya ke jalan-jalan fasik dan mungkar, maka persahabatan serupa itu dan kecintaan serupa itu adalah persahabatan dicela dan kecintaan yang tidak berguna, kerana ia menarik kita ke jalan syaitan, yang tidak kena-mengena dengan Allah.

Buat sahabat-sahabat, terima kasih atas segala kebaikan. Maaf segala kesilapan, maaf jua kerana hakikatnya hamba ini gagal memberi dan menghulur, namun banyak menuntut dan mengharap. Moga dapat saling menegur kekhilafan yang dilakukan.Salam ukhwah fillah, INSYAALLAH...

1 comment: