Friday, March 26, 2010

Jangan Mengeluh Duhai Hati...

“Sedihnya, tak dapat nak pergi.” Mengeluh si hati kecil tatkala perancangan yang diatur untuk pergi ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC sekadar tinggal angan-angan. Saya akui sebagai hamba kita hanya mampu merancang namun Allah yang menentukan segala-galanya.

Khamis lalu (18 mac) bertolak ke rumah kakak di Kajang bersama kakak sulong dan anak saudara. Dalam perancangan, bermalam di Nilai pada hari Sabtu dan keesokannya iaitu Ahad pergi bersama sahabat-sahabat ke PWTC. Dengan harapan dapat berjumpa dengan salah seorang idola saya dalam dunia penulisan, Ustaz Hasrizal Abd Jamil yang dikhabarkan akan turut hadir pada hari tersebut. Namun perancangan berubah-ubah, dan kata putus terakhir adalah bermalam di Nilai pada hari Ahad dan pergi ke PWTC pada hari Isnin.

Benarlah, segalanya di tangan Allah. Ditakdirkan wujud beberapa musyaqqah yang menghalang saya dan sahabat untuk pergi ke sana. Lalu saya mengambil keputusan untuk pulang ke Pahang pada hari Ahad (21 Mac) bersama kakak dan anaknya tanpa sempat bermalam di Nilai. Kakak saya memujuk, “takpe, tahun depan ada lagi.”
Saya redha dan memujuk hati, “mungkin ada hikmahnya”.
………………………………………………………………………………………………………………………
22 Mac 2010 (Isnin)

“Salam, kat rumah ke sekarang? Saya baru naik bas dari Melaka, odw ke temerloh, nak turun Tahap. Available tak sekarang? Jomlah sekali”. Masuk satu mesej dari seorang sahabat.

Agak terkejut membaca mesej tersebut. “Hari ni jugak ke nak pegi?” saya bertanya.

Memang kami ada merancang untuk pergi ke sekolah pada minggu ini, tetapi saya tidak menjangka terlalu awal, sebaik sahaja selesai cuti sekolah. Dan khabaran dari sahabat saya datang mengejut, dalam masa lebih kurang 5 jam, saya bersiap-siap untuk bermalam di sana. Keputusan last minute dari saya membuatkan mak berat hati membenarkan saya pergi pada awalnya, lebih-lebih lagi saya baru pulang dari Kajang. Namun selepas dipujuk dan diyakinkan, mak melepaskan saya pergi.

Sebenarnya, sebaik sahaja menerima mesej dari sahabat saya, satu perkara yang terus terlintas di fikiran saya. Alhamdulillah, saya ada di rumah ketika itu. Bagaimana sekiranya ketika mesej itu diterima, saya sedang berada di Nilai ataupun di PWTC? Pasti saya berasa sangat kecewa kerana saya sangat berharap dapat berjumpa sahabat-sahabat lama dan turun ke sekolah bersama-sama.

Tika itu, saya melihat hikmah di sebalik kekecewaan tidak dapat pergi ke PWTC. Rupa-rupanya Allah telah merancang sesuatu yang lebih baik untuk saya.

Benar dan pasti! Allah adalah sebaik-baik perancang dan Allah tahu apa yang terbaik untuk kita, hamba-hambaNya… SUBHANALLAH, segala puji bagiMu…

3 hari 2 malam berada di SMKA TAHAP menyuntik kembali memori segar ketika menuntut ilmu di situ. Setiap tempat yang dikunjungi mengheret kami kembali mengenang setiap detik waktu yang pernah kami lewati. Masa dimanfaatkan dengan berjumpa guru-guru, dan juga adik-adik. Kami juga sempat memenuhi pelawaan puan pengetua,Puan Hajjah Robiah untuk melawat cucunya yang baru berusia 16 hari ketika itu. Menatap wajah comel si anak kecil yang ibarat kain putih, suci dari dosa itu, menceriakan hari kami. Kagum dengan kebesaran Allah apabila memegang kaki comel si kecil, 4 ganda lebih kecil daripada tapak tangan kami.



Melihat banyak perubahan yang telah berlaku, pelbagai kemudahan dan kenikmatan yang dikecapi oleh adik-adik. Alhamdulillah, moga-moga kemudahan yang bertambah seiring dengan peningkatan tarbiah, akhlak, dan akademik adik-adik.








Hari terakhir pula, sebelum pulang ke rumah masing-masing, kami sempat singgah di rumah seorang lagi cikgu (juga kakak senior Tahap) di Temerloh. Sekali lagi melawat si anak kecil, namun yang membezakan anak cikgu sudah berusia 6 bulan. Jadi, masing-masing tidak melepaskan peluang mendukung dan bermain-main dengan si kecil.

3 hari terasa berlalu begitu pantas. Moga- moga Allah merahmati pertemuan kami. Alhamdulillah, setinggi-tinggi syukur dipanjatkan kepada Ilahi kerana setelah hampir 2 tahun mengharapkan pertemuan ini, akhirnya Allah memakbulkan hajat hambaNya.

Duhai hati, janganlah kau sesekali mengeluh. Allah tak pernah mengecewakan hamba-hambaNya, mutiaranya adalah iman dan sabar. InsyaAllah, pasti kau ketemu hikmahnya... :)

No comments:

Post a Comment