Monday, May 10, 2010

Peluk Khinzir, Dapat Syurga???

Eh, peluk khinzir masuk syurga? Peluk kucing takpelah. Betul ke ni?

Tak percaya? Mari baca dan hayati kisah ini. Moga dapat diambil ibrah dari kisah ini.
Kisah yang tercatat pada zaman Nabi Musa.

~Allah telah bertanya kepada Nabi Musa adakah Nabi Musa ingin tahu siapakah jirannya di syurga kelak. Nabi Musa menjawab sudah tentu ingin mengenali jirannya. Lalu Allah memberitahu bahawa akan masuk seorang pemuda ke dalam masjid dan mengerjakan solat. Apabila masuk seorang pemuda mendirikan solat, ketahuilah Nabi Musa bahawa itulah pemuda yang dimaksudkan Allah. Nabi Musa pun menunggu sehingga pemuda itu selesai solat. Sebaik sahaja selesai solat, pemuda itu keluar meninggalkan masjid.

Di atas dorongan ingin mengenali dengan lebih dekat jirannya di syurga seperti yang dikhabarkan Allah, Nabi Musa mengekori pemuda itu pulang ke rumah. Si pemuda menyedari dirinya diekori, lalu Nabi Musa memberitahu bahawa dia ingin menumpang sebentar di rumah si pemuda. Dengan senang hati, pemuda itu mengalu-alukan kedatangan Nabi Musa. Pemuda itu tidak mengenali bahawa yang mengikutnya pulang ke rumah adalah seorang Nabi.

Sebaik tiba di rumah pemuda itu, Nabi Musa dijemput masuk. Pemuda itu meminta Nabi Musa duduk dahulu, kerana ada urusan yang ingin dilakukan terlebih dahulu. Tidak lama kemudian pemuda itu keluar dengan memeluk seekor khinzir. Terkejut Nabi Musa melihat perlakuan pemuda itu. Lalu pemuda itu memandikan dan menguruskan khinzir itu dengan penuh kasih sayang. Kemudian pemuda itu membawa keluar seekor lagi khinzir, lalu dilakukan perkara yang sama kepada khinzir itu. Nabi Musa memerhatikan dengan penuh tanda tanya.

Nabi Musa mendekati pemuda itu dan bertanya akan perbuatan pemuda itu. Lalu jawab pemuda itu bahawa kedua-dua khinzir itu adalah ibu dan bapanya yang telah dihukum oleh Allah kerana tidak melaksanakan perintah solat. Maka fahamlah Nabi Musa mengapa pemuda ini merupakan jirannya di syurga kelak.

Kasih pemuda itu tidak pernah pudar walaupun kedua ibu bapanya adalah khinzir. Atas dasar ketaatan kepada Allah, pemuda itu tidak menolak ketaatan kepada ibu bapanya walau dalam apa jua keadaan.~

********************************************************************************************************

Jangan disalah erti, bukan saya ingin menyeru kita memeluk khinzir untuk beroleh syurga Allah, tetapi peluklah dengan penuh kasih sayang dua insan yang kita gelar ibu dan ayah. Redha mereka merupakan batu loncatan untuk kita memperoleh redha daripada Allah.

Sama-sama kita jadikan kisah pemuda di atas sebagai satu iktibar dan peringatan buat diri yang selalu khilaf dan alpa ini. Sedang dia sanggup membelai kedua ibu bapanya yang berubah khinzir dengan penuh kasih sayang dan keikhlasan, mengapa tidak kita yang dikurniakan Allah ibu bapa yang sempurna sifatnya? Namun mungkin ada khilaf yang dilakukan sepanjang membesar dan mendidik kita, anak-anaknya. Tetapi ketahuilah, kita tidak sesekali layak dan berhak menghukum mereka. Membuang, menyisih dan menolak kehadiran mereka dalam hidup kita sesekali dilarang oleh Allah SWT. Andai kita dibimbing Allah berjalan di jalan yang lurus, bimbinglah mereka bersama-sama kita menyusurinya. Doa yang tulus adalah senjata buat anak soleh kepada kedua ibu bapanya.
Subhanallah… Sama-sama zikir dan fikir.

No comments:

Post a Comment