Wednesday, June 30, 2010

CINTA~ FITRAH @ FITNAH??


Sebulan lebih telah berlalu berada di Seremban. Sepanjang tempoh ini, isu yang paling banyak didengar dan dibincangkan ialah isu PERKAHWINAN. Opps… Jangan salah faham apa-apa, sekadar perbincangan yang timbul bersama beberapa individu, antaranya: bersama ustaz ketika di pejabat, bersama Uncle India di dalam teksi, bersama sahabat- sahabat di rumah sewa, bersama S/U muslimat PAS N.Sembilan (akak ustaz- kak Ti) dan suami Kak Ti.

Perkara yang tak dapat dipisahkan dengan perkahwinan ialah CINTA. Ia ibarat irama dan lagu- irama dan lagu tak dapat dipisahkan, begitu juga cinta dan perkahwinan tak dapat dipisahkan.
Wah! Berbunga-bunga pulak… ok, proceed to the main topic…

Persoalan yang timbul di sini, CINTA, FITRAH ATAU FITNAH?

~Cinta adalah FITRAH~

- Owh yeke kak, jadi bolehlah saya bercinta?
- Ya, boleh. Cinta adalah fitrah. Fitrah itu satu yang semulajadi dan suci.
- Jadi cinta itu suci?
- Ya, ia sesuatu yang suci.
- Saya tanya sekali lagi, betul ke saya boleh bercinta? Islam tak melarang?
- Mestilah boleh. Islam tidak berlawanan dengan fitrah. Adik tak pernah bercinta? Cinta kepada Allah, Rasulullah, ibu bapa, keluarga, sahabat?
- Bukan. Emm, maksud saya bercinta dengan mereka yang bergelar lelaki.
- Owh... Nakal ye =)

Hakikatnya skop CINTA adalah luas. Tetapi apabila dibuka perbincangan ini, tumpuan utama adalah cinta Adam dan Hawa. Namun inilah realitinya…

Dr. Muhammad Muhammad as-sharif, dari Universiti Al-Azhar dalam bukunya “ Islah al-ummah a’la huda as-sunnah” (reformasi ummah di atas cahaya sunnah) menyatakan bahawa telah difitrahkan yang seorang lelaki akan mempunyai perasaan terhadap perempuan, dan begitulah sebaliknya. Ini kerana perempuan itu dijadikan daripada rusuk lelaki, sebab itu lelaki ada perasaan terhadap wanita yang sememangnya dijadikan daripada satu bahagian tubuh dirinya sendiri. Dan di antara tujuan diciptakan perasaan ini adalah untuk menguji perempuan dan lelaki, sepertimana firman Allah dalam surah al-Furqan: 20

(( dan kami telah jadikan sebahagian kamu dengan sebahagian yang lain fitnah, adakah kamu melihatnya? Sesungguhnya Tuhanmu Maha Melihat ))

~Cinta adalah FITNAH?~

- Akak tak jawab soalan saya lagi. Boleh atau tak?
- Islam tidak berlawanan dengan fitrah dik. Simple answer, boleh.
- Jadi saya boleh ber’couple’?
- Adik yakin kalau adik couple, adik dapat elak keluar berdua-duaan, berpegangan tangan, dan paling penting elak dari maksiat hati?
-Takkanlah adik nak buat semua tu. Adik tau semua tu dosa. Tapi bab hati adik tak berani nak komen apa-apa.
- That’s right. Hati yang kita yang bersih boleh berubah kotor apabila kita cemari dengan maksiat baik zahir atau batin. Begitu juga cinta, cinta yang FITRAH boleh menjadi FITNAH apabila kita cemari kesuciannya dengan maksiat, baik maksiat yang jelas pada lahiriah atau maksiat yang tersembunyi dalam hati. Yang paling kita bimbang ialah, maksiat hati.
- Jadi, bila kita cinta pada seseorang, apa yang perlu kita buat?
- Penyelesaiannya adalah PERKAHWINAN...
- Kahwin? Tak naklah, muda lagi...

“Janganlah kamu dekati zina”

Ulama kotemporari terkenal , Prof. Dr. Yusof al-Qardhawi menyatakan dalam kitab “al-halal wa al-haram fi al- Islam” bahawa salah satu dari prinsip dalam hukum Islam ialah; apabila diharamkan sesuatu perkara, maka diharamkan juga apa yang bakal mendorong kita kepada perkara haram itu. Contohnya , bila Allah mengharamkan zina, diharamkan juga muqaddimahnya dan segala yang boleh mendorong kepada zina. Sebab itu Allah berfirman dalam dalam surah al-Isra’:

(( jangan kamu hampiri zina, sesungguhnya ia adalah satu perkara kotor (dosa) dan jalan yang paling buruk)).

Allah tidak menyebut jangan berzina, tetapi Allah menyebut Jangan hampiri, maksudnya terlebih dahulu diharamkan segala yang boleh mendorong kepada zina, termasuklah pendedahan aurat, berdua-duaan (dating), pergaulan bebas, gambar lucah, adab yang tak sopan serta nyanyian yang membangkitkan nafsu dan lain lain lagi.

Amaran penting Rasulullah saw!!

Rasulullah s.a.w pernah bersabda:“Allah telah menulis(menetapkan) atas anak adam bahagiannya daripada zina, yang tidak ada jalan keluar jika dia tidak menjauhinya: dua mata itu zinanya pandangan, dua telinga itu zinanya pendengaran, lidah zinanya percakapan, tangan zinanya berpimpin tangan, kaki zinanya langkah. Dan hati akan meronta ronta dan berangan angan , sama ada membenarkannya pada kemaluan atau mendustakannya(menolaknya).”-riwayat bukhari dan Baihaqi dalam lafaz yang sedikit berbeza, makna yang sama.



Pesan saya bersama, jagalah kesucian cinta itu. Mungkin ada sesetengah individu yang mengatakan pemikiran saya kolot, apabila saya mengatakan cinta yang sebenar dan suci itu wujud hanya selepas perkahwinan. Sebaiknya, elakkan cinta sebelum berkahwin kerana kesannya bukan sekadar dapat dilihat sebelum kahwin malah selepas berkahwin.

Sekadar perkongsian pengalaman, saya dan sahabat pernah berborak bersama seorang Uncle India di dalam teksi dari Senawang ke KTM Seremban. Antara yang dibualkan ialah isu budak remaja zaman sekarang.

“ Ini adik berapa umur?”
“20”. Kami menjawab bersahaja.
“Sudah kahwin ka?”
Geli hati dengan soalan uncle, saya tergelak kecil. “Belum lagilah uncle, muda lagi, belajar lagi.”
“Saya punya anak, sama umur kamu sudah mahu kawin.”
Saya bertanya, “Uncle tak kisah?”
“Saya kata kalau dia mau kawin, itu dia punya suka. Budak zaman sekarang kalau mau kawin tak boleh halang. Kalau dia kawan lama-lama, saya susah. Nanti jadi apa-apa, saya juga yang malu.”
Kami mengiyakan, “ya, betul-betul”.
“Ini zaman dengan dulu banyak beza. Kalau dulu, kita kawan sama itu perempuan, kita mahu buat dia jadi bini. Tapi ini zaman, budak-budak kawan saja suka-suka, mahu seronok. Bukan mahu buat bini.”

Saya sangat-sangat setuju dengan apa yang dikatakan Uncle tadi. Jika non-muslim (india) mempunyai sensitiviti yang tinggi terhadap isu ini, mengapa tidak kita sebagai muslim? Fikir-fikirkan...

~KAHWIN AWAL?~

Mungkin bagi segelintir individu tidak berapa setuju dengan isu kahwin awal. Malah bagi penulis sendiri kadang-kadang masih mempersoalkan tentang perkara ini dan ada pendapat tersendiri.

“Saya nak habis belajar dululah, kemudian kerja, capai impian dulu, lepas tu baru fikir sal kahwin”.
“Mak ayah tak bagi kahwin awallah. Belajar habis dulu, mak kata jangan nak menggatal lagi”.
“Kahwin awal? Tak dapatlah nak enjoy life, nanti muda-muda dah kena pikul banyak tanggungjawab. Macam sekarang kan bebas, tiada kongkongan”.

Emm, bermacam-macam respons dan pendapat. Itu yang negatif, yang positif?

“Bagus jugak kahwin awal, dapat elak maksiat. Pastu, kalau still belajar dapat saling back up dalam study”.
“Kalau dah ada berkenan pada siapa-siapa, cepat-cepatlah khitbah. Nanti melepas eden. Putih mata tengok si dia naik pelamin dengan orang lain”.

Amboi, bermacam-macam hujah nak sokong pegangan masing-masing.

Saya tidak berminat untuk mengemukakan pendapat saya, sekadar mahu memetik apa yang dikongsikan oleh Ustaz Khairi. Ustaz mengatakan perlu diakui di akhir zaman penuh fitnah ini, perkahwinan di awal usia adalah jalan terbaik bagi sesiapa yang sudah mempunyai ikatan hubungan yang ‘tidak sah’. Kerana cinta yang FITRAH itu boleh berubah menjadi FITNAH. Tetapi perlu diingat, perkahwinan bukanlah happy ending, kerana cabaran di alam itu lebih mencabar. Itulah di antara perkara yang ditekankan oleh ustaz.

~Nauzubillah himinzalik~

“Mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang, asyik teringat pada si dia je...”

Inilah dia bahana cinta manusia, apabila manusia diagung-agungkan. Sanggup diserahkan seluruh jiwa raga kepada manusia. Berapa ramai yang sanggup membunuh diri dek kecewa dalam percintaan. Kononnya berpegang pada janji ‘sehidup semati’. Bagaiman pula janji kita kepada Allah??? Fikir-fikirkan...


Jika saat ini, kita sedang dibuai cinta manusia yang melalaikan dari mengingatiNya, sedarlah kembali. Hakikatnya, cinta yang hakiki itu adalah milik Allah SWT. Mujahadah mengejar cintaNya begitu mencabar, kadang-kadang kita hampir tersungkur dalam pencarian itu. Inilah cinta yang hakiki, tiada istilah MUDAH dalam mencapai sesuatu yang INDAH...

..........................................................................


Moga penulisan ini dapat mengajak kita sama-sama berfikir dan menghisab diri masing-masing. Bukan bermakna penulis sempurna dan tidak pernah khilaf, sekadar peringatan dan nasihat untuk diri dan sahabat sekalian. Moga kembara kita menuju redhaNya dibekalkan kekuatan dan perlindungan Allah SWT. Amiin... Salam mujahadah buat semua...

~ Ya Allah, hamba memohon keampunanMu andai ada tersilap dan tersalah dalam apa yang disampaikan~

Wallahua’lam...

P/S: hari ini hari terakhir berada di Al-Azhar Media...

No comments:

Post a Comment