Tuesday, June 29, 2010

MENGAPA BERSEDIH??


‘Dia’ hanya hamba yang lemah, mungkin ujian yang menimpa tidak sebesar mana, namun itulah ‘dia’ yang bergelar hamba. Goyah dan longlai langkahnya dengan sapaan ujian biarpun ianya sebesar butiran pasir di pantai. Hanya pada Tuhan diluah bicara, bukan memendam keresahan. Bukan tidak thiqah pada sahabat-sahabat, namun cukuplah, cukuplah membebankan mereka dengan masalah yang remeh. Remeh sahaja, namun MENGAPA BERSEDIH duhai sahabat?


Wahai Tuhan,

Pemilik hakiki jiwa hamba,

Maafkan hambaMu andai tersalah bicara,

Andai hati terkeluh bicara dengan sapaan ujianMu.


Sedang gelak tawa sahabat menyapa di telinga,

Jiwa ku keruan menanggung resah,

Resah yang ku pendam,

Cukuplah Engkau sahaja yang mengerti,

Kerna ku tahu Kau Maha Mengetahui.


Wahai pemilik hakiki jiwaku,

Mengapa lemah jiwaku?

Mengapa mudah kendur semangat juangku?

Mengapa mudah hati dilanda kesayuan?

Benar! Ku akui,

Aku hamba yang lemah,

Tersangat lemah…


Wahai Tuhan Ya Qawwiy,

Kuatkan semangatku,

Kuatkan jiwa ku,

Gusar syaitan menjadi teman,

Mengajakku bersu’dzan terhadapMu.


Tiap saat nadi ini berdetik,

Ku mohon perlindungan dariMu,

Gusar andai resah yang menjengah saat ini,

Membawa hamba jauh dariMu,

Moga tidak lagi hamba bersoal,

MENGAPA TUHANKU?

Dan tiada lagi istilah MENGAPA & MENGAPA?


Moga titip ingatan kepadaMu,

Menjinakkan jiwa resah tenang kembali….

AMEEN YA RABBAL ‘ALAMIN…


“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”

(Al Baqarah: 155)

……………………………………………………………….

Setiap daripada kita pasti menghadapi masalah dan kesukaran. Ada yang mengatakan masalah mematangkan seseorang, kerana masalah membawa kita berfikir bagaimana untuk menyelesaikannya. Namun mungkin ada individu apabila berhadapan dengan masalah, semakin difikirkan semakin menyesakkan jiwanya. Di mana silapnya? Mungkin cara terbaik bukan sahaja berfikir, malah bertindak. Bertindak menyelesaikan masalah sejurus sahaja berfikir… Moga ‘dia’ dan kita semua dapat berhadapan apa jua masalah dengan lebih baik, tidak terus melatah. Kembalilah kepadaNya, mengadu kepadaNya. Bersedialah menghadapi cabaran hidup yang lebih besar pada hari-hari seterusnya. Kerana kita tidak tahu apa ujian yang Allah bakal sediakan untuk kita pada hari mendatang. Moga ujian-ujian itu bisa mematangkan diri, menguatkan jiwa, mengukuhkan semangat, dan paling penting menghampirkan diri kepada Sang Pencipta… SELAMAT BERJUANG BUAT SEMUA =)


No comments:

Post a Comment