Sunday, August 29, 2010

Maafkanku Sahabat

Alhamdulillah... Segala puji bagi Allah, terus diberi kesempatan meneruskan ibadat di bulan mulia ini...

SAHABAT...

Kurniaan Ilahi yang sangat besar, merekalah yang mengingatkan diri di saat alpa, menghulur bantuan tanpa perlu dipinta, mengajak dan membimbing diri menuju kebaikan. Merekalah wasilah dari Allah untuk sama-sama menggapai redha Ilahi.

Namun SAHABAT,
Andai tutur insan ini lebih tajam dari hirisan pisau,
Andai tingkah laku insan ini menggusarkan kalian,
Andai gurauan insan ini melangkaui batasan,
Andai raut insan ini menghadirkan keresahan,
Andai segalanya dari insan ini menjadi satu kekhilafan,
MAAFKAN INSAN INI DUHAI SAHABAT...

"Alangkah susah mendapat kawan, bukan kenalan di zaman ini, berpunca dari hati yang rosak, kerana dunia memautnya."

Tapi alangkah mudahnya mendapat SAHABAT andai akhirat memautnya.
Bersyukur kepadaMu, dipertemukan sahabat-sahabat di jalan perjuangan ini, diikat dengan ikatan akidah. Namun, andai tidak dirasai kemanisan ukhwah itu, jangan mempersalahkan sesiapa, bertanyalah kepada diri sendiri, di mana silapnya diri?

Menyingkap kembali apa yang dikatakan Imam As-Syahid Hassan al-Banna, rasa kasih sayang yang paling rendah ialah berlapang dada dan yang paling tinggi ialah ithar (mengutamakan sahabat). Moga sama-sama kita dapat menghisab diri, berlapang dadakah kita? Itharkah kita kepada sahabat-sahabat?

.................................................

(Sebuah kisah, tiada kaitan dengan yang hidup atau yang sudah tiada...)

"Malam ni syu bermalam di bilik Ina ye", Syu memaklumkan kepada sahabat sebiliknya, Nasha.

Kerap juga Syu melawat ke bilik Ina, lebih-lebih lagi semua ahli di bilik Ina adalah sahabat rapatnya juga. Malam itu, Syu mengambil keputusan untuk bermalam di bilik Ina.

Malam itu rezeki dari Allah, di tengah larut malam mereka menjamu selera. Sedang seronok makan, tiba-tiba telefonnya berbunyi.

"Owh, Nasha..." detik hati kecilnya.

"Assalamualaikum, dah rindu ke?" canda Syu.

"Waalaikumussalam, Syu... Kami semua tak bawa kunci bilik ni." kalut betul bunyinya, gurauan Syu tidak sempat disambut.

"Ya Allah, lupe lagi. Jadi, nak kena hantar lah ni?" soal Syu, sedang dia sudah mengerti apa yang patut dia lakukan.

"Yelah, kalau tak alamatnya tidur luarlah kami."

"Syu tengah makan ni. Korang tumpanglah bilik sebelah dulu. Kejap lagi Syu hantar."
"Ok..."


Talian ditamatkan...

"Kenapa?" soal Ina.

"Diorang semua lupe bawa kunci." Syu menjawab bersahaja.

"Jadi, nak pergi hantarlah ni?" soal Ina lagi.

"Iyelah, tapi lepas habis makan kejap lagi."

"Eh, jauh nak pergi hantar tu. Semalam diorang pun tertinggal kunci jugak kan?" Ina mengingatkan.

Syu hanya membisu. Semalam?
Ya, semalam juga perkara yang sama berlaku.

Dalam 10 minit kemudian, sebaik selesai makan, Syu pergi menghantar kunci kepada Nasha di hadapan pintu pagar. Sedang hati saat itu merungut, tak ikhlas mungkin.

"Ha, lepas ni jangan lupe lagi bawa kunci," sindir Syu sebaik berjumpa Nasha.
Nasha hanya tersenyum. Memohon maaf.

Syu pulang kembali ke bilik Ina... Sepanjang perjalanan tiba ke bilik Ina, tiba-tiba terdetik di hatinya.
Rasa kesal menyelubungi. Kesal dengan diri sendiri.

"Tak patut! Tak patut! Teruknya aku!!!". Syu berkata kepada diri sendiri.



..............................................

Agak-agaknya apa yang dikesalkan oleh Syu? Dapat teka?

Melalui kisah di atas, saya cuba mengajak anda berfikir, apakah yang dikesalkan Syu dengan sikap dirinya. Mungkin ada yang sudah cuba membuat andaian, dan saya cuba jelaskan apa yang saya ingin sampaikan...

Dalam kisah di atas, berlapang dadakah Syu terhadap kesilapan yang dilakukan sahabatnya? Itharkah Syu terhadap sahabatnya?

Kesal dengan sikap mementingkan diri. Andai Syu ithar terhadap sahabat-sahabatnya, pasti dia tanpa berlengah pergi menghantar kunci kepada sahabat2nya, makan di saat itu bukan menjadi keutamaan. Pasti terdetik di hatinya, "kasihan sahabat-sahabat aku".
Mungkin jika tidak mampu berada di tahap itu, cukuplah dia berlapang dada dengan sahabat2nya. Tapi dia sedar, baru sebentar tadi dia merungut dan mengeluh di hadapan sahabatnya itu.

Itu Syu, bagaimana pula dengan kita?
Mungkin saya tidak berapa pandai menghidupkan watak dalam penceritaan yang serba kekurangan ini, namun saya mengharapkan mesej yang ingin disampaikan difahami. Mungkin situasi di atas pernah berlaku ke atas diri kita, walaupun sedikit berbeza.
Sama-sama kita koreksi diri =)

Di kesempatan ini, saya memohon sejuta kemaafan kepada sahabat-sahabat seperjuangan, dan terutama kepada sahabat bilik, clah, khai, gmah. Mudah untuk mulut melafaz kata, "uhibbukum fillah", juga mudah untuk menaip kata-kata ukhwah di sistem pesanan ringkas, jua mudah sahaja untuk mem'post'ing bait-bait sayang dan rindu kepada sahabat-sahabat kerana Allah. Namun hakikat dan kebenaran sebenar hanya mampu ditafsirkan dalam sikap, perbuatan dan tindakan kita sendiri dalam seharian kehidupan bersama mereka.

Jom kita tanya diri sendiri, sejauh manakah kita berlapang dada dengan sahabat? Dan sejauh manakah kita melebihkan sahabat dalam urusan seharian kita?
Ukhwah tertinggi adalah melebihkan sahabat daripada diri sendiri(ithar), dan ukhwah terendah adalah berlapang dada.



Wallahua'lam

Friday, August 20, 2010

Ramadhan Kareem

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah...
Setinggi kesyukuran kepada Allah...

Allah telah memperkenankan doa hambaNya. Sejak bulan Syaaban dan Rejab lagi, tidak putus-putus berdoa

اللهم بارك لنا فى رجب وشعبان وبلغنا رمضان

” Ya Allah berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan “

Hari ini, sedar atau tidak, sudah 11 hari berada di bulan mulia ini... Sudah hampir berada di pertengahan Ramadhan, moga kehadiran bulan ini dihargai dan dimanfaatkan sebaiknya dalam meniti keredhaan dariNya. InsyaAllah...

Sekadar perkongsian bersama:

Antara ibadat-ibadat yang boleh kita lakukan secara maksimum pada bulan kareem ini ialah

1) Memperbanyakkan solat sunat
2) Meningkatkan kualiti puasa
3) Qiamullail
4) Berzikir
5) Bersedekah
6) Bertadarus
7) Menyegerakan bertaubat
8) Beriktikaf
9) Redha di atas segala ketetapan Allah
10) Sentiasa memaafkan orang lain dan mengeratkan silaturrahim
11) Bahagiakan ibu bapa
12) Bersungguh meraih lailatulqadar

Moga sedikit cuma amalan kita pada bulan ini berbanding para sahabat dan ulama, dapat meraih perhatian dan belas kasihan dari Allah. Moga kita tergolong dalam hamba yang meraih cintaNya. AMIIN...
Wallahualam

Tuesday, August 3, 2010

Burung Apa Tu??



Burung apa tu?
Itu BURUNG MURAI...

Burung apa?
Burung murai...
Burung apa?
Burung murai...

Ingat lagi iklan ni? Iklan yang memberi kesedaran. Tapi bukan nak bercakap soal iklan ni, tiba-tiba teringat. Gara-gara si murai yang bising di luar tingkap bilik.

.....................................................

Alhamdulillah, iron baju sudah, study sudah, tinggal nak bersiap-siap ke kelas. Ada masa lagi, jenguk blog sebentar =)
Waktu pagi saya kosong, tiada kelas. Saya manfaatkan untuk study Islamic Ethics, tajuk yang lepas, sepatutnya prepare dengan tajuk yang akan belajar petang ni, entahlah...

Kenapa tak study di library hari ni? Memang ada berhajat, tapi takpelah. Buat eksperimen study di bilik, ok atau tak, huhu.
Dan saya berpuas hati study di bilik hari ni... Sambil pasang lagu nasyid, saya study. Setiap orang ada cara study tersendiri. Sememangnya sikap saya apabila study semestinya ada alunan nasyid ataupun zikir. Kalau terlalu sunyi (di library), mata saya akan layu dan fikiran mula melayang, fokus hilang. Berbeza dengan adanya alunan nasyid atau zikir, saya boleh berhenti study sebentar, 3-5 minit melayan sebentar lagu, rehatkan otak. Kemudian sambung study, so relax...

Apa kaitan dengan si murai?
Hari ini, si murai menjadi penghibur saya. Perkataan pengacau mungkin juga sesuai. Tengah study, saya dengar celoteh murai di luar. Saya menoleh ke tingkap, hilang fokus, asyik saya melihat telatah si murai.


Ada 2 ekor murai pada sepohon pokok di luar tingkap bilik saya. Bising betul murai tersebut.

"Apa yang murai tu cakap ye?"

Itu yang terlintas di fikiran saya. Telatah 2 ekor murai tersebut seolah-olah sedang berborak. Lama juga situasi tersebut, kemudian salah seekor murai tersebut terbang. Tapi yang seekor lagi masih lagi bising mulutnya (maklumlah, nama pun murai). Mungkin dia cakap, "eh, nak pergi mana tu? Tunggu lah saya, sampai hati awak tinggalkan saya." Rekaan semata...

Kemudian terbang lah murai tersebut. Saya tersenyum sendiri mendengar celoteh si murai walaupun saya tak memahaminya. Dan saya pun fahamlah kenapa orang yang bising mulutnya diumpamakan seperti mulut murai =)

Apa yang dicakapkan si murai ye? Kalaulah saya boleh memahaminya, dah tentu saya akan berborak dengan murai tersebut. Saya akan cakap, "saya nak ikut awak terbang boleh? Terbang melihat dunia, melihat ciptaan Allah."

Apa yang saya merepek ni... Sekadar gurauan, mana mungkin kita memahaminya, dan pasti ada hikmah di sebaliknya yang Allah telah aturkan... Lepas ni, boleh difikirkan bersama.

Mungkin si murai tadi berzikir kepada Allah. Terlihat daun yang bergerak-gerak ditiup angin, mungkin juga ia sedang berzikir kepada Allah. Jom sama-sama kita hisab diri, sebanyak mana kita telah berzikir kepada Allah hari ini...

Astaghfirullahal'azim...
Saya perlu bergerak ke kelas, moga setiap langkah kita diiringi titip ingatan kepadaNya dan disusuli pula rahmat dan berkat dariNya. Moga diberi kesempatan untuk terus menyebarkan kebaikan di muka bumiNya.Amiin...

Wallahu'alam...






Monday, August 2, 2010

Cinta Agung

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah... Masih lagi dikurniakan nikmat iman dan Islam, dan nikmat-nikmat lain yang tak mampu saya senaraikan di sini. Kerana nikmat dariNya terlalu luas, sehinggakan luas lautan tak mampu untuk dijadikan bandingan. Alhamdulillah, petang tadi dapat submit assignment selepas bertungkus lumus menyiapkan, final touch tengahari tadi. Syukur Ya Allah, Engkau telah mempermudahkan urusanku.

Terasa sudah lama tak membicarakan soal cinta agung di ruang blog ini…


……………………………………………………………………………

“Macam mana perasaan cinta yang sebenar ye?”

Bila sebut cinta, kita lambangkan dengan bentuk hati, love, warna merah hati (ada perkataan hati juga).

Cinta ada kaitan dengan hati?




CINTA & HATI

Semudah itu cinta dilambangkan?

“I love u… I serahkan seluruh hati dan jiwa raga pada u.” (pada Allah nak serah apa?)
“Ambillah kapak, belahlah dada I, lihatlah betapa I menyayangi u.”


Macam-macam, karut marut belaka. Nak tergelak pun ada mendengar kata-kata anak mudi zaman sekarang.


~Ya Allah, jauhkanlah kami daripada terjerat sama dalam tipu daya syaitan ini. Moga disedarkan dan diberi hidayah kepada mereka yang telah terjerat dengan musuh yang dilaknat itu. Bimbang Ya Allah, bimbang kala ini hati membenci semua itu, suatu hari tiba saat kami diuji dengan semua itu. Apa kami kuat melaluinya? Hanya bantuanMu yang dapat membantu kami, moga dikuatkan iman kami menghadapinya… amiin~

Kenapa hati sinonim dijadikan simbol perkataan cinta? Apa hubungkaitnya?
Saya tidak tahu jawapan yang tepat dengan ilmu yang begitu cetek, sekadar cuma mahu mengajak anda semua sama-sama berfikir , berzikir dan membuka mata hati.

Cinta manusia yang melalaikan itu selalu membuatkan hati kita gelisah, resah sentiasa. Kenapa? Sepatutnya hati kita rasa bahagia, indah dengan cinta. Tapi kehadiran cinta dunia itu membuatkan hati kita sakit, nazak, boleh mati mungkin.


Tetapi dengan mengingati Allah, hati kan menjadi tenang. Inikah cinta yang sebenarnya? Tapi bagaimana sebenarnya perasaan cinta itu? Layakkah kita mengatakan kita cinta kepadaNya andai masih berbaki setimbun cinta dunia dalam hati kita? Mungkin itulah sebab mengapa hingga kini kita gagal merasai kehadiran cinta Allah.

~Astagfirullahal’azim… Ampunkan kami Ya Allah, senang sahaja meluncur di bibir kami bibit dan kalam cinta kepadaMu, namun sejauh mana hati ini membenarkannya, hanya Engkau mengetahui… Bantulah kami menolak cinta dunia yang menjadi hijab cinta antara kami denganMu. Cukuplah kami pernah hanyut dibawa arus duniawi pada zaman jahilnya kami. Kami sedang mendokong amanah agamaMu, selayaknya cintaMu yang sedang mekar semerbak di dalam jiwa kami. Kuatkan jiwa kami menolak cinta dunia yang melalaikan, kerana hati ini milikMu. Selayaknya dan sepatutnya hati ini diserahkan kepadaMu, tiada yang lain. Namun bimbang kami, bimbang andai hati ini sudah dikotori dengan cinta dunia, sudikah Kau menerimanya? Harapan kami hamba yang lemah, moga diterima dan dibalas cinta kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih dan Maha Penyayang.~



BUATLAH PILIHAN…

Maka, pilihlah… Cinta dunia yang meresahkan hati, atau cinta agung yang membahagiakan hati?

*Dapat mood nak berkongsi post mengenai cinta agung selepas menghayati sebuah lagu yang begitu mendalam maknanya. Kali pertama mendengarnya ketika Taaruf Week, semasa briefing tentang SLEU (kalau tak silap). Tertarik dengan setiap bait lagu tersebut, membawa kita tenggelam dalam bicara bersama Tuhan. Moga dapat dihayati dengan penuh rasa teruja ingin mencari cintaNya =)


YA ALLAH
Engkau Tuhanku
Tiada Tuhan melainkan Engkau
Engkau cinta agungku
Nabi Muhammad pesuruhMu

YA ALLAH
Engkau sumber bahagia
Engkau sumber keselamatan
YA ALLAH
Engkau sumber keamanan
Engkau adalah segalanya

YA ALLAH
Engkaulah pelindungku
Engkaulah sumber rezekiku
Di waktu sakit Kau sembuhkan
Di waktu lapang Kau beri makan

YA ALLAH
Engkau cinta agungku
Cintaku haraplah dibalas
YA ALLAH
Engkau cinta agungku
Janganlah cintaku tidak dibalas

Jangan biarkanku tanpa bimbingan
Pimpinlah aku ke jalan yang benar
Kepada Engkaulah harapanku
Janganlah hampakan perasaanku