Saturday, September 18, 2010

Catatan Kembara Ziarah

Alhamdulillah, berkesempatan lagi menulis di laman ini...

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI =)



Ramadhan yang penuh kemuliaan telah berlalu, disusuli dengan kehadiran Syawal yang penuh kegembiraan bagi golongan faizin yang benar-benar telah berjaya melalui tarbiah Ramadhan. Tergolongkah kita dalam golongan itu? Muhasabah bersama....

Hari ini hari raya ke-9, bagi saya yang sudah 4 hari kembali ke kampus, suasana raya yang sebenar sudah tidak dirasai. Begitu juga dengan sahabat-sahabat lain yang bertungkus lumus menyiapkan assignment dan persedian untuk exam midterm.

Namun saya dan sahabat sebilik berkesempatan pergi menziarah Ustaz Khairi dan Ustaz Nazri sekeluarga di Seremban pada hari cuti umum lepas, Hari Malaysia...

PERJALANAN YANG JAUH

Bagi kami yang tidak mempunyai kenderaan apatah lagi lesen memandu, perjalanan menaiki perkhidmatan awam terasa amat jauh. Merancang mula bertolak pada pukul 7.30 pagi ditunda kepada pukul 8 pagi. Menaiki bas Rapid, LRT, dan komuter, akhirnya kami tiba di KTM Seremban lebih kurang pukul 10.30 pagi. Adat datang menziarah, kami mencari-cari kedai untuk membeli sedikit buah tangan. Kemudian kami terus ke Senawang menaiki teksi dan tiba di rumah Ustaz Khairi pukul 11 lebih.

"Puas tunggu, ingat tak jadi datang", gurau Kak Ti.
Sebelum itu, kami khabarkan pada Kak Ti mungkin sampai dalam pkul 10, akhirnya terlewat sejam, hu2...

Seperti biasa, berbual, makan-makan, bagi duit raya pada Ustaz. He2, bergurau, kami serahkan duit hasil jualan kamus kepada ustaz, macam bagi duit raya jugaklah kan? Siap letak dalam sampul duit raya lagi ^_^

KE RUMAH KE-2


anak kak Ti yang comel dan lincah






Kunjungan seterusnya ke rumah Ustaz Nazri, kami pergi bersama Ustaz Khairi dan Kak Ti serta anak-anak (mereka pun tak pergi beraya lagi). Sampai di rumah Ustaz Nazri, kami makan buah ketuk-ketuk (unik namanya)yang dibawa pulang dari Pakistan. Sebenarnya sejenis kacang, kalau nak makan perlu ketuk dengan lesung batu. Ustaz dan Kak Dayang yang memberi nama buah ketuk-ketuk, hu3...
Sempat juga melihat slide show sepanjang Ustaz Nazri berada di Pakistan mengikuti Misi Kemanusiaan di sana. Dalam kegembiraan menyambut Syawal menyedarkan kami kembali, ada insan yang sedang diuji dengan musibah dan penderitaan. Jadi, mengapa masih tidak bersyukur dengan nikmat yang dikecap saat ini?

Tak lama selepas tu, datang tetamu lain. Rupanya akak kepada Ustaz Khairi dan Nazri iaitu Kak Ti sekeluarga dari Kuala Pilah. Kami pernah berjumpa sebelum ni, semasa perjalanan ke PUTIK bulan Jun dahulu(mengimbau kenangan).


di rumah Ustaz Nazri



PULANG... ADA KISAHNYA...

Ustaz Khairi menghantar kami ke KTM Seremban. Tidak terus pulang, kami menunaikan solat Zuhur di musolla KTM dahulu... Apa kisahnya???

Selepas selesai memberi salam, saya terdengar tangisan seseorang di belakang. Saya menoleh ke belakang, seorang wanita (umur pertengahan umur 30) sedang memeluk sahabat saya yang menjaga barang dan beg kami yang sedang solat. Kelihatan cuak muka sahabat saya. Saya tertanya-tanya, saya menoleh sahabat lain di sebelah saya. Mereka khusyuk berwirid, saya tersedar dan fokus kepada zikir. Selesai berdoa, saya mahu mencari jawapan. Wanita itu masih memeluk sahabat saya.

Sahabat saya (yang dipeluk) tahu apa yang berlaku tetapi hendak ditanya, rasa serba salah pula. Kami hanya memerhati dahulu, tidak berani bersuara. Macam-macam perasaan ada, perasaan ingin tahu, serba salah, pelik, hairan, kasihan, nak tergelak pun ada melihat muka sahabat yang agak cuak (tapi tahan, tak baik)...

Selang beberapa minit, kami mendekati mak cik tersebut. Memulakan soalan,
" Mak cik, kenapa ni? Ada masalah ke?"

Apabila mak cik tu menjawab, saya jadi lebih serba salah. Kenapa???
Kerana saya (sahabat lain pun sama) tidak memahami apa yang diperkatakannya. Sebutannya masih ada bunyi orang Cina dan masih pekat 'loghat cina'. Hanya beberapa perkataan yang dapat difahami. Hendak diminta diulang apa yang diperkatakan, sangat serba salah... Jadi apa yang kami lakukan?

Kami hanya mengiyakan dan mengangguk dan mungkin ada antara kami yang membuat pemahaman sendiri, berdasarkan apa yang diceritakan. Hendak bertanya lebih banyak, rasa serba salah juga. Kerana kami hanya berpura-pura faham.

Boleh dikatakan, ia adalah luahan perasaan mak cik tersebut. Antara yang difahami, mak cik tersebut ialah seorang muallaf, nama Islam Siti _ _ _ _. Dia bekerja mencuci tandas (cleaner) di situ dan mengadu dia pening kepala, tak sihat. Selepas masuk Islam, dia dibuang keluarga. Hidup sebatang kara dengan tidak mempunyai apa-apa, bahkan pakaian yang dipakai waktu itu hanyalah pemberian orang lain. Cerita sedikit, mak cik kembali menangis memeluk sahabat saya kembali. Kemudia bercerita lagi... Begitulah hingga akhirnya...

Saya melihat jam, kami perlu pulang. Mak cik tersebut memberitahu dia perlu pergi ke PD, dan kami faham apa yang diperlukan mak cik. Kami menghulurkan sedikit wang, sekadar termampu. Begitu terharu sekali mak cik tersebut. Di akhir perpisahan, dia memeluk lagi sahabat saya, seperti tak mahu dilepaskan. Katanya dia mahu sahabat saya itu memanggilnya mama/ mother. Terkebil-kebil kami melihat situasi tersebut...
Tapi sahabat saya hanya membisu...

Kami semua bersalam-salaman dengannya. Saya sampaikan sedikit pesanan, " mak cik ingat Allah ye, insyaAllah bantuannya sentiasa ada". Moga sampai apa yang diperkatakan...

Pengajaran???

TO BE CONTINUED...

Wallahua'lam