Tuesday, February 14, 2012

Awan Nano~~~

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, antara nikmat yang paling besar yang Allah kurniakan masih kita kecapi, nikmat nyawa. Moga setiap detik dan waktu yang Allah kurniakan sama-sama dapat kita manfaatkan dengan sebaiknya.

Kita mengimani, bahawa Allah Maha Pencipta, pencipta seluruh alam.
Subhanallah, segalanya milikNya, segalanya di bawah kekuasaanNya.

AWAN di LANGIT...

Subhanallah, ciptaan Allah yang sangat mengagumkan.
Begitu luas, dan Allah dirikan langit dan awan tanpa tiang. Jika direnung dan difikir, InsyaAllah membawa kita rasa kagum terhadap keagunganNya. Begitulah hakikat, merenung ciptaan Allah membawa kepada peningkatan iman, dan di situ lah tanda kewujudan Tuhan Yang Esa, ALLAH SWT.













SUBHANALLAH... Langit dan awan yang memayungi bumi UIAM (^_^)

Friday, February 10, 2012

Motivate Yourself!!!

Bismillahirrahmanirrahim…

Alhamdulillah segala puji bagi Allah.

Salam sayyidul Ayyam…

Pagi dan hari yang CERIA, DAMAI & TENANG!!!
Itulah yang saya harapkan setiap kali bangun pagi.
Buka mata, hati rasa tenang.
Buka mata, rasa kasih sayang Allah. (Alhamdulillah dengan nikmat nyawa hari ini)
Buka mata, lihat perkara yang menggembirakan.
Buka mata, rasa ceria.
Buka mata, ada semangat untuk mulakan hari dengan keceriaan.
Buka mata, mata hati tercelik sama, melihat hari yang bakal penuh dengan kebaikan dan manfaat.
SEMANGAT!!! Semuanya berkaitan dengan nilai MOTIVASI!!!

Buka tingkap, hirup angin pagi yang segar.
Buka tingkap, nampak pohon-pohon melambai ditiup angin.
Buka tingkap, kedengaran kicauan burung yang ceria.
Jenguk luar tingkap, awan biru cerah mewarnai langit.

Subhanallah, ciptaan Allah semua gembira hari ini.
Pohon melambai-lambai umpama mereka menari-nari kegembiraan.
Burung berkicauan seolah mereka menyanyi-nyanyi dan bersenandung memuji Allah.
Awan biru seakan-akan memahami keperluan manusia di pagi hari.

JADI, KENAPA PERLU BERMURAM DURJA HARI INI???


ROTI BASI @ MOTIVASI

Bangun-bangun pagi, nak makan pagi, tiba-tiba tengok roti dah basi @ expired?
Owh, spoiled your mood??

Tapi mana yang lagi penting pagi-pagi? Roti basi atau motivasi?
He2, jangan biarkan roti basi pagi-pagi menggangu mood kita. Dalam kata lain, jangan biarkan perkara @ masalah kecil di awal pagi menggangu nilai motivasi dalam diri anda untuk mulakan hari dengan baik.

Motivasikan diri anda di pagi hari (^_^)
Macam mana? Bergantung pada diri sendiri. Setiap orang ada cara masing-masing untuk memotivasikan diri sendiri. Bantu diri anda untuk membaiki diri setiap hari. (^_^)


NASYEED- ADA NILAI MOTIVASI

Hari ini, pagi-pagi Rumaysa buka lagu nasyeed. Alunan daripada Qatrunnada menjadi pilihan.
Seorang yang mudah menghayati bait-bait di sebalik lagu. Kalau anda juga seperti saya, bolehlah lakukan bila mana merasakan terasa nak dapatkan mood baik atau motivasi diri di awal pagi.
Sekadar nak berkongsi di sini, lagu ini membuatkan saya berfikir. Berfikir dan melonjakkan nilai positif dalam diri. Yang penting, pastikan sifat positif sentiasa dibajai dalam diri kita setiap waktu.
Hayati…..

RAHSIA BAHAGIA~

Bahagia itu maknawi
Juga bersifat rohaniah
Rasa senang bukan bahagia
Sekalipun ia berharta
Kerana semua itu bersifat lahiriah
Ia bukanlah hakikat bahagia

Tenang itulah bahagia
Tiada tenang kan keluh kesah
Bila tiada kebahagiaan
Hidup penuh kepuraan

Mazmumah tunjang tiada bahagia
Kerana terus mengekalkannya
Hasad dengki hilang mulia
Sombong bongkak merosakkan segala

Carilah tenang dapatkan bahagia
Cintakan Allah setiap masa
Bila zikrullah dihayati
Barulah bahagia diperolehi


LIHAT KATA-KATA POSITIF SENTIASA

Mulakan setiap hari dengan hidangan mata yang positif. Celik-celik mata, baca doa bangun pagi, dan lihat kepada kata-kata positif.

Janganlah pula, bangun pagi kita lihat timbunan buku atas meja.
“Alamak, banyaknya assignment nak siapkan!” (Jadi elakkan meja berselerak, kemaskan sebelum tidur )

ATAU
“Aduh, banyak betul baju nak basuh pagi ni.” (Elakkan tangguh basuh baju)

ATAU
Bermacam-macam lagilah, tanya diri sendiri (^_^)

Bagi saya, apa yang kita fikirkan di pagi hari sangat mempengaruhi sepenuh kehidupan kita pada hari tersebut. Jika positif, maka positif lah hari kita, dan begitulah sebaliknya.

Hanya tampalkan di mana-mana tempat yang mudah dilihat. Tanya diri sendiri, perkara apa yang nak dibaiki setiap hari dan di mana kekurangan diri. Jadi, reka lah ayat sendiri, yang difikirkan dapat mempositifkan dan memotivasikan diri anda. Ayat Quran adalah yang terbaik.





INGAT MEREKA YANG TERSAYANG

Yang ni senang je, dan saya rasa kita semua lakukan. Jika belum, mari kita mulakan.

Pertama sekali, tampal atau letak di meja kalimah ALLAH & RASULULLAH.

Kenapa? Bagi saya, hati manusia begitu cepat lalai. Mungkin cara ini dapat membantu kita mengingati Allah. apa yang kita lihat iaitu melalui visual, sangat membantu hati untuk melakukan sesuatu. Jika kita melihat sesuatu yang baik setiap hari, InsyaAllah hati kita terdorong ke arah kebaikan.

Mungkin tengah duduk dalam bilik keseorangan, hati tergerak nak buat maksiat. Ha, ketika ini hati kita dilalaikan oleh syaitan laknatullah dari mengingati Allah.

Tiba-tiba ternampak kalimah Allah yang kita tampal di dinding, hati teringat kepada Allah. Tak malu kepada ALLAH? Tiada orang melihat kita ketika itu, tapi kita tahu ALLAH MAHA MELIHAT, dan ada 2 pengawas di kiri dan kanan.

Kedua, siapa yang paling hampir dengan kita? Yang kita sayangi?

Pasti mak ayah bukan? Letakkan gambar mereka di mana-mana yang mudah dilihat. Jika terasa malas tengah study kemudian tenung muka mak ayah, InsyaAllah kita akan tersedar bahawa harapan mak ayah terhadap kita. Ada amanah yang sedang kita pikul.



SELAMAT MENCUBA

Apa yang dikongsi di atas sekadar sedikit perkongsian. Bukan bermakna penulis seorang yang penuh nilai motivasi.

Saya masih belajar untuk memotivasikan diri. Saya perlu berubah. Jadi terasa mahu berkongsi, mungkin di luar sana ada yang seperti saya (^_^)

Saya selalu mendapat feedback daripada sahabat-sahabat, bahawa saya perlu lebih ceria, lebih bersemangat dalam apa-apa yang dilakukan, lebihkan gula dalam senyuman, kerana ada kelat di situ, he3. Maafkan saya, andai kehadiran saya bersama anda, tidak mampu menceriakan hari anda, merosakkan mood anda dengan senyuman kurang gula, kurang nilai motivasi dalam kerja-kerja yang dilaksanakan.

Membaca buku motivasi Dr Fadzilah Kamsah, tidak ceria bermakna tiada hidayah daripada Allah? Betul ke? Ada huraian yang lebih lanjut di situ.

Maka, saya masih belajar memotivasikan diri, dan berusaha mencari hidayah itu. Teringat satu hadis yang memberi maksud, bahawa manusia yang baik itu adalah yang mampu memberi kebaikan dan manfaat kepada orang lain.

SELAMAT MENCUBA (^^)

~MEMBAJAI KEBAIKAN & MANFAAT DIRI AGAR HASILNYA DAPAT DITABURKAN KEPADA ORANG LAIN~

Wednesday, February 1, 2012

Belajar & belajar

Bismillahirrahmanirrahim....

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah yang sentiasa mengurniakan bermacam2 nikmat, tanda luasnya rahmat dan kasih sayangNya.

Cuti semester, bakal berakhir....

Setiap kali cuti, bermacam-macam perkara dalam perancangan, bagi memastikan dimanfaatkan sebaiknya. Terutamanya masa bersama mak dan ayah serta keluarga, untuk berbakti kepada mereka. Moga2 ini lah juga yang berada di fikiran kita semua. Bukan sekadar pulang merehatkan diri, goyang kaki tunggu dilayan.

~BELAJAR MEMASAK~

Bagi anak perempuan, sebaiknya cuti sebegini dimanfaatkan sebaiknya untuk belajar memasak. ^_^
Mungkin kesibukan belajar menghalang kita belajar memasak, jadi gunakan masa cuti untuk memastikan setiap kali hidangan sepanjang cuti adalah hasil air tangan kita, lebih2 lagi meringankan tugas mak kita di dapur.

~MADAH ORANG LAMA~

Teringat kata-kata orang tua:
"PEREMPUAN KALAU BELAJAR TINGGI MANA PON, AKHIRNYA DUDUK KAT DAPUR JUGAK"

Ada kot yang menjawab: " Tak boleh pakai dah kata-kata tu, sekarang semua perempuan bekerjaya, bukan jadi suri rumah sepenuh masa jer... Penat2 je susah payah dapatkan ijazah"

teeet...

Saya terfikir. Apa ye maksud orang2 tua dulu. Mereka lebih dulu makan garam, kata-kata mereka tak sekadar kosong tetapi berisi!

Hakikat kehidupan! Realiti kehidupan!
Setinggi manapun seorang perempuan itu belajar, ke dapur juga tempat utama bagi seorang perempuan.

Saya SANGAT SETUJU!!
Wanita adalah seorang anak, isteri dan juga ibu. Di bawah tanggungjwabnya menyediakan makanan dan hidangan kepada suami serta anak-anaknya. Kerana menyediakan makanan yang halal dan berkhasiat kepada keluarga adalah satu ibadah.

Pernah mendengar pengisian kuliah dari seorang ustaz, mengatakan bahawa makanan yang masuk dari tangan orang yang berbuat maksiat seperti tidak solat, juga akan memberi kesan negatif kepada si pemakan. Jika kita makan di gerai dan tukang masak tidak solat, berkemungkinan besar ia akan memudaratkan seperti badan berat untuk beribadat.

Subhanallah,. Maka berusahalah memastikan makanan yang masuk ke dalam perut keluarga kita adalah dari sumber yang baik. Bukan sekadar dari sumber wangnya sahaja, tapi dari tangan siapa yang memasaknya?

Maka, sudah pasti ia tergalas di bahu kita, wanita ^_^

~PETUA~

Sedikit petua yang diamalkan, harap bermanfaat.

-Setiap kali basuh sayur@ikan@ayam@beras, maka berselawatlah 3x semasa membasuhnya (lebih pun boleh, dapat pahala lebih)
-Semasa mengacau gulai atas dapur @ menumis, kacau ikut arah lawan jam. (buat air pun kacau ikut arah lawan jam)
-niat lah apa2 yang baik semasa memasak (nak gembirakan hati mak ayah, nak ikat kasih sayang ke)

SEMOGA BERMANFAAT YE...

Jom Belajar Masak!!!

Cara Bersuci Orang Luka & Berbalut

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah saat ini, kita diberi nikmat kesihatan daripada Allah. Namun mungkin juga ada yang diuji dengan sakit.

Pernah terfikir, mungkin kita akan diuji dengan apa2 bencana, malapetaka? Mungkin tidak kita, tetapi sahabat2 dan saudara kerabat terdekat barangkali.

Mungkin akan ada yang akan merujuk kepada kita, bertanya, bagaimana ye kalau nak ambil wudhu dalam keadaan berbalut atau bersimen?

Ada ilmu? Kalau tiada, tak mengapa. Jom tambah ilmu. =)


.......................................................

1. Jika seseorang itu luka, bagaimana caranya untuk ia bersuci?

Orang yang sakit atau luka, jika ia dapat membasuh atau memandikan dengan air sebahagian anggotanya, maka bahagian itu wajib dibasuh dengan air ketika ia mengambil wudhuk atau mandi. Adapun kawasan yang tidak dapat dibasuh dengan air –kerana takut membawa kerosakan atau mudarat- hendaklah diganti dengan tayammum (yakni dengan menyapu debu ke muka dan tangan). Ini adalah pandangan Imam Ahmad dan Imam Syafi’ie.

Menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Malik; toharah adalah dengan salah satu sahaja iaitu dengan air (yakni wudhuk atau mandi) atau dengan tanah (yakni tayammum). Tidak wajib menggabungkan keduanya. Oleh demikian, menurut pandangan kedua ini; jika kebanyakan badan adalah elok dan dapat dibasuh dengan air, memadai dengan membasuh kawasan yang elok/sihat itu dan tidak perlu kepada tayammum. Dan kalau kebanyakan badan adalah sakit/luka, cukup dengan tayammum sahaja, tidak perlu lagi wudhuk atau mandi.


2. Orang yang mengalami luka pada badannya atau patah tulang anggotanya dan terpaksa dibalut, diplaster atau disimen di mana ia tidak dapat ditanggalkan (termasuk semasa ingin mengambil wudhuk), bagaimana caranya ia hendak mengambil wudhuk atau mandi?

Bagi kes tersebut, diberi kelonggaran untuk menyapu air di atas kain balutan atau plaster atau simen yang dipakainya. Orang yang menghadapi masalah sedemikian, ia hendaklah melakukan tindakan berikut semasa mengambil wudhuk;

Pertama; Hendaklah ia membasuh dan meratakan air sebagaimana biasa ke kawasan-kawasan yang sihat (tidak sakit) dari anggota wudhuknya.

Kedua; Bagi kawasan yang berbalut pula, wajib ia menyapu air ke atasnya. Menurut Imam Abu Hanifah; memadai dengan menyapu sebahagian besar balutan. Namun jumhur ulamak (iaitu Imam Malik, Syafi’ie dan Ahmad) berkata; “Wajib disapu air meliputi seluruh balutan”.

Jika ia mandi wajib, hendaklah ia mandi sebagaimana biasa iaitu dengan meratakan air ke seluruh badannya yang sihat (yakni yang tidak berbalut). Adapun kawasan yang sakit (yakni yang berbalut) hendaklah disapukan air ke atas balutan secara menyeluruh atau sebahagian besar darinya mengikut pandangan ulamak tadi. Apabila ia sembuh nanti, tidak diwajibkan ia mengulangi semula mandi wajibnya. Ia hanya diwajibkan membasuh/memandikan anggota-anggota yang berbalut sahaja.


3. Adakah wajib disertai dengan tayammum?

Mengenai soalan ini, para ulamak berbeza pandangan;

1. Menurut mazhab Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad; tidak wajib lagi bertayammum. Memadai membasuh kawasan yang sihat dan menyapu air di atas balutan bagi kawasan yang sakit. Tidak perlu bertayammum.

2. Menurut mazhab Imam Syafi’ie; wajib disertai dengan tayammum. Berdasarkan mazhab Syafi’ie, orang yang memakai balutan ia hendaklah melakukan tiga perkara semasa mengambil wudhuk atau mandi wajib;
a) Membasuh kawasan yang sihat (tidak sakit atau cedera)
b) Menyapu air ke atas balutan dengan meratakannya
c) Bertayammum; bagi mandi wajib, cukup dengan sekali tayammum sahaja sama ada sebelum mandi atau selepasnya. Adapun bagi wudhuk, ada dua pandangan; (Pandangan pertama); wajib bertayammum mengikut bilangan anggota wudhuk yang berbalut untuk menjaga tertib yang disyaratkan dalam wudhuk. (Pandangan kedua); cukup sekali tayammum sahaja iaitu sebelum wudhuk atau selepasnya. Pandangan yang rajih dalam mazhab ialah yang pertama.

3. Mengikut mazhab Imam Ahmad; wajib tayammum hanya jika balutan melebihi kawasan yang perlu, yakni kawasan yang sakit atau cedera. Jika balutan hanya membalut kawasan sakit tanpa menyentuh kawasan yang sihat, tidak perlu bertayammum, cukup dengan menyapu air ke atas balutan sahaja.


4. Adakah wajib memakainya setelah bersuci?


Ada dua pandangan ulamak;

Pandangan pertama; wajib balutan atau palster atau simen itu dipakai setelah bersuci iaitu setelah mengambil wudhuk atau setelah mandi wajib. Jika tidak, maka solat yang ditunaikan sepanjang memakai balutan atau simen atau plaster itu wajib diulangi semula apabila sembuh nanti. Pandangan ini telah diberikan oleh mazhab Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad.

Pandangan kedua; tidak wajib bersuci terlebih dahulu sebelum memakainya. Dalam pengertian yang lain; tidak disyaratkan pemakaian balutan atau simen atau plaster itu dibuat setelah mengambil wudhuk atau mandi wajib terlebih dahulu. Sekalipun seseorang memakai balutan atau simen dalam keadaan tidak berwudhuk, harus baginya menyapu atas balutan atau simen itu semasa mengambil wudhuk atau mandi wajib dan tidak perlu ia mengulangi solatnya apabila sembuh. Pandangan ini telah diberikan oleh mazhab Imam Abu Hanifah dan Imam Malik.


5. Berapa lamakah tempoh diizinkan menyapu balutan?

Keizinan dari Syarak untuk menyapu balutan tidak ada tempoh masa tertentu. Ia bergantung kepada tempoh kesembuhan luka atau patah. Selagi luka atau patah belum sembuh dan balutan masih perlu dipakai, maka selagi itu keharusan menyapu di atas balutan berterusan. Apabila sakit telah sembuh dan balutan dapat dibuka, hilanglah keharusan tersebut dan wajib mengambil wudhuk atau mandi wajib sebagaimana asalnya.