Showing posts with label Simfoni Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Simfoni Kehidupan. Show all posts

Monday, March 8, 2010

Kaca Mata Kehidupan

“Enti tak sayangkan Al-Quran ke?”

Sudah hampir sebulan masa berlalu namun masih terngiang-ngiang lagi kata-kata seorang ustaz. Rasa begitu terpukul dengan kata-kata ustaz itu. Lantas saat itu juga air mata mula bergenang dan tanpa dapat dibendung lagi, mengalir laju tanpa henti dari kelopak mata. Begitu tajam kata-kata ustaz, menyentap hati kecil seorang hamba yang kerdil. “Betul ke aku tak sayangkan Al- Quran?”, hati kecilnya bertanya. Astaghfirullahal’azim…

“Sudah-sudah. Ustaz tak nak tengok enti menangis, ustaz cuma nak mengingatkan.” Tegur ustaz lembut.
“Boleh enti berjanji dengan ustaz? Sebelum masuk ke Gombak, pastikan enti habiskan hafalan surah Ali Imran ni. Boleh?”

Dia memandang ustaz, hanya mengangguk lemah.
“Insyaallah ustaz.” dia kembali tunduk. Malu dengan sikap diri sendiri.

Sepanjang hari tersebut kata-kata ustaz tersebut sentiasa berlegar di ruang fikiran. Kata-kata yang punyai maksud tersirat. Kata-kata itu memberinya peluang untuk berfikir lantas memuhasabah diri sendiri. 4 bulan diberi untuk menyelesaikan hafalan separuh daripada surah Ali Imran, satu tempoh yang cukup lama. Besar kemungkinan dalam tempoh 4 bulan tersebut, beberapa buah novel, buku cerita, atau pelbagai buku lain dapat dihabiskan dan dihadamkan. Namun mengapa gagal menghafal sebuah kitab yang mampu mengalahkan semua buku kisah dongeng di dunia? Mengapa? Mengapa? Mengapa mampu menyelami buku khayalan manusia, namun gagal menyelami sebuah kitab kebenaran dari kalam Allah itu sendiri?

Ibarat seseorang yang baru tersedar dari lena yang panjang, dia terpinga-pinga apabila berada di dunia yang nyata. Dunia sebenar yang sepatutnya dia berada, bukan di dalam lena yang terus menerus dibuai dengan mimpi duniawi, sekadar palsu dan sementara. Akhirnya bisa lenyap dan hilang pabila dikejut dan disentak dari lena. Berfikir dan terus berfikir, ligat otak berfikir akan hakikat sebenar kehidupan yang telah dilalui selama ini.

“Wahai Tuhan, Engkau Maha Pengampun kepada hamba-hambaMu, ku yakini janjiMu. Maka janganlah Kau murka terhadapku, ku panjatkan kesyukuran kerana Kau memberi peringatan kepadaku dan tidak membiarkan aku terus alpa dan lalai. Kau Maha Pengasih Ya Allah. “



Sahabat- sahabat,
Moga kisah tersebut diambil ibrah bersama. Kisah sebenar yang dilalui seorang hamba Allah, bukan rekaan khayalan seorang manusia. Ringkas sahaja kisahnya, bukan menarik atau seronok yang menjadi persoalan, namun apa yang tersirat dan terselit di sebaliknya dapat dijadikan bekalan peringatan bersama dalam mujahadah diri menjadi hamba yang dikasihiNya.

Melihat atau menilai kehidupan melalui kaca mata kehidupan diri sendiri mahupun orang di sekeliling adalah salah satu cara untuk meneruskan kelangsungan hidup untuk bergelar hamba Allah yang soleh/ah. Kaca mata biasanya digunakan oleh golongan yang kurang jelas penglihatannya atau istilah mudah, mereka yang rabun. Jadi, mereka dapat melihat segala isi alam dan seluruh ciptaan Allah dengan lebih jelas. Begitu jualah yang dimaksudkan dengan ‘KACA MATA KEHIDUPAN’. Menilai dan melihat kehidupan melalui kaca mata kehidupan insan baik orang lain atau diri sendiri bisa membuka luas mata kita tentang hakikat dan erti sebenar kehidupan.

Melihat menggunakan kaca mata membantu seseorang melihat sesuatu hanya pada zahirnya. Namun melihat dari sudut kaca mata kehidupan, kita bukan sahaja menilai apa yang ada pada zahirnya, malah menilai jauh di sebalik zahir kehidupan, melihat dengan ‘MATA HATI’. Mata hati memandu manusia untuk menilai kebaikan dan hikmah di sebalik kisah kehidupan yang dilalui seseorang. Maka kebaikan yang diperolehi untuk diambil sebagai pengajaran seterusnya dijadikan perkongsian bersama.

Seterusnya, tidak akan timbul persoalan bahawa kita mencari-cari dan memperkatakan kesalahan orang lain. Ada sesetengah pihak bimbang untuk membincangkan tentang kisah orang lain, bimbang andai dikatakan mengumpat ataupun mencari kesalahan saudaranya seperti larangan yang disebut dalam sebuah hadith. Benar, tidak dinafikan kita dilarang mengumpat dan mencari-cari kesalahan saudara kita, namun apa yang membezakannya adalah sama ada kita sekadar melihat dan mencanang-canang keburukan hidup seseorang atau kita mengambil satu pengajaran dan peringatan buat diri sendiri dan juga orang lain.
Allah turut mengingatkan kita supaya mengambil pengajaran daripada kisah umat-umat terdahulu dalam usaha mengislahkan diri sendiri dan juga seluruh umat akhir zaman.

Saya suka membaca penulisan Ustaz Hasrizal @ Saiful Islam yang banyak mengaitkan kisah kehidupan dengan pengajaran. Banyak perkara yang dapat dipelajari daripada kisah kehidupan orang lain. Mendengar atau bercerita tentang kehidupan membuatkan kita banyak berfikir dan seterusnya mencari hikmah di sebaliknya, buat dijadikan pengajaran. Segala yang buruk dijadikan peringatan, yang baik pula dijadikan ikutan.

Inilah KACA MATA KEHIDUPAN… Menilai kehidupan bukan sekadar pada zahir, mutiara ibrah hakikatnya yang diburu. Mata hati takkan kabur apatah lagi kan buta seandainya ia terus memandu manusia dalam menilai dan melihat kaca mata kehidupan.

Segala yang baik daripada Pencipta, segala yang lemah dan buruk datangnya daripada yang dicipta. Namun hakikatnya, yang baik dan buruk adalah daripada Sang Pencipta, disandarkan pada hamba yang hina ini. Jua menjadi kelemahan hamba ini untuk menilai bahawa di sebalik keburukan yang disandarkan pada diri terselit hikmah dan kebaikan, untuk kita berzikir dan berfikir. Subhanallah. Fikir zikir, renung-renungkan. 
Wallahua’lam

Tuesday, February 9, 2010

HAKIKAT BAHAGIA

PAGI 8 FEBRUARI

Suasana pagi ini seperti pagi-pagi sebelumnya, suasananya tenang dan aman sekali. Seperti kebiasaan, bagi mengelak tidur yang panjang selepas subuh, saya akan menyibukkan diri dengan melakukan kerja-kerja seperti melipat dan menyidai baju. Sengaja saya tangguhkan kerja-kerja tersebut supaya pada waktu pagi ada aktiviti yang dapat dilakukan, hu2.. Namun tak dinafikan kadang-kadang tersasar juga tidur selepas subuh, biasa berlaku sekiranya saya tidak tidur langsung sehingga subuh. Kenapa? Hmm, dah banyak kali berlaku. Akibat penangan kopi saya tak dapat lelapkan mata sehingga pagi, jadi waktu tersebut cuba dimanfaatkan dan diisi dengan perkara yang sepatutnya.

Namun bukan tentang isu tidur selepas subuh yang ingin dikongsi, mungkin pada waktu lain saya akan mengupas isu yang tidak dapat lari dari kamus hidup mahasiswa. Alhamdulillah dengan keizinan Allah Ya Rahman, Allah memberi saya peluang memulakan hari ini dengan suatu iktibar dan ibrah. Mungkin tidak salah sekiranya saya ingin berkongsi supaya kita semua sama-sama dapat berfikir dan beringat terhadap diri sendiri.

Seperti pagi-pagi biasa, sementara menunggu azan Subuh berkumandang saya akan berdiri di tepi tingkap sambil menghirup udara pagi yang segar dan nyaman(cara elak mengantuk). Malangnya udara pagi hari ini membuatkan saya sedikit kecewa, bau yang tidak menyelerakan meresap masuk ke dalam rongga pernafasan saya. Saya sedikit mengeluh… astaghfirullahal'azim.. begitulah manusia, sering tidak bersyukur dengan nikmat Allah. Sedangkan sejak bangun dari tidur lagi, Allah telah memberi terlalu banyak nikmat. Saya sepatutnya bersyukur kerana Allah masih memberi nikmat nyawa dan membangkitkan saya kembali dari mati yang sementara… bagaimana sekiranya nyawa saya diambil ketika dalam lena yang belum pasti saya mengucapkan kalimah syahadah? NA'UZUBILLAH.

Selepas usai solat, saya mengulang semula ayat hafazan. Sedikit kecewa dengan diri sendiri, saya terlelap ketika mengulang ayat tersebut (selepas ni, jangan mengulang di atas katil, cari tempat lain:D ) apabila tersedar, jam menunjukkan 7.10 pagi. Alhamdulillah tak terlalu lama, namun sempat juga syaitan menganggu dalam mimpi saya, mimpi yang agak menakutkan, hu2.. Tiba-tiba saya terdengar gelak ketawa dari bawah. Saya tertarik untuk menjenguk di tepi tingkap, siapa yang ceria pagi-pagi lagi ni? Rupa-rupanya makcik- makcik cleaner yang sedang mengutip bungkusan sampah untuk dibuang. Tertarik saya dengan keletah mereka yang seronok bergurau senda sambil tangan sibuk membungkus sampah-sampah yang berbau busuk. Terus menerjah di fikiran saya, bau sampah-sampah inilah yang mengganggu kesegaran udara pagi ini…

Fikiran saya terus diasak dengan dua persoalan.
PERTAMA: Bagaimana makcik-makcik tadi boleh kelihatan gembira dan seronok membuat kerja yang mungkin bagi sesetengah orang kelihatan menjijikkan, tapi tak terzahir sedikit pun kejijikan di wajah mereka, bahkan kelihatan sangat menyeronokkan dan menggembirakan.
KEDUA: Bagaimana sekiranya saya yang berada di tempat makcik-makcik tersebut? Adakah saya suka melakukannya? Apabila terhidu bau sampah, sudah cukup membuatkan saya mengeluh. Bolehkah saya menjadi seperti makcik-makcik tadi?

Tika itu, terfikir saya sejenak…….

PERSOALAN 1: Daripada persoalan tadi, mungkin sesetengah orang akan mengatakan bahawa mereka (makcik-makcik cleaner) sudah biasa dengan kerja tersebut. Jadi, bau dan kekotoran tidak menjadi masalah bagi mereka kerana alah bisa, tegal biasa. Memang tidak dinafikan kebenaran jawapan tersebut, tapi jangan sekadar memandang dan menafsir dengan mata akal. Saya ingin mengajak sesiapa yang membaca coretan ini supaya menilai dan menafsir fenomena tadi dengan "PANDANGAN MATA HATI". Hakikat sebenar adalah mereka bekerja dengan penuh ikhlas dan rela hati. Mereka tidak kenal erti penat dan kotor kerana mereka mempunyai tanggungjawab sebagai seorang ibu, untuk mencari nafkah yang halal. Tak akan mungkin mereka boleh bergelak ketawa dan gembira seandainya mereka tidak suka melakukannya. Apa yang saya perhatikan, tidak terpancar sedikit pun kepenatan dan keresahan di wajah mereka, walhal kerja sebagai cleaner menuntut curahan tenaga yang semaksimum mungkin bagi mereka yang hampir berusia dan tidak segagah kaum muda. Tika ini, saya teringat seketika kepada mak dan abah di kampung yang dari dulu teman mereka adalah nyamuk dan pokok getah di kebun. Jelas bagaimana kesungguhan seorang bapa dan ibu untuk mencari rezeki demi kebaikan anak-anaknya, dan begitulah jua bagi makck-makcik tadi, mereka jua seorang ibu dan isteri. Mereka tak ubah seperti ibu kita di rumah.

PERSOALAN 2: Saya berfikir beberapa kali adakah saya sanggup berada di tempat m.cik tersebut. Mungkin mudah untuk saya mengatakan tiada masalah kerana saya tidaklah terlalu jijik dengan sampah sehinggakan tidak sanggup memegangnya, kerana hakikatnya kita sentiasa membuang sampah semasa mengemas rumah sebagai contoh. Namun saya cuba membayangkan sekali lagi, kemudian datang bisikan-bisikan yang kurang menyenangkan. Tak malulahkah kau kerja sebagai cleaner, kawan-kawan kau semua berjaya? Nanti apa kata orang kampung kau? Masuk U tapi akhirnya kerja sebagai cleaner… dan macam-macamlah lagi yang berlegar di fikiran…..
Di waktu itu, sebenarnya kita telah mengutamakan pandangan manusia daripada pandangan ALLAH. Hakikat sebenar, semua pekerjaan adalah sangat mulia selagi ia tidak bercanggah dengan tuntutan syariat. Bagi pendapat saya, pekerjaan seperti tukang sapu, tukang cuci, pengutip sampah dan yang sama waktu sepertinya adalah sama taraf dan boleh jadi lebih mulia daripada profession doktor, guru, jurutera, dan lain-lain. Tanpa mereka, siapa yang akan membersihkan mahallah kita? Siapa yang akan mengutip sampah yang berlonggok dan berbau busuk? Jadi, hargailah dan berterima kasihlah kepada mereka atas jasa yang tak ternilai.




Hakikatnya kehidupan golongan ini lebih bahagia jika dibandingkan dengan seorang usahawan yang fikirannya sentiasa dirudum kerunsingan, setiap waktu memikirkan bagaimana dia dapat menambah harta dunianya. Pagi ini, saya dapat melihat kegembiraan dan dapat mendengar gelak ketawa seorang cleaner. Mengapa? Hakikatnya mereka sangat bahagia menjadi hamba yang bersyukur dengan apa yang ditetapkan Allah terhadap diri mereka. Jadilah insan yang bersyukur dengan apa jua yang ditetapkan Allah, pasti kita kan kecapi kebahagiaan baik di dunia mahupun di akhirat, INSYAALLAH… inilah HAKIKAT BAHAGIA…


Bahagia itu dari dalam diri
Kesannya zahir rupanya maknawi
Terpendam bagai permata di dasar hati
Bahagia itu ada pada hati
Bertakhta di kerajaan diri
Terbenam bagai mutiara di lautan nurani
Bahagia itu ada di jiwa
Mahkota di singgahsana rasa
Bahagia itu adalah suatu ketenangan
Bila susah tiada gelisah
Bila miskin syukur pada tuhan
Bila sakit tiada resah di jiwa
Bukankah tuhan telah berfirman
Ketahuilah dengan mengingati Allah
Jiwa kan menjadi tenang
Kebahagiaan itu suatu kesyukuran
Bila kaya jadi insan pemurah
Bila berkuasa amanah
Bila sihat tidak lupakan tuhan
Hakikatnya bahagia itu adalah ketenangan
Bila hati mengingati tuhan
Semua insan kan mengerti maksud terseni Ilahi
Itulah zikir yang hakiki

Tuesday, January 19, 2010

TERSINGKAP ERTI KEHIDUPAN



Semalam aku kelukaan,
Kecewa kehampaan mencalar ketabahan,
Mimpi yang sering kuharapkan menjadi kenyataaan,
Namun tak kesampaian…

Allah… Ingin kuhentikan langkah ini,
Bagaikan tak mampu untuk ku bertahan,
Semangat tenggelam lemah daya,
Haruskah aku mengalah,
Namun jiwa ku berbisik inilah dugaan…

Dan mata ku kini terbuka,
Pada hikmah dugaan uji keimanan,
Tapi perlukan ujian,
Di luar kekuatan setiap diri insan…

Allah... Pimpinlahlah diriku tuk bangkit semula,
Meneruskan langkah perjuangan ini,
Cekalkan hati dan semangatku,
Kurniakan ketabahan, agar mimpi jadi nyata…
PadaMu ku meminta ….

Daku mohon agung kudratMu
Wahai Tuhan Yang Satu, segalanya dariMu…



Lagu ini mengingatkan penulis kepada seorang sahabat. Persahabatan yang dirancang dan ditakdirkan oleh Allah. Subhanallah, Ya Allah aku tidak pernah menyangka akan pertemuan di antara kami. Tersingkap begitu banyak rahsia dan hikmah di sebalik persahabatan ini.. Benar, sebelum ini kami saling mengenali ketika berada di dalam perjuangan yang sama. Namun waktu yang singkat untuk mengenalinya tidak mampu mewujudkan ikatan hati antara kami…
Sebulan, bukanlah waktu yang panjang untuk kita benar- benar mengenali hati budi seseorang, tapi waktu sebulan itu cukup untuk kita menyayangi dan mengikat hati antara sahabat. Sepanjang waktu itulah aku dipertemukan oleh Allah dengan sahabatku. Tidur bersama, makan bersama, solat bersama sudah cukup membuatkan hati dua insan saling mengasihi atas dasar ukhuwah islamiyah.
Sahabat, mengenalimu adalah satu anugerah dari Allah. Ku akui Ya Allah, kebaikan yang datang dari sahabatku, hakikatnya adalah kebaikan dariMu, ku akui dan yakini segalanya adalah dariMu. Persahabatan ini telah menyedarkan diriku akan erti sebenar kehidupan, mengajar diriku akan erti sebenar ujian. Allah telah menimpakan ujian kepada sahabatku untuk orang di sampingnya dan di sekelilingnya mengambil ibrah . Bukan sekadar melihat dan memberi sokongan tapi Allah jua memberi aku peluang untuk berfikir dan merenung di sebalik apa yang berlaku.
Sahabat, moga dirimu terus tabah, moga Allah Ya Qawwiy, Ya Aziz terus meminjamkan kepadamu sedikit kekuatanNya untuk terus tabah, jangan sesekali kau hentikan langkahmu.
Ya Allah, aku gusar sekiranya ukhuwah yang terbina ini tersasar dari jalanMu, na'uzubillah Ya Allah. Janganlah aku sekadar mengungkap bahawa ukhuwah ini atas dasar Islamiyah, namun terselit jauh di sudut hati yang kotor ini sekadar pembohongan. Izinkanlah Ya Allah ukhuwah ini terbina keranaMu, bersihkanlah hati hambaMu ini dari sebarang kekotoran. Ameen…