Saturday, July 31, 2010

Mengharap Keberkatan & Keredhaan

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Alhamdulillah, hari ni berkesempatan membersihkan blog ni dari bersawang. Kesibukan bukanlah sebab mengapa hampir 2 minggu blog ini diabaikan. Cuma masa lapang yang ada saya manfaatkan untuk melakukan perkara lain, maklumlah kembara ilmu sudah bermula kembali. Dan ia masih panjang dan tiada istilah penghujung dalam kita mencari ilmu Allah.

Hari ini emosi saya terganggu, sindrom kaum wanita? Em, bukan hujah yang baik, mungkin saya tak pandai mengawal emosi. Semuanya gara-gara saya lewat ke study circle. Sampai sahaja di kelas, kelas berkunci, tiada siapa. Saya tahu, mesti tukar venue ni. Hati saya mula merungut, 'kenapa tak tampal tempat tukar venue kt pintu, bla3.'... Saya berpusing-pusing di blok HS, keseorangan.. TIDAK, saya ada Allah saat itu. Hampir putus asa, terserempak K.Ude, Syera, Juma, Angah. Saya cuba senyum, hakikatnya hati kacau saat itu. " aku nak balik", itu keputusan yang saya nak ambil ketika itu. Tindakan bodoh dan dipandu emosi saya kira. Tiba-tiba, saya teringat akan Syuhadak, ketika kalut2 tadi ada bertembung dengan dia tadi, mungkin kami satu section. ' Tanya dia lah'. ALHAMDULILLAH, akhirnya saya jumpa SC saya di EDU TR1.1...

Astaghfirullahal'azim... Saya cuba tajdid niat sebaik tiba di SC. ALHAMDULILLAH, emosi saya stabil sepanjang SC, dan seronok dapat kenal dengan fasi saya, Kak Mah =) Antara perkongsian selama hampir 2 jam, ialah mengenai taaruf. Banyak input baru yang saya dapat daripada K.Mah, walaupun tajuk TAARUF selalu bermain di bibir, rupanya banyak lagi yang saya tidak tahu. YA ALLAH, rupanya begitu cetek ilmuku, siapalah aku untuk menyombong diri dengan ilmu secetek ini.

KEBERKATAN HIDUP...

Sepanjang perjalanan ke mahallah dari SC, saya mendapat satu mesej.Mesej itu membuatkan saya berfikir tentang keberkatan hidup. Setiap langkah, perbuatan dan urusan, kita pasti mengharapkan BERKAT dan RAHMAT ALLAH sentiasa mengiringi. Saya bimbang, diberkatikah hidup saya? Berkatkah rezeki saya? Berkatkah ilmu saya dengan sahabat-sahabat, Kak Mah dan lecturer2???

Hari ini genaplah umur 20 tahun 12 hari. 'Semoga semakin meningkat umur, semakin bertambah iman dan amal, semoga DIBERKATI UMURMU'. AMIIN, moga doa-doa sahabat diperkenankanMU Ya Allah.
"YA ALLAH, berkatilah umurku, sesungguhnya semakin hampir aku kepada waktu itu. Waktu yang telah Engkau tetapkan kepada semua hambaMu, pulang kembali ke pangkuanMu."

KASIHANILAH DIA

Kami berkongsi tarikh yang sama. Genaplah umur saya 20 tahun, maka genap jugalah umur dia, 62 tahun. Siapa dia? Dialah insan yang sangat saya saya kasihi, insan yang tak pernah jemu memberi kasih sayang dan perhatian kepada saya. Hadiah daripada Allah...

"YA ALLAH, kasihanilah insan mulia itu. Pimpinlah kami berada di atas jalanMu, mengharap rahmat dan kasih sayangMu. Wajah itu semakin dimamah usia, kudratnya tak segagah dahulu, namun kasihnya tak pernah luntur, tak pernah berbelah bahagi. YA ALLAH, besarnya pengorbanan insan yang ku panggil mak. Ampunilah dosaku, layakkah aku digelar anak solehah? Penyejuk mata dan penenang hati buat mak dan abah? Kasihanilah mereka YA ALLAH..."

..............................................................

"Ni siapa?" soal seorang sahabat tentang gambar di dekstop laptop saya.
"Mak dan abah saya lah tu".
"Yeke..."
"Aah, maka abah saya dah tua..."

Ya, mak dan abah sudah tua. Itu hakikat yang perlu saya akui, tapi apabila saya mengakuinya, satu perasaan datang menerjah. Kebimbangan....

2 minggu lepas meningkat umur saya dan mak, bulan Oktober nanti pula genap umur abah 72 tahun. Benar, mak abah semakin tua,.. Saya perlu akui dan sedar...

Waktu semakin beredar, mengapa bertangguh untuk menjadi anak yang baik, yang berbakti kepada ibu bapa?
Semakin meningkat umur, semakin hampir menuju pulang ke pangkuanNya. Saya bimbang...
Hakikat kehidupan yang akan dilalui setiap hamba. Mungkin saya yang terlebih dahulu dijemput Ilahi, mungkin juga mak abah.



Dalam kesibukan menuntut ilmu,
BIMBANG andai aku lupa tanggungjawab sebagai anak.
Dalam kesibukan menggalas tanggungjawab agama,
BIMBANG andai aku menyisihkan kepentingan ibu bapa.
Dalam usaha untuk menjadi sahabat yang baik,
BIMBANG andai hati ibu bapa terguris semata-mata menjaga hati sahabat-sahabat.

BIMBANG,
Waktu itu semakin menghampiri,
Andai aku menyusul dahulu,
Apa yang telah ku hulurkan pada mereka,
Sedang dari kecil ku banyak menerima,
Apa yang ku beri hanya kegusaran pada mereka.

Hingga saat ini,
Di waktu uban memutihi kepala mereka,
Di saat kudrat tak segagah dahulu,
Mereka tak henti memerah keringat mencari rezeki,
Sedangkan ibu bapa lain sudah berehat di usia itu,
Tetapi kerana anak ini,
Mereka kata tak mengapa,
Tak mengapa ADIK...

BIMBANG,
Layakkah aku bergelar anak solehah?,
Aku mahu meninggalkan zaman remajaku,
Di saat hati suka memberontak,
Terasa baru sahaja semalam aku memeruk di dalam bilik,
Tatkala merajuk, terguris hati kononnya,
Akan ku tinggalkan zaman itu.
Terasa baru sahaja semalam aku cuba menjadi anak yang baik,
Kerana hari-hari lepas penuh dengan dosa dan khilaf.

Aku rindu,
Zaman kecil sering mendampingi mak abah,
Namun waktu itu aku buta untuk menilai erti sebenar kasih sayang,
Aku hanya tahu merengek, merajuk, menangis bila semua jadi tak kena.
Saat berjauhan dengan mereka,
Ku harap ruang itu beroleh kembali,
Untuk ku baiki apa yang khilaf,
Moga dengan tarbiyah dariMu,
Dapatku perbaiki diri.


Sahabat, moga-moga dapat kita fikirkan dan muhasabah bersama. Ajal tidak berdasarkan usia, boleh jadi yang muda dahulu dijemput Ilahi. Moga kita sama-sama dapat menjadi anak yang baik dan soleh@ah. Suka saya menyeru kepada diri sendiri dan sahabat-sahabat, fokuslah kepada cinta Ilahi, Rasul, dan ibu bapa. Bimbang andai cinta dunia yang bermaharajalela, membawa kita jauh dariNya. Benar, menolak cinta dunia itu sangat memedihkan, saya akui. Ibarat menarik kulit daripada daging... Sangat sukar kerana tak semua sanggup menahan kepedihannya termasuklah penulis sendiri. Namun, yakinlah kita ada Allah tempat bergantung . Kita pasti boleh mengatasinya =)

Sama-sama kita mencari keredhaan Ilahi, mengharap rahmat dan keberkatan dariNya. Moga kita diberi kesempatan oleh Allah untuk bertemu dengan bulan Ramadhan yang bakal tiba tidak lama lagi...InsyaAllah...
Wallahua'lam...





Saturday, July 17, 2010

RENUNGKAN...



Apabila kau ingin berteman jangan kerana kelebihannya,
Kerana mungkin dengan 1 kelemahannya, kau akan menjauhinya.

Andai ingin berteman jangan kerana kebaikannya,
Kerana mungkin dengan 1 keburukannya, kau membencinya.

Andai ingin bersahabat jangan kerana ilmunya,
Kerana kalau dia buntu kau mungkin memfitnahnya.

Andai ingin berteman jangan kerana sifat cerianya,
Kerana andainya dia tidak pandai menceriakan kau,
Mungkin kau akan menyalahkannya.

Andai ingin bersahabat, terimalah seadanya,
Kerana dia hanya manusia biasa,
Jangan diharap kesempurnaan,
Kerana kau juga tidak sempurna.
KESEMPURNAAN MILIK ALLAH YANG HAKIKI…

Sunday, July 11, 2010

PERJUANGAN BARU BERMULA….


Damai dhuha ini menenangkan jiwaku,
Udara kurniaanMu mengizinkan hadirku DI SINI,
Meneruskan langkah perjuangan,
Yang masih panjang kerna perjuangan DI SINI baru bermula ….

Jalan ini yang telah ku pilih,
Lorong sempit ini yang akan ku selusuri,
Sedang ramai yang memilih lorong luas itu,
Aku masih berada di lorong ini.

Mengapa perlu digusar dan dirisau,
Bukan ku selusuri keseorangan tanpa teman,
DI SINI ramai sahabat berjiwa mujahid mendahului,
Sedang langkah ku DI SINI baru bermula…

Ya Allah Ya Qawwiy,
Kuatkan langkah ku menyelusuri lorong ini,
Aku enggan berpaling dari lorong ini,
Walaupun laluannya dirintangi seribu onak dan duri…

Ya Allah Ya Latif,
Pandulah hatiku dan sahabat-sahabat,
Moga langkah kami tidak tersasar dari niat sebenar,
Tidak terhenti di pertengahan jalan penuh berliku ini.

Bukan aku yang memulakan perjuangan,
Bukan aku jua yang mengakhirinya,
Aku adalah penyambung perjuangan,
Namun DI SINI langkah dan perjuangan bermula,
DI BUMI GOMBAK…

Sunday, July 4, 2010

HADIAH BUAT SAHABAT BARU

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani…

Alhamdulillah, hari ini Allah permudahkan perjalanan dari kampung ke Kajang… Dan di atas takdir Allah, saya berkenalan dengan seorang sahabat baru yang sangat ramah di dalam bas menuju ke KL. Dan saya kira perkenalan saya yang diatur oleh Allah itu merupakan wasilah untuk menerima pengetahuan dan ilmu, serta terselit wasilah untuk menyebarkan peringatan.

PENGALAMAN ITU MAHAL!!

“Adik belajar lagi?” sahabat bertanya.
“Aah, belaja lagi…” saya menjawab ringkas.
“Saya tak belajar dah, saya dah bekerja, baru umur 21”…

Itulah bibit perbualan awal kami. Dia seorang yang sangat suka bercerita dan berkongsi pengalaman, membuatkan saya senang berbual dengannya sepanjang perjalanan. Kagum saya apabila di awal perbualan, dia memberitahu bahawa dia membuka kedai sendiri (saloon) dengan permulaan modal dengan duit simpanan sendiri, dan sekarang pada umur 21 tahun dia berada di keadaan yang agak selesa. Maka , berkobar-kobarlah saya ingin mengorek dan menyiasat rahsia dan tips darinya.

Dia sentiasa memberitahu pada rakan-rakan bahawa pada suatu hari nanti dia mahu membuka saloon sendiri, dan alhamdulillah impian itu tercapai. Saya seronok untuk berkongsi impian saya bersamanya. Satu nasihat daripadanya, dan mungkin selalu kita dengar:
“Bila dah melibatkan diri dalam perniagaan, kita perlu lalui kesusahan dan kejatuhan. Untuk capai satu tahap kejayaan memakan bertahun-tahun, dan saya lihat kebanyakan Melayu apabila jatuh sekali terus give up. Terus tutup kedai, sedangkan itu adalah permulaan menuju kejayaan…”

“Saya pernah belajar dulu, tapi 2 bulan je, lepas tu berhenti. Saya takde diploma atau ijazah, tapi saya rasa pengalaman tu cukup untuk saya pergi lebih jauh.”

HIDAYAH MILIK ALLAH….

“Lepas berhenti belajar, saya pergi kerja di Genting. Gaji lumayan, RM1 200 sebulan. Tak lama pun, lepas tu saya berhenti.”

Saya cuba menjadi pendengar yang baik, tidak pula saya bertanya apa kerja yang dilakukan di Genting Highland.

Saya ingin tahu, “Berapa lama kerja kat sana, kenapa berhenti?
“6 bulan, gaji memang lumayan tapi kalau hati tak tenang buat apa? So, saya ambik keputusan balik Mentakab. Bukak saloon dengan duit simpanan sendiri. ”

Saya mengiyakan apa yang dikatakannya. Saya lihat kebaikan di sebalik dirinya, dan kemudian saya tahu lebih banyak lagi tentang dirinya.

“Dalam business, rezeki tu dari Tuhan. Kadang-kadang banyak duit kat tangan tapi tak sedar pun habis, takde berkat lah rezeki tu.”
Saya kagum….
Dia bercerita lagi…

“Dulu saya free hair, color rambut. Sebelum bukak saloon ni, saya selalu pergi library. Baca buku tentang business dan agama. Tak lama lepas tu, hati saya tergerak nak pakai tudung.” Saya mendengar dengan penuh perhatian, sedang hati memujiMu Ya Allah...

Sungguh, benar, pasti!!!
HIDAYAH itu milik ALLAH!!!

TERIMALAH…..

Sebelum turun dari bas, saya menghulurkan sebuah buku kepadanya. Tanda ingatan kepada perkenalan singkat hari ini. Sempat juga saya sertakan nama dan no telefon di dalamnya. “DIARI SUFI”, insyaAllah saham akhirat yang disemai oleh Siti Munazakiah. Moga ada kebaikan untuk dirinya.

MENULISLAH…

Saya masih ingat lagi nasihat dari Ustaz Khairi, Pengarah Al- Azhar Media yang juga merupakan salah seorang yang bertungkus lumus untuk menghasilkan kamus Moden Al-Miftah. Beliau berkata, teruslah untuk menulis, dan berusahalah untuk menghasilkan sebuah buku kerana apa yang kita sampaikan melalui penulisan itu akan menjadi saham untuk akhirat, juga menjadi wasilah menyampaikan ilmu serta kebaikan kepada orang lain. Dalam kata lain, salah satu wasilah menyampaikan dakwah.

Saya menyeru diri sendiri dan sahabat semua,sama samalah kita menuju jalan kebaikan. Sentiasalah kita berebut-rebut untuk berbuat kebaikan. Sesungguhnya jalan dan peluang untuk ke arah itu sentiasa terbuka. Segalanya terserah kepada diri kita, sama ada memilihnya atau berpaling darinya. Sama-sama fikir dan zikir...

Wallahua'lam...