Sunday, July 4, 2010

HADIAH BUAT SAHABAT BARU

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani…

Alhamdulillah, hari ini Allah permudahkan perjalanan dari kampung ke Kajang… Dan di atas takdir Allah, saya berkenalan dengan seorang sahabat baru yang sangat ramah di dalam bas menuju ke KL. Dan saya kira perkenalan saya yang diatur oleh Allah itu merupakan wasilah untuk menerima pengetahuan dan ilmu, serta terselit wasilah untuk menyebarkan peringatan.

PENGALAMAN ITU MAHAL!!

“Adik belajar lagi?” sahabat bertanya.
“Aah, belaja lagi…” saya menjawab ringkas.
“Saya tak belajar dah, saya dah bekerja, baru umur 21”…

Itulah bibit perbualan awal kami. Dia seorang yang sangat suka bercerita dan berkongsi pengalaman, membuatkan saya senang berbual dengannya sepanjang perjalanan. Kagum saya apabila di awal perbualan, dia memberitahu bahawa dia membuka kedai sendiri (saloon) dengan permulaan modal dengan duit simpanan sendiri, dan sekarang pada umur 21 tahun dia berada di keadaan yang agak selesa. Maka , berkobar-kobarlah saya ingin mengorek dan menyiasat rahsia dan tips darinya.

Dia sentiasa memberitahu pada rakan-rakan bahawa pada suatu hari nanti dia mahu membuka saloon sendiri, dan alhamdulillah impian itu tercapai. Saya seronok untuk berkongsi impian saya bersamanya. Satu nasihat daripadanya, dan mungkin selalu kita dengar:
“Bila dah melibatkan diri dalam perniagaan, kita perlu lalui kesusahan dan kejatuhan. Untuk capai satu tahap kejayaan memakan bertahun-tahun, dan saya lihat kebanyakan Melayu apabila jatuh sekali terus give up. Terus tutup kedai, sedangkan itu adalah permulaan menuju kejayaan…”

“Saya pernah belajar dulu, tapi 2 bulan je, lepas tu berhenti. Saya takde diploma atau ijazah, tapi saya rasa pengalaman tu cukup untuk saya pergi lebih jauh.”

HIDAYAH MILIK ALLAH….

“Lepas berhenti belajar, saya pergi kerja di Genting. Gaji lumayan, RM1 200 sebulan. Tak lama pun, lepas tu saya berhenti.”

Saya cuba menjadi pendengar yang baik, tidak pula saya bertanya apa kerja yang dilakukan di Genting Highland.

Saya ingin tahu, “Berapa lama kerja kat sana, kenapa berhenti?
“6 bulan, gaji memang lumayan tapi kalau hati tak tenang buat apa? So, saya ambik keputusan balik Mentakab. Bukak saloon dengan duit simpanan sendiri. ”

Saya mengiyakan apa yang dikatakannya. Saya lihat kebaikan di sebalik dirinya, dan kemudian saya tahu lebih banyak lagi tentang dirinya.

“Dalam business, rezeki tu dari Tuhan. Kadang-kadang banyak duit kat tangan tapi tak sedar pun habis, takde berkat lah rezeki tu.”
Saya kagum….
Dia bercerita lagi…

“Dulu saya free hair, color rambut. Sebelum bukak saloon ni, saya selalu pergi library. Baca buku tentang business dan agama. Tak lama lepas tu, hati saya tergerak nak pakai tudung.” Saya mendengar dengan penuh perhatian, sedang hati memujiMu Ya Allah...

Sungguh, benar, pasti!!!
HIDAYAH itu milik ALLAH!!!

TERIMALAH…..

Sebelum turun dari bas, saya menghulurkan sebuah buku kepadanya. Tanda ingatan kepada perkenalan singkat hari ini. Sempat juga saya sertakan nama dan no telefon di dalamnya. “DIARI SUFI”, insyaAllah saham akhirat yang disemai oleh Siti Munazakiah. Moga ada kebaikan untuk dirinya.

MENULISLAH…

Saya masih ingat lagi nasihat dari Ustaz Khairi, Pengarah Al- Azhar Media yang juga merupakan salah seorang yang bertungkus lumus untuk menghasilkan kamus Moden Al-Miftah. Beliau berkata, teruslah untuk menulis, dan berusahalah untuk menghasilkan sebuah buku kerana apa yang kita sampaikan melalui penulisan itu akan menjadi saham untuk akhirat, juga menjadi wasilah menyampaikan ilmu serta kebaikan kepada orang lain. Dalam kata lain, salah satu wasilah menyampaikan dakwah.

Saya menyeru diri sendiri dan sahabat semua,sama samalah kita menuju jalan kebaikan. Sentiasalah kita berebut-rebut untuk berbuat kebaikan. Sesungguhnya jalan dan peluang untuk ke arah itu sentiasa terbuka. Segalanya terserah kepada diri kita, sama ada memilihnya atau berpaling darinya. Sama-sama fikir dan zikir...

Wallahua'lam...

No comments:

Post a Comment