Saturday, February 20, 2010

HELAIAN YANG KOYAK...

Hari ini badan terasa amat lemah, semangat pun lemah. Ya Allah, hari ini Engkau menarik nikmat sihat hambaMu ini. Sepanjang hari ini, perkataan ‘mati’ sering hadir di fikiranku. Benar Ya Allah, mati itu hadir bila-bila sahaja. Setiap yang hidup pasti merasai mati…. Benar janjiMu Ya Allah…

Hari ini saya dan sahabat-sahabat lain perlu pergi ke bilik ustaz untuk mentasmi’ hadith 40. Tapi badan terasa sangat lemah, saya menangguh untuk pergi keesokan harinya. Mungkin disebabkan dalam fatrah exam, 2 malam berturut-turut saya tidak tidur. Tak lama selepas itu, satu mesej masuk, ada usrah selepas Zohor. Tiba-tiba saya mengeluh. Astaghfirullah ….

Ketika solat Zohor saya mencari kekuatan dan bantuan dari Allah. Saya pohon moga Allah bantu saya memperbetulkan niat, bimbang andai saya pergi ke usrah atas dasar terpaksa. Saya berjalan ke masjid, cuaca hari ini agak panas terik… Alhamdulillah, banyak perkongsian sepanjang usrah tersebut. Saya berasa kagum dengan tadhiyah naqibah saya, akak tersebut sanggup datang ke Nilai untuk menyampaikan ilmu di samping melaksanakan tanggungjawabnya. Sedangkan saya yang dekat cuma dengan masjid, sudah mengeluh dan kesihatan hari ini tak wajar dijadikan alasan.

Sebelum pergi ke usrah, saya sempat mengambil sebuah buku buat peneman sepanjang perjalanan. Saya tertarik dengan buku yang sudah lama tidak dibelek semula, “ Malam Pertama di Alam Kubur”…Saya membelek sebentar, tiba-tiba helaian kedua muka surat terkoyak. Ganasnya belek buku. Saya berasa agak sedih, kerana sebolehnya saya ingin menjaga sebaiknya buku yang berada dalam koleksi saya. Saat itu saya terfikir, begitu senang buku itu boleh terkoyak, sedangkan buku itu kelihatan elok dan tiada tanda-tanda akan koyak. Bagaimana dengan kematian?? Bersambung…..

Monday, February 15, 2010

DUHAI ANGIN, AIR DAN BURUNG...

Duhai angin,
Andai kau berhembus lembut ke sisinya,
Sampaikan salam sayangku kepadanya,
Angin... Hembuslah selembut bayu kepadanya,
Tanda kasih dan sayangku kepadanya,
Agar segar dan nyaman sebentar tubuhnya,
Dari kepenatan yang tak pernah sudah...

Duhai air,
Andai kau mengalir di sisinya,
Sampaikan salam kemaafan kepadanya,
Air... Mengalirlah setenang mungkin,
Agar terdengar rintihan maafku,
Di sebalik alunan irama aliran airmu,
Moga sejuk kalbunya menghulur keredhaan kepadaku...

Duhai burung,
Si kecil yang bernyanyi riang,
Terbanglah menuju kepadanya,
Riangkan hatinya dengan irama nyanyianmu,
Agar terhibur dan tenang hatinya,
Tatkala hatinya diselubungi kesunyian dan resah,
Saat menanti kepulanganku kepadanya...

Moga terukir sebuah senyuman,
Moga terbit sinar kegembiraan dan kebahagiaan,
Pada seraut wajah yang kian dimamah usia,
Mak dan abah...

Wahai Tuhan,
Pencipta sekalian alam,
Pencipta angin, air, dan jua burung,
Dengan izinMu, makbulkanlah hajatku,
Jua kasihani dan rahmatilah keduanya,
Moga bahagia keduanya di sana kelak,
Ameen Ya Rabbal 'Alamin...

Sunday, February 14, 2010

PESAN SEORANG AYAH

Ketika sedang membelek-belek sebuah majalah, saya tertarik dengan satu artikel. Peringatan buat wanita @ gadis di akhir zaman ini. Suka untuk saya berkongsi peringatan tersebut bersama para wanita yang bergelar muslimah di luar sana. Moga menjadi peringatan buat kita semua dalam menempuh kehidupan akhir zaman yang penuh dengan dugaan dan fitnah.




WAHAI PUTERIKU…

Puteriku tercinta! Aku seorang yang telah berusia hampir lima puluh tahun. Hilang sudah masa remaja, impian dan khayalan. Aku telah mengunjungi banyak negeri dan berjumpa dengan banyak orang.
Aku juga telah merasakan pahit getirnya dunia. Oleh kerana itu dengarkan nasihat-nasihat yang benar lagi jelas, berdasarkan pengalamanku, yang mana engkau mungkin belum pernah mendengarnya dari orang lain.

PUTERIKU...
Dengarlah bicara dari hatiku…

Benar bahawa lelakilah yang memulai langkah pertama dalam lorong dosa, tetapi bila engkau tidak setuju, lelaki itu tidak akan berani, dan andai kata bukan lantaran lemah gemalaimu, lelaki tidak akan bertambah parah. Wanitalah yang membuka pintu, seolah kau katakan kepada si pencuri itu : “silakan masuk, silakan…”. Apabila ia telah mencuri, engkau berteriak: “pencuri! Tolong, tolong!! Saya dicuri.”
Demi Allah, dalam khayalan seorang pemuda tak melihat gadis kecuali gadis itu telah ia telanjangi pakaiannya.

Demi Allah begitulah, jangan engkau mudah percaya apa yang dikatakan lelaki, mereka tidak akan melihat gadis kecuali akhlak dan budi bahasanya. Ia akan berbicara kepadamu sebagai seorang sahabat. Demi Allah ia telah berbohong!

Senyuman yang diberikan pemuda kepadamu, kehalusan budi bahasa dan perhatian, semua itu tidak lain hanyalah merupakan perangkap rayuan. Setelah itu apa yang terjadi?
Kalian berdua sesaat berada dalam kenikmatan, kemudian engkau ditinggalkan, dan engkau selamanya tetap akan merasakan penderitaan akibat kenikmatan itu. Pemuda tersebut akan mencari mangsa lain untuk diterkam kehormatannya, dan engkaulah yang menanggung beban kehamilan. Jiwamu menangis, keningmu tercoreng. Selama itu hidupmu tetap berkubang dalam kehinaan dan keaiban, masyarakat tidak akan mengampunimu.

PUTERIKU…

Cita-cita wanita tertinggi adalah perkahwinan. Wanita, bagaimana tinggi pun status social kekayaan, populariti, dan prestasnya, sesuatu yang sangat diinginkannya adalah menjadi isteri yang baik serta ibu kepada rumah tangga yang terhormat.
Tak ada seorang pun yang mahu menikahi pelacur, sekalipun ia lelaki hidung belang, apabila akan menikah tidak akan memilih wanita rosak, akan tetapi ia akan memilih wanita yang baik kerana ia tidak rela bila suri rumah tangganya dan ibu kepada putera puterinya adalah seorang wanita yang tidak baik.

Sesungguhnya krisis perkahwinan terjadi disebabkan kelalaian kaum wanita! Krisis perkahwinan terjadi disebabkan perbuatan wanita-wanita perosak, sehingga para pemuda tidak mahu isteri. Akibatnya ramai para gadis yang sudah berusia tidak mendapat suami. Mengapa wanita-wanita yang baik belum juga sedar? Mengapa kalian tidak berusaha membanteras malapetaka ini?

Kalianlah yang lebih patut dan lebih mampu daripada kaum lelaki untuk melakukan usaha itu kerana kalian lebih mengerti bahasa wanita. Dan kalian lebih tahu cara menyedarkan mereka.

Dan oleh kerana yang menjadi korban kerosakan ini adalah kalian, para wanita mulia dan beragama, maka hendaklah kalian mengajak wanita lain agar bertaqa kepada Allah. Bila mereka enggan, peringatkanlah mereka akan akibat yang buruk dari perzinaan seperti berjangkitnya suatu penyakit.

Bila mereka masih membangkang maka beritahukan akan kenyataan yang ada: kalian adalah gadis-gadis remaja puteri yang cantik, oleh kerana itu, akan ramai pemuda yang mendatangi kalian dan berebut di sekitar kalian. Tetapi apakah kecantikan itu kan kekal? Semua makhluk di dunia ini tidak ada yang kekal. Bagaimana kelanjutannya, bila kalian sudah menjadi nenek dengan pinggang bongkok dan wajah keriput? Pada waktu siapakah yang akan memperhatikan? Siapa yang akan simpati?

Tahukah kalian, siapakah yang akan memperhatikan, menghormati dan mencintai seorang nenek? Mereka adalah anak dan para cucunya, saat itulah nenek tersebut menjadi ratu di tengah rakyatnay. Duduk di atas singgahsana dengan memakai mahkota. Tetapi bagaimana dengan nenek yang lain, yang masih belum bersuami itu? Apakah kelazatan itu sebanding dengan penderitaan di atas? Apakah akibat itu akan kita tukar dengan kelazatan sementara?

Dan berilah nasihat-nasihat yang serupa, saya yakin kalian tidak perlu petunjuk orang lain serta tidak kehabisan cara untuk menasihati saudari-saudari yang sesat dan patut dikasihani. Bila kalian tidak dapat mengatasi mereka, berusahalah untuk menjaga wanita-wanita baik, gadis-gadis yang sedang remaja, agar mereka tidak menempuh jalan yang salah.

PUTERIKU…

Kami tidak minta kalian untuk berubah secara drastik mengembalikan wanita kini menjadi keperibadian muslimah yang benar, akan tetapi kembalilah ke jalan yang benar setapak demi setapak sebagaimana kalian menerima kerosakan sedikit demi sedikit.
Perbaikan tersebut tidak dapat diatasi hanya dalam waktu sehari atau dalam waktu singkat, melainkan dengan kembali ke jalan yang benar dari jalan yang semula kita lewati menuju keburukan walaupun jalan itu sekarang telah jauh, tidak menjadi soal, orang yang tidak mahu menempuh jalan panjang yang hanya satu-satunya ini, tidak akan pernah sampai. Kita mulai dengan membanteras pergaulan bebas, (kalaupun) seorang wanita menutup aurat tidak bererti ia boleh bergaul denagn lelaki yang buka mahramnya dengan bebas dengan berjabat tangan kawan lelaki di sekolah, berbincang, berjalan seiring, belajar bersama.

Jangan lupa bahawa Allah menjadikannya sebagai wanita dan kawannya sebagai lelaki, satu dengan lain dapat saling teransang. Baik wanita, lelaki atau seluruh dunia tidak akan mampu mengubah ciptaan Allah, menyamakan dua jenis atau menghapus ransangan seks dari dalam jiwa mereka.

Mereka yang menggembar-gemburkan kebebasan dan pergaulan bebas atas dasar kemajuan adalah pembohong, dilihat pada dua sebab:

Pertama: Kerana mereka lakukannya untuk kepuasan diri mereka, memberikan kenikmatan melihat anggota badan yang terbuka dan kenikmatan-kenikmatan lain yang mereka bayangkan. Akan tetapi mereka tidak berani berterus-terang, oleh kerana itu mereka berselindung di sebalik kalimat kemajuan, modernisasi, hak asasi dan pelbagai lagi ungkapan-ungkapan lain.

Kedua: Kerana mereka bermakmum pada Barat, bagaikan kiblat, seolah-olah kebenaran adalah apa yang datang dari sana, dari Paris, London, Berlin, dan New York, yang berupa tari-menari, pergaulan bebas di pusat-pusat pengajian, mendedah aurat di khalayak, di pantai, di kolam renang. Kebatilan menurut mereka adalah segala sesuatu yang datangnya dari Timur, sekolah-sekolah Islam dan masjid-masjid, walaupun berupa kehormatan, kemuliaan , kesucian dan keamanan. Kata mereka, pergaulan bebas itu dapat mengurangi nafsu berahi, mendidik watak dan menekan libido seksual. Untuk menjawab ini saya limpahkan pada mereka yang telah mencuba pergaulan bebas di sekolah-sekolah, seperti Rusia yang tidak beragama, tidak pernah mendengar para ulam dan pendeta. Bukankah mereka telah meninggalkan percubaan ini setelah melihat bahawa hal ini amat merosak?

PUTERIKU…

Puteriku yang beriman dan beragama! Puteriku yang terhormat dan terpelihara, ketahuilah bahawa yang menjadi korban semua ini bukan orang lain kecuali engkau.
Oleh kerana itu jangan berikan diri kalian sebagai korban iblis, jangan dengar ucapan mereka yang merayu dengan pergaulan yang alasannya, hak asasi, modernism, emansipasi dan kehidupan kampus. Sungguh kebanyakan orang yang terkutuk ini tidak beristeri dan tidak memiliki anak, mereka sama sekali tidak peduli dengan kalian selain untuk pemuas kelazatan sementara.. sedangkan saya adalah seorang ayah daripada empat orang gadis. Bila saya membela kalian, bererti saya membela puteri-puteriku sendiri. Saya ingiin kalian bahagia seperti yang saya inginkan untuk puteri-puteriku.

Sesungguhnya tidak ada yang mereka inginkan selain memperkosa kehormatan wanita. Kemuliaan yang tercela tidak akan kembali, begitu juga martabat yang hilang tidak akan dapat ditemui kembali.

Bila anak puteri jatuh, tak seorang pun di antara mereka mahu menyinsingkan lengan intuk membangunkannya dari lembah kehinaan. Yang engkau dapati mereka hanya merebut kecantikan si gadis, apabila telah berubah dan hilang, mereka pun lalu pergi, persisnya seperti anjing meninggalkan bangkai yang tidak tersisa daging sedikit pun. Inilah nasihatku padamu, puteriku. Inilah kebenaran. Selaini ini jangan percaya. Sedarlah bahawa di tanganmulah, bukan di tangan kami kaum lelaki, kunci pintu perbaikan. Bila mahu perbaiki diri kalian, dengan demikian umat pun kan menjadi baik.

(Adaptasi daripada buku “Wahai Puteriku” oleh ALI THANTAWI)

12 FEB @ 14 FEB??

Apabila menyebut tarikh 14 FEBRUARI saya pasti semua sedia maklum apa yang berlaku pada tarikh tersebut. Valentine Day, juga digelar sebagai Hari Berkasih Sayang yang disambut oleh Barat. Namun tidak dinafikan budaya tersebut menular di negara kita. Lebih menyedihkan apabila ada segelintir umat Islam yang terikut-ikut budaya Barat ini. Tetapi apakah kita semua tahu apakah yang berlaku pada 12 FEBRUARI? Saya juga alpa dan tidak tahu, namun Alhamdulillah saya diperingatkan oleh seorang sahabat melalui mesej. Sebagai makluman kita bersama, bagi mereka yang mungkin tidak tahu atau mungin terlupa serta tidak sedar, 12 FEBRUARI adalah tarikh pemergian seorang pejuang agama Allah, AS-SYAHID HASSAN AL-BANNA, pengasas Ikhwanul Muslimin. Kini genap 61 tahun pemergian beliau, bukan sanjungan yang melampau dan ekstrem yang ingin dibicarakan, tetapi semangat dan roh perjuangan As-Syahid Hassan Al-Banna menjadi peniup dan pembakar semangat para penyambung mata perjuangan Rasulullah di abad ini. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau. Al- Fatihah…

Saturday, February 13, 2010

KEPASRAHAN RUMAISA'

Rumaisa…
Kau sedar setiap anugerah itu adalah pinjaman,
Penuh redha engkau terima,
Setiap kau miliki bukanlah milikmu yang hakiki
Tiba masa harus kembali pada yang haq
Walaupun yang dikembalikan itu
Adalah anakmu sendiri…...

Sebelum Islam tersebar di kota Madinah, Rumaisa binti Malhan sudah lebih dahulu terkenal dengan kebijaksanaan, ketegasan dan tidak mudah bergantung kepada orang lain. Dia dikenali dengan pelbagai nama antaranya seperti Sahlah, Ramlah, Rumaisah, Mulaikha dan Ghumaysa. Namun mungkin itu adalah nama-nama samarannya kerana di dalam kitab 'Al- Isti'aab' karya Ibnu Abdil Bar, nama penuhnya iaitu Ummi Sulaim binti Malhan bin Khalid bin Zaid bin Hizam bin Jundud bin Amir bin Ghunm bin Adiy bin An-Najjar.

Ummi Sulaim adalah isteri kepada Malik bin An- Nadr. Mereka mempunyai seorang putera iaitu Anas ibn Malik, salah seorang sahabat karib Rasulullah SAW. Ummi sulaim adalah di antara wanita-wanita yang terawal memeluk agama Islam. Sesudah dia memeluk agama Islam dia telah mengajak suaminya Malik untuk turut sama beriman kepada agama baru ini. Namun ajakannya itu telah mengundang kemarahan suaminya. Lantas Malik pun memarahi Ummi Sulaim dengan kata-katanya, "Apakah kau sudah lupa akan agama nenek moyang kita?"

Ummi Sulaim pun menjawab dengan lembut, " Sesungguhnya aku telah menghadapkan wajahku kepada Allah, Tuhan semesta alam ini."

Kemudian Ummi Sulaim berpaling kepada anaknya Anas dan dia mengajarkan pula anaknya untuk mengucap dua kalimah syahadah. Anak kecil itu pun mengucapkannya. Ini berlaku ketika suaminya masih berada di hadapannya. Lantas suaminya naik berang dan berkata kepada Ummi Sulaim, " Kau sudah menghancurkan kepercayaan anakku!"

Ummi Sulaim segera menjawab dengan tegas, "Aku tidak menghancurkan kepercayaannya, malah aku membawanya ke jalan yang benar supaya dia membesar dengan penuh keimanan."

Ummi Sulaim memang terkenal dengan sikap ketegasannya. Dia mempunyai pendapat yang tepat dan kuat berhujah. Sejak memilih Islam, dia terus menerus berdebat dengan suaminya sehingga suaminya tidak tahan lagi dan meninggalkannya menuju ke negeri Syam. Semenjak itu, Ummi Sulaim tidak mendengar sebarang khabar dari suaminya sehinggalah berita kematian suami diketahui olehnya. Sejak mendapat berita tentang kematian suaminya, Ummi Sulaim telah berjanji kepada dirinya bahawa dia tidak akan berkahwin selagi anaknya, Anas tidak merestui perkahwinannya.

Tidak berapa kemudian, seorang musyrikin bernama Abu Talhah telah mengutuskan pinangan kepada Ummi Sulaim. Dia telah menolak pinangan Abu Talhah seraya berkata:
"wahai Abu Talhah! Bagaimana aku boleh berkahwin denganmu sedangkan kau menyembah berhala dan menyembah pohon yang tiada memberi manfaat ataupun mudharat. Kau sanggup menyembah batang kayu yang dibawa oleh tukang kayu ke sana ke mari. Jika aku meletakkan batang kayu ini ke dalam api, pasti ia menjadi abu. Dan abunya pula akan berterbangan ditiup angin. Di mana akal fikiranmu? Kenapa kau begitu bodoh?" Ummi Sulaim telah berkata kepadanya dengan tegas tanpa berselindung lagi.

Ucapan Ummi Sulaim itu tadi telah membuat Abu Talhah terpaku. Telinganya terasa berdesing sebentar. Dengan marah dia bangun dan meninggalkan Ummi Sulaim. Apabila tiba di rumah, kata-kata Ummi Sulaim masih bermain di fikiran Abu Talhah. Dia amat terkesan dengan kata-kata Ummi Sulaim tadi kerana selama ini tiada siapa yang berani mengatakan seperti itu kepadanya, inikan pula seorang wanita yang janda. Abu Talhah kebingungan.

Dia mula mengamati kembali segala kata-kata Ummi Sulaim tadi. Tanpa disedari, dia sebenarnya sependapat dengan Ummi Sulaim. Dia terfikir bahawa batu yang disembahnya itu boleh dipecah-pecahkan dan kayu juga boleh dibakar sehingga menjadi abu. Mengapa dia tidak boleh berfikir seperti Ummi Sulaim ini. Kini dia sedar apa yang dilakukannya selama ini adalah tidak benar belaka. Dia mula melihat kebenaran yang ditunjukkan oleh Ummi Sulaim.

Kemudian Abu Talhah telah pergi menemui Ummi Sulai sekali lagi. Kedatangannya kali ini adalah untuk menyatakan kesediannya memeluk agama Islam. Maka di hadapan Ummi Sulaim, Abu Talhah telah beriman kepada Allah SWT. Ummi Sulaim merasa gembira dan menerima lamaran Abu Talhah.

Ummi Sulaim telah menolak segala pemberian maskahwin ataupun hadiah untuknya. Telah cukup baginya hanya dengan menerima Abu Talhah sebagai muslim. Dia juga telah meminta izin daripada anaknya, Anas untuk berkahwin lagi. Maka berkahwinlah Ummi Sulaim dengan Abu Talhah dan dikurniakan seorang putera bernama Abdullah.

Ummi Sulaim merupakan seorang wanita yang sungguh tegas dan bijaksana. Dia bukan saja dilihat dengan kelembutan seorang wanita, malah dia adalah seorang pejuang di medan perang. Dia telah bersama-sama Rasulullah SAW semasa pertempuran Badar dan Uhud. Dia telah membantu para pejuang Muslimin dengan memberi minum dan membalut luka-luka mereka di dalam peperangan itu.

Ketika kaum Muslimin menghadapi peperangan Hunain pula, Ummi Sulai telah keluar bersama-sama dengan membawa pisau sabit. Apabila Rasulullah SAW bertanya mengapa dia membawa pisau sabit itu, maka Ummi Sulaim menjawab ia adalah untuk mempertahankan dirinya dan juga RasulNya. Apabila mendengar ucapan Ummi Sulaim ini, Rasulullah SAWtelah berkata kepadanya bahawa Allah telah mencukupi dan memuliakan Ummi Sulaim.

Ummi Sulai sentiasa memandang Rasulullah SAW dengan penuh kasih dan hormat. Setiap kali Rasulullah SAW bertandang ke rumahnya ia menganggapnya satu keberkatan dan kemuliaan. Dia juga pernah meminta agar Rasulullah SAW mendoakan anaknya Anas, sehingga Anas menjadi perawi hadis yang unggul dan terkenal.

Di antara banyak peristiwa yang berlaku ke atas Ummi Sulaim, ada satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh sesiapa jua yang mendengarnya. Salah seorang dari anaknya bersama Abu Talhah telah diserang penyakit. Semakin lama penyakit itu semakin kuat. Maka akhirnya anak itu pun meninggal dunia.

Ketika itu Abu Talhah tidak ada di rumah. Dia berada di luar kota. Lalu dimandikan dan diuruskan jenazah anaknya itu. Kemudian dibaringkan jenazah itu di atas katilnya seakan-akan dia sedang tidur lena.

Apabila Abu Talhah pulang ke rumah pada malam itu, seperti biasa Ummi Sulaim telah menyambutnya dengan penuh kemesraan. Kemudian Abu Talhah bertanyakan khabar anaknya. Maka Ummi Sulaim pun menjawab bahawa anak mereka itu berada di dalam keadaan yang lebih aman dan tenteram dari sebelumnya. Mendengarkan ini Abu Talhah merasa amat gembira sekali. Dia menyangka bahawa anaknya itu telah sembuh dari penyakitnya.

Ummi Sulaim pun menyediakan makanan buat Abu Talhah. Kemudian dia menghiasi dirinya supaya kelihatan cantik dan menarik. Setelah makan, Abu Talhah pun duduk bersama-sama isterinya. Sesudah itu mereka pun berehat bersama sambil bergurau senda. Ummi Sulaim pun tanpa membuang masa lagi terus bertanya kepada Abu Talhah, "Apa pandanganmu jika ada meminjam sesuatu daripada jiran kita, haruskah kita memulangkannya kembali?"

Abu Talhah pun menjawab, "Sudah tentu setiap barang yang kita pinjam harus dikembalikan kepada tuannya."

Ummi Sulaim pun berkata lagi, "Begitu juga dengan anak kita itu, wahai Abu Talhah. Dia milik Allah yang telah dipinjamkan kepada kita dan sekarang ini Allah telah mengambilnya kembali."

Mendengar ucapan isterinya itu, maka fahamlah Abu Talhah apa yang telah berlaku ke atas anaknya itu. Dia redha atas segala kehendakNya. Kemudian Abu Talhah keluar untuk menemui Rasulullah SAW dan menceritakan apa yang telah berlaku itu. Maka Rasulullah SAW pun pun berdoa untuk mereka dengan katanya: " semoga Allah SWT memberkati kamu."

Ummi Sulaim telah meriwayatkan 14 buah hadis di mana 4 daripadanya dikeluarkan di dalam Sahih Bukhari dan Muslim.

PEMILIK JIWA HAMBA


Ya Allah,
Tika di hadapanMu,
Aku tak bisa menyusun bicara indah,
Aku tak bisa mengungkap kata-kata manis,
Apa yang mampu ku ungkap dan ku zahirkan,
Cumalah sekadar bicara biasa,
Yang letaknya jauh di lubuk hati…

Ya Allah,
Dalam merentasi lautan kehidupan ini,
Yang masih jauh pelayarannya menuju destinasi,
Aku bimbang seandainya aku karam dan tenggelam,
Sebelum sempat ku tiba ke SANA dengan selamat,
Selamatkan aku Ya Allah...

Ya Allah,
Engkau pemilik jiwa hamba,
Aku hambaMu, Engkau pemilikku,
Aku tak berdaya, aku lemah dan dhaif,
Kekuatan yang ku punyai saat ini,
Sekadar pinjaman dariMu,
Hakikatnya aku tak punya apa-apa,
Kerana aku cuma seorang hamba.

Ya Allah,
Di saat ku disapa sedikit cuma tarbiah dariMu,
Aku goyah dan hampir lemas,
Aku tak mampu menjadi sekuat hambaMu yang lain,
Yang sudah kuat jiwa dan iman dengan tarbiah dariMu,
Lantas ku pohon Ya Allah,
Moga Kau golongkan hambaMu ini bersama mereka,
Bersama mereka yang bertaqwa dan bersabar.

Duhai pemilik jiwa hamba,
Ku pohon dan ku rayu,
Janganlah Kau biarkan aku keseorangan dalam pelayaran ini,
Janganlah Kau sisihkan aku dari kasih dan rahmatMu,
Bimbinglah hambaMu ini..

Janganlah kau campakkan dalam jiwaku,
Rasa kekosongan dan kesunyian,
Kerana ku bimbang datang bisikan-bisikan jahat,
Yang mengajak ku ke arah kemaksiatan,
Di kala hati ini lalai mengingatiMu.

Duhai pemilik jiwaku,
Benar! Jika harapan disandarkan manusia,
Belum pasti kan termakbul,
Saat ini, ku tersedar,
Aku khilaf selama ini,
Khilaf kerana terlalu mengharap dan menuntut sesuatu dari mereka,
Akhirnya cuma kekecewaan dan kehampaan kutemu.

Aku khilaf, aku khilaf,
Aku khilaf Ya Allah,
Ku alpa meletakkan dan menyandarkan kehidupanku kepadaMu,
Hanya padaMu akan ku rintih segala beban di jiwa,
Bahkan akan jadikan setiap detik nadi untuk mengingatiMu,
Engkau Maha Mendengar,
Maka ku yakini Engkau sentiasa mendengar rintihanku.

Aku berpaling dari mengharap kepada manusia,
Jika satu saat dahulu,
Aku mengharap dari sahabat- sahabat ,
Untuk memahami diriku,
Dan menjadi pendengar setia,
Setia mendengar segala masalah di jiwa,
Tak ku temu jawapan,
Lalu ku hisab kembali diri, teringat satu kata-kata,
Jika mengharap seorang sahabat yang baik,
Jadilah yang terbaik untuk mereka terlebih dahulu.

Lantas ku temui kekhilafan diri lagi,
Maafkan diri ini duhai sahabat,
Aku cuma insan biasa,
Yang punya banyak kekurangan dan kekhilafan...

Ya Allah pemilik jiwaku,
Dalam mujahadah diri ini,
Melawan hawa nafsu dan menolak cinta dunia,
Aku goyah dan hampir lemas kembali,
Aku tak berdaya kerana aku hambaMu yang lemah,
Pantas ku pohon kekuatan dariMu Ya Allah,
Jua kurniakan aku sahabat-sahabat yang mencintaiMu,
Ku tak layak memohon peneman hidup yang sempurna,
Aku serahkan segalanya kepadaMu,
Engkau pasti merancang yang terbaik untuk hambaMu,
Jika ku tak temui, cukuplah cintaMu memenuhi hidupku.

Ya Allah,
Sering ku tertanya apakah dosa silam semalam sudah terampun,
Bukan ku tak yakin dengan janjiMu,
Engkau pasti mengampuni andai hambaMu menyesalinya,
Namun sukar bagiku tuk terus melangkah ke hadapan tanpa menoleh ke belakang,
Kerana dosa-dosa semalam terus mengekoriku,
Mengekori dalam setiap langkah kehidupanku,
Ingatanku sentiasa ditemani bayangan dosa silam,
Hina dan kotor diri ini dengan dosa semalam,
Sehingga ku terasa setiap langkahku semakin longlai,
Hampir-hampir aku tersungkur dan tersembam.

Ampuniku Ya Allah…
Berikan aku kekuatan Ya Allah…
Tuk melupakan debu-debu dosa semalam,
Ku enggan menoleh lagi ke belakang,
Kerana ku bimbang debu-debu dosa semalam kan berterbangan,
Bisa memedihkan mataku,
Lantas mengaburkan pandangan dari melihat masa depan yang cerah,
Lebih membimbangkan andai ia membutakan mataku,
Dari melihat dan menilai kasih sayang dan rahmatMu…

Duhai pemilik jiwaku,
Sehingga saat nadi ini berdenyut,
Ku yakini dan ku imani,
Aku tak pernah keseorangan di dunia ini,
Aku punya pemilik yang hakiki,
Yang tidak akan sekali-kali menjualku,
Bahkan Dia telah membeliku dengan bayaran yang lumayan,
Akan ku yakini janjiMU duhai pemilikku…

2.30 a.m/ 13 FEB 2010/ saturday

FATRAH EXAM

Di sebalik kesibukan dan kerisauan sepanjang fatrah exam, saya masih sempat menjenguk blog ini. Semester 2 sesi 09/10 mengambil 5 subjek sahaja, berbanding sahabat-sahabat lain yang mengambil 6 subjek. InsyaAllah, ini adalah semester terakhir saya dan sahabat-sahabat di bumi CFS NILAI. Saya begitu optimis saya dapat terus ke UIA GOMBAK tanpa tersangkut di mana-mana subjek, ameen. Mungkin kedengaran terlalu yakin, tetapi itulah target saya dalam final exam kali ini. Pointer yang kurang memuaskan akan cuba diperbaiki dan dipertingkatkan. Namun segala-galanya terletak di tangan Allah. Saya hanya mampu berdoa , membuang sikap buruk @ negative, dan terus bersikap positif terhadap diri sendiri. Moga-moga Allah permudahkan segalanya… AMEEN

Perjuangan di hujung mata pena:

12 FEB 2010 ISM 2112 (COMPUTER) Alhamdulillah dah lepas…
17 FEB 2010 GSM 2283 (INTRODUCTION TO HS)
18 FEB 2010 IHM 2253 (HADITH)
19 FEB 2010 IHM 2273 (HADARAH ISLAMIAH)
22 FEB 2010 IHM 2263 (MADKHAL ILA AL- FIQH WA USULIHI)

MAAT TAUFIQ WANNAJAH FIL IMTIHAN......

Tuesday, February 9, 2010

HAKIKAT BAHAGIA

PAGI 8 FEBRUARI

Suasana pagi ini seperti pagi-pagi sebelumnya, suasananya tenang dan aman sekali. Seperti kebiasaan, bagi mengelak tidur yang panjang selepas subuh, saya akan menyibukkan diri dengan melakukan kerja-kerja seperti melipat dan menyidai baju. Sengaja saya tangguhkan kerja-kerja tersebut supaya pada waktu pagi ada aktiviti yang dapat dilakukan, hu2.. Namun tak dinafikan kadang-kadang tersasar juga tidur selepas subuh, biasa berlaku sekiranya saya tidak tidur langsung sehingga subuh. Kenapa? Hmm, dah banyak kali berlaku. Akibat penangan kopi saya tak dapat lelapkan mata sehingga pagi, jadi waktu tersebut cuba dimanfaatkan dan diisi dengan perkara yang sepatutnya.

Namun bukan tentang isu tidur selepas subuh yang ingin dikongsi, mungkin pada waktu lain saya akan mengupas isu yang tidak dapat lari dari kamus hidup mahasiswa. Alhamdulillah dengan keizinan Allah Ya Rahman, Allah memberi saya peluang memulakan hari ini dengan suatu iktibar dan ibrah. Mungkin tidak salah sekiranya saya ingin berkongsi supaya kita semua sama-sama dapat berfikir dan beringat terhadap diri sendiri.

Seperti pagi-pagi biasa, sementara menunggu azan Subuh berkumandang saya akan berdiri di tepi tingkap sambil menghirup udara pagi yang segar dan nyaman(cara elak mengantuk). Malangnya udara pagi hari ini membuatkan saya sedikit kecewa, bau yang tidak menyelerakan meresap masuk ke dalam rongga pernafasan saya. Saya sedikit mengeluh… astaghfirullahal'azim.. begitulah manusia, sering tidak bersyukur dengan nikmat Allah. Sedangkan sejak bangun dari tidur lagi, Allah telah memberi terlalu banyak nikmat. Saya sepatutnya bersyukur kerana Allah masih memberi nikmat nyawa dan membangkitkan saya kembali dari mati yang sementara… bagaimana sekiranya nyawa saya diambil ketika dalam lena yang belum pasti saya mengucapkan kalimah syahadah? NA'UZUBILLAH.

Selepas usai solat, saya mengulang semula ayat hafazan. Sedikit kecewa dengan diri sendiri, saya terlelap ketika mengulang ayat tersebut (selepas ni, jangan mengulang di atas katil, cari tempat lain:D ) apabila tersedar, jam menunjukkan 7.10 pagi. Alhamdulillah tak terlalu lama, namun sempat juga syaitan menganggu dalam mimpi saya, mimpi yang agak menakutkan, hu2.. Tiba-tiba saya terdengar gelak ketawa dari bawah. Saya tertarik untuk menjenguk di tepi tingkap, siapa yang ceria pagi-pagi lagi ni? Rupa-rupanya makcik- makcik cleaner yang sedang mengutip bungkusan sampah untuk dibuang. Tertarik saya dengan keletah mereka yang seronok bergurau senda sambil tangan sibuk membungkus sampah-sampah yang berbau busuk. Terus menerjah di fikiran saya, bau sampah-sampah inilah yang mengganggu kesegaran udara pagi ini…

Fikiran saya terus diasak dengan dua persoalan.
PERTAMA: Bagaimana makcik-makcik tadi boleh kelihatan gembira dan seronok membuat kerja yang mungkin bagi sesetengah orang kelihatan menjijikkan, tapi tak terzahir sedikit pun kejijikan di wajah mereka, bahkan kelihatan sangat menyeronokkan dan menggembirakan.
KEDUA: Bagaimana sekiranya saya yang berada di tempat makcik-makcik tersebut? Adakah saya suka melakukannya? Apabila terhidu bau sampah, sudah cukup membuatkan saya mengeluh. Bolehkah saya menjadi seperti makcik-makcik tadi?

Tika itu, terfikir saya sejenak…….

PERSOALAN 1: Daripada persoalan tadi, mungkin sesetengah orang akan mengatakan bahawa mereka (makcik-makcik cleaner) sudah biasa dengan kerja tersebut. Jadi, bau dan kekotoran tidak menjadi masalah bagi mereka kerana alah bisa, tegal biasa. Memang tidak dinafikan kebenaran jawapan tersebut, tapi jangan sekadar memandang dan menafsir dengan mata akal. Saya ingin mengajak sesiapa yang membaca coretan ini supaya menilai dan menafsir fenomena tadi dengan "PANDANGAN MATA HATI". Hakikat sebenar adalah mereka bekerja dengan penuh ikhlas dan rela hati. Mereka tidak kenal erti penat dan kotor kerana mereka mempunyai tanggungjawab sebagai seorang ibu, untuk mencari nafkah yang halal. Tak akan mungkin mereka boleh bergelak ketawa dan gembira seandainya mereka tidak suka melakukannya. Apa yang saya perhatikan, tidak terpancar sedikit pun kepenatan dan keresahan di wajah mereka, walhal kerja sebagai cleaner menuntut curahan tenaga yang semaksimum mungkin bagi mereka yang hampir berusia dan tidak segagah kaum muda. Tika ini, saya teringat seketika kepada mak dan abah di kampung yang dari dulu teman mereka adalah nyamuk dan pokok getah di kebun. Jelas bagaimana kesungguhan seorang bapa dan ibu untuk mencari rezeki demi kebaikan anak-anaknya, dan begitulah jua bagi makck-makcik tadi, mereka jua seorang ibu dan isteri. Mereka tak ubah seperti ibu kita di rumah.

PERSOALAN 2: Saya berfikir beberapa kali adakah saya sanggup berada di tempat m.cik tersebut. Mungkin mudah untuk saya mengatakan tiada masalah kerana saya tidaklah terlalu jijik dengan sampah sehinggakan tidak sanggup memegangnya, kerana hakikatnya kita sentiasa membuang sampah semasa mengemas rumah sebagai contoh. Namun saya cuba membayangkan sekali lagi, kemudian datang bisikan-bisikan yang kurang menyenangkan. Tak malulahkah kau kerja sebagai cleaner, kawan-kawan kau semua berjaya? Nanti apa kata orang kampung kau? Masuk U tapi akhirnya kerja sebagai cleaner… dan macam-macamlah lagi yang berlegar di fikiran…..
Di waktu itu, sebenarnya kita telah mengutamakan pandangan manusia daripada pandangan ALLAH. Hakikat sebenar, semua pekerjaan adalah sangat mulia selagi ia tidak bercanggah dengan tuntutan syariat. Bagi pendapat saya, pekerjaan seperti tukang sapu, tukang cuci, pengutip sampah dan yang sama waktu sepertinya adalah sama taraf dan boleh jadi lebih mulia daripada profession doktor, guru, jurutera, dan lain-lain. Tanpa mereka, siapa yang akan membersihkan mahallah kita? Siapa yang akan mengutip sampah yang berlonggok dan berbau busuk? Jadi, hargailah dan berterima kasihlah kepada mereka atas jasa yang tak ternilai.




Hakikatnya kehidupan golongan ini lebih bahagia jika dibandingkan dengan seorang usahawan yang fikirannya sentiasa dirudum kerunsingan, setiap waktu memikirkan bagaimana dia dapat menambah harta dunianya. Pagi ini, saya dapat melihat kegembiraan dan dapat mendengar gelak ketawa seorang cleaner. Mengapa? Hakikatnya mereka sangat bahagia menjadi hamba yang bersyukur dengan apa yang ditetapkan Allah terhadap diri mereka. Jadilah insan yang bersyukur dengan apa jua yang ditetapkan Allah, pasti kita kan kecapi kebahagiaan baik di dunia mahupun di akhirat, INSYAALLAH… inilah HAKIKAT BAHAGIA…


Bahagia itu dari dalam diri
Kesannya zahir rupanya maknawi
Terpendam bagai permata di dasar hati
Bahagia itu ada pada hati
Bertakhta di kerajaan diri
Terbenam bagai mutiara di lautan nurani
Bahagia itu ada di jiwa
Mahkota di singgahsana rasa
Bahagia itu adalah suatu ketenangan
Bila susah tiada gelisah
Bila miskin syukur pada tuhan
Bila sakit tiada resah di jiwa
Bukankah tuhan telah berfirman
Ketahuilah dengan mengingati Allah
Jiwa kan menjadi tenang
Kebahagiaan itu suatu kesyukuran
Bila kaya jadi insan pemurah
Bila berkuasa amanah
Bila sihat tidak lupakan tuhan
Hakikatnya bahagia itu adalah ketenangan
Bila hati mengingati tuhan
Semua insan kan mengerti maksud terseni Ilahi
Itulah zikir yang hakiki