Tuesday, February 9, 2010

HAKIKAT BAHAGIA

PAGI 8 FEBRUARI

Suasana pagi ini seperti pagi-pagi sebelumnya, suasananya tenang dan aman sekali. Seperti kebiasaan, bagi mengelak tidur yang panjang selepas subuh, saya akan menyibukkan diri dengan melakukan kerja-kerja seperti melipat dan menyidai baju. Sengaja saya tangguhkan kerja-kerja tersebut supaya pada waktu pagi ada aktiviti yang dapat dilakukan, hu2.. Namun tak dinafikan kadang-kadang tersasar juga tidur selepas subuh, biasa berlaku sekiranya saya tidak tidur langsung sehingga subuh. Kenapa? Hmm, dah banyak kali berlaku. Akibat penangan kopi saya tak dapat lelapkan mata sehingga pagi, jadi waktu tersebut cuba dimanfaatkan dan diisi dengan perkara yang sepatutnya.

Namun bukan tentang isu tidur selepas subuh yang ingin dikongsi, mungkin pada waktu lain saya akan mengupas isu yang tidak dapat lari dari kamus hidup mahasiswa. Alhamdulillah dengan keizinan Allah Ya Rahman, Allah memberi saya peluang memulakan hari ini dengan suatu iktibar dan ibrah. Mungkin tidak salah sekiranya saya ingin berkongsi supaya kita semua sama-sama dapat berfikir dan beringat terhadap diri sendiri.

Seperti pagi-pagi biasa, sementara menunggu azan Subuh berkumandang saya akan berdiri di tepi tingkap sambil menghirup udara pagi yang segar dan nyaman(cara elak mengantuk). Malangnya udara pagi hari ini membuatkan saya sedikit kecewa, bau yang tidak menyelerakan meresap masuk ke dalam rongga pernafasan saya. Saya sedikit mengeluh… astaghfirullahal'azim.. begitulah manusia, sering tidak bersyukur dengan nikmat Allah. Sedangkan sejak bangun dari tidur lagi, Allah telah memberi terlalu banyak nikmat. Saya sepatutnya bersyukur kerana Allah masih memberi nikmat nyawa dan membangkitkan saya kembali dari mati yang sementara… bagaimana sekiranya nyawa saya diambil ketika dalam lena yang belum pasti saya mengucapkan kalimah syahadah? NA'UZUBILLAH.

Selepas usai solat, saya mengulang semula ayat hafazan. Sedikit kecewa dengan diri sendiri, saya terlelap ketika mengulang ayat tersebut (selepas ni, jangan mengulang di atas katil, cari tempat lain:D ) apabila tersedar, jam menunjukkan 7.10 pagi. Alhamdulillah tak terlalu lama, namun sempat juga syaitan menganggu dalam mimpi saya, mimpi yang agak menakutkan, hu2.. Tiba-tiba saya terdengar gelak ketawa dari bawah. Saya tertarik untuk menjenguk di tepi tingkap, siapa yang ceria pagi-pagi lagi ni? Rupa-rupanya makcik- makcik cleaner yang sedang mengutip bungkusan sampah untuk dibuang. Tertarik saya dengan keletah mereka yang seronok bergurau senda sambil tangan sibuk membungkus sampah-sampah yang berbau busuk. Terus menerjah di fikiran saya, bau sampah-sampah inilah yang mengganggu kesegaran udara pagi ini…

Fikiran saya terus diasak dengan dua persoalan.
PERTAMA: Bagaimana makcik-makcik tadi boleh kelihatan gembira dan seronok membuat kerja yang mungkin bagi sesetengah orang kelihatan menjijikkan, tapi tak terzahir sedikit pun kejijikan di wajah mereka, bahkan kelihatan sangat menyeronokkan dan menggembirakan.
KEDUA: Bagaimana sekiranya saya yang berada di tempat makcik-makcik tersebut? Adakah saya suka melakukannya? Apabila terhidu bau sampah, sudah cukup membuatkan saya mengeluh. Bolehkah saya menjadi seperti makcik-makcik tadi?

Tika itu, terfikir saya sejenak…….

PERSOALAN 1: Daripada persoalan tadi, mungkin sesetengah orang akan mengatakan bahawa mereka (makcik-makcik cleaner) sudah biasa dengan kerja tersebut. Jadi, bau dan kekotoran tidak menjadi masalah bagi mereka kerana alah bisa, tegal biasa. Memang tidak dinafikan kebenaran jawapan tersebut, tapi jangan sekadar memandang dan menafsir dengan mata akal. Saya ingin mengajak sesiapa yang membaca coretan ini supaya menilai dan menafsir fenomena tadi dengan "PANDANGAN MATA HATI". Hakikat sebenar adalah mereka bekerja dengan penuh ikhlas dan rela hati. Mereka tidak kenal erti penat dan kotor kerana mereka mempunyai tanggungjawab sebagai seorang ibu, untuk mencari nafkah yang halal. Tak akan mungkin mereka boleh bergelak ketawa dan gembira seandainya mereka tidak suka melakukannya. Apa yang saya perhatikan, tidak terpancar sedikit pun kepenatan dan keresahan di wajah mereka, walhal kerja sebagai cleaner menuntut curahan tenaga yang semaksimum mungkin bagi mereka yang hampir berusia dan tidak segagah kaum muda. Tika ini, saya teringat seketika kepada mak dan abah di kampung yang dari dulu teman mereka adalah nyamuk dan pokok getah di kebun. Jelas bagaimana kesungguhan seorang bapa dan ibu untuk mencari rezeki demi kebaikan anak-anaknya, dan begitulah jua bagi makck-makcik tadi, mereka jua seorang ibu dan isteri. Mereka tak ubah seperti ibu kita di rumah.

PERSOALAN 2: Saya berfikir beberapa kali adakah saya sanggup berada di tempat m.cik tersebut. Mungkin mudah untuk saya mengatakan tiada masalah kerana saya tidaklah terlalu jijik dengan sampah sehinggakan tidak sanggup memegangnya, kerana hakikatnya kita sentiasa membuang sampah semasa mengemas rumah sebagai contoh. Namun saya cuba membayangkan sekali lagi, kemudian datang bisikan-bisikan yang kurang menyenangkan. Tak malulahkah kau kerja sebagai cleaner, kawan-kawan kau semua berjaya? Nanti apa kata orang kampung kau? Masuk U tapi akhirnya kerja sebagai cleaner… dan macam-macamlah lagi yang berlegar di fikiran…..
Di waktu itu, sebenarnya kita telah mengutamakan pandangan manusia daripada pandangan ALLAH. Hakikat sebenar, semua pekerjaan adalah sangat mulia selagi ia tidak bercanggah dengan tuntutan syariat. Bagi pendapat saya, pekerjaan seperti tukang sapu, tukang cuci, pengutip sampah dan yang sama waktu sepertinya adalah sama taraf dan boleh jadi lebih mulia daripada profession doktor, guru, jurutera, dan lain-lain. Tanpa mereka, siapa yang akan membersihkan mahallah kita? Siapa yang akan mengutip sampah yang berlonggok dan berbau busuk? Jadi, hargailah dan berterima kasihlah kepada mereka atas jasa yang tak ternilai.




Hakikatnya kehidupan golongan ini lebih bahagia jika dibandingkan dengan seorang usahawan yang fikirannya sentiasa dirudum kerunsingan, setiap waktu memikirkan bagaimana dia dapat menambah harta dunianya. Pagi ini, saya dapat melihat kegembiraan dan dapat mendengar gelak ketawa seorang cleaner. Mengapa? Hakikatnya mereka sangat bahagia menjadi hamba yang bersyukur dengan apa yang ditetapkan Allah terhadap diri mereka. Jadilah insan yang bersyukur dengan apa jua yang ditetapkan Allah, pasti kita kan kecapi kebahagiaan baik di dunia mahupun di akhirat, INSYAALLAH… inilah HAKIKAT BAHAGIA…


Bahagia itu dari dalam diri
Kesannya zahir rupanya maknawi
Terpendam bagai permata di dasar hati
Bahagia itu ada pada hati
Bertakhta di kerajaan diri
Terbenam bagai mutiara di lautan nurani
Bahagia itu ada di jiwa
Mahkota di singgahsana rasa
Bahagia itu adalah suatu ketenangan
Bila susah tiada gelisah
Bila miskin syukur pada tuhan
Bila sakit tiada resah di jiwa
Bukankah tuhan telah berfirman
Ketahuilah dengan mengingati Allah
Jiwa kan menjadi tenang
Kebahagiaan itu suatu kesyukuran
Bila kaya jadi insan pemurah
Bila berkuasa amanah
Bila sihat tidak lupakan tuhan
Hakikatnya bahagia itu adalah ketenangan
Bila hati mengingati tuhan
Semua insan kan mengerti maksud terseni Ilahi
Itulah zikir yang hakiki

No comments:

Post a Comment