Saturday, February 13, 2010

KEPASRAHAN RUMAISA'

Rumaisa…
Kau sedar setiap anugerah itu adalah pinjaman,
Penuh redha engkau terima,
Setiap kau miliki bukanlah milikmu yang hakiki
Tiba masa harus kembali pada yang haq
Walaupun yang dikembalikan itu
Adalah anakmu sendiri…...

Sebelum Islam tersebar di kota Madinah, Rumaisa binti Malhan sudah lebih dahulu terkenal dengan kebijaksanaan, ketegasan dan tidak mudah bergantung kepada orang lain. Dia dikenali dengan pelbagai nama antaranya seperti Sahlah, Ramlah, Rumaisah, Mulaikha dan Ghumaysa. Namun mungkin itu adalah nama-nama samarannya kerana di dalam kitab 'Al- Isti'aab' karya Ibnu Abdil Bar, nama penuhnya iaitu Ummi Sulaim binti Malhan bin Khalid bin Zaid bin Hizam bin Jundud bin Amir bin Ghunm bin Adiy bin An-Najjar.

Ummi Sulaim adalah isteri kepada Malik bin An- Nadr. Mereka mempunyai seorang putera iaitu Anas ibn Malik, salah seorang sahabat karib Rasulullah SAW. Ummi sulaim adalah di antara wanita-wanita yang terawal memeluk agama Islam. Sesudah dia memeluk agama Islam dia telah mengajak suaminya Malik untuk turut sama beriman kepada agama baru ini. Namun ajakannya itu telah mengundang kemarahan suaminya. Lantas Malik pun memarahi Ummi Sulaim dengan kata-katanya, "Apakah kau sudah lupa akan agama nenek moyang kita?"

Ummi Sulaim pun menjawab dengan lembut, " Sesungguhnya aku telah menghadapkan wajahku kepada Allah, Tuhan semesta alam ini."

Kemudian Ummi Sulaim berpaling kepada anaknya Anas dan dia mengajarkan pula anaknya untuk mengucap dua kalimah syahadah. Anak kecil itu pun mengucapkannya. Ini berlaku ketika suaminya masih berada di hadapannya. Lantas suaminya naik berang dan berkata kepada Ummi Sulaim, " Kau sudah menghancurkan kepercayaan anakku!"

Ummi Sulaim segera menjawab dengan tegas, "Aku tidak menghancurkan kepercayaannya, malah aku membawanya ke jalan yang benar supaya dia membesar dengan penuh keimanan."

Ummi Sulaim memang terkenal dengan sikap ketegasannya. Dia mempunyai pendapat yang tepat dan kuat berhujah. Sejak memilih Islam, dia terus menerus berdebat dengan suaminya sehingga suaminya tidak tahan lagi dan meninggalkannya menuju ke negeri Syam. Semenjak itu, Ummi Sulaim tidak mendengar sebarang khabar dari suaminya sehinggalah berita kematian suami diketahui olehnya. Sejak mendapat berita tentang kematian suaminya, Ummi Sulaim telah berjanji kepada dirinya bahawa dia tidak akan berkahwin selagi anaknya, Anas tidak merestui perkahwinannya.

Tidak berapa kemudian, seorang musyrikin bernama Abu Talhah telah mengutuskan pinangan kepada Ummi Sulaim. Dia telah menolak pinangan Abu Talhah seraya berkata:
"wahai Abu Talhah! Bagaimana aku boleh berkahwin denganmu sedangkan kau menyembah berhala dan menyembah pohon yang tiada memberi manfaat ataupun mudharat. Kau sanggup menyembah batang kayu yang dibawa oleh tukang kayu ke sana ke mari. Jika aku meletakkan batang kayu ini ke dalam api, pasti ia menjadi abu. Dan abunya pula akan berterbangan ditiup angin. Di mana akal fikiranmu? Kenapa kau begitu bodoh?" Ummi Sulaim telah berkata kepadanya dengan tegas tanpa berselindung lagi.

Ucapan Ummi Sulaim itu tadi telah membuat Abu Talhah terpaku. Telinganya terasa berdesing sebentar. Dengan marah dia bangun dan meninggalkan Ummi Sulaim. Apabila tiba di rumah, kata-kata Ummi Sulaim masih bermain di fikiran Abu Talhah. Dia amat terkesan dengan kata-kata Ummi Sulaim tadi kerana selama ini tiada siapa yang berani mengatakan seperti itu kepadanya, inikan pula seorang wanita yang janda. Abu Talhah kebingungan.

Dia mula mengamati kembali segala kata-kata Ummi Sulaim tadi. Tanpa disedari, dia sebenarnya sependapat dengan Ummi Sulaim. Dia terfikir bahawa batu yang disembahnya itu boleh dipecah-pecahkan dan kayu juga boleh dibakar sehingga menjadi abu. Mengapa dia tidak boleh berfikir seperti Ummi Sulaim ini. Kini dia sedar apa yang dilakukannya selama ini adalah tidak benar belaka. Dia mula melihat kebenaran yang ditunjukkan oleh Ummi Sulaim.

Kemudian Abu Talhah telah pergi menemui Ummi Sulai sekali lagi. Kedatangannya kali ini adalah untuk menyatakan kesediannya memeluk agama Islam. Maka di hadapan Ummi Sulaim, Abu Talhah telah beriman kepada Allah SWT. Ummi Sulaim merasa gembira dan menerima lamaran Abu Talhah.

Ummi Sulaim telah menolak segala pemberian maskahwin ataupun hadiah untuknya. Telah cukup baginya hanya dengan menerima Abu Talhah sebagai muslim. Dia juga telah meminta izin daripada anaknya, Anas untuk berkahwin lagi. Maka berkahwinlah Ummi Sulaim dengan Abu Talhah dan dikurniakan seorang putera bernama Abdullah.

Ummi Sulaim merupakan seorang wanita yang sungguh tegas dan bijaksana. Dia bukan saja dilihat dengan kelembutan seorang wanita, malah dia adalah seorang pejuang di medan perang. Dia telah bersama-sama Rasulullah SAW semasa pertempuran Badar dan Uhud. Dia telah membantu para pejuang Muslimin dengan memberi minum dan membalut luka-luka mereka di dalam peperangan itu.

Ketika kaum Muslimin menghadapi peperangan Hunain pula, Ummi Sulai telah keluar bersama-sama dengan membawa pisau sabit. Apabila Rasulullah SAW bertanya mengapa dia membawa pisau sabit itu, maka Ummi Sulaim menjawab ia adalah untuk mempertahankan dirinya dan juga RasulNya. Apabila mendengar ucapan Ummi Sulaim ini, Rasulullah SAWtelah berkata kepadanya bahawa Allah telah mencukupi dan memuliakan Ummi Sulaim.

Ummi Sulai sentiasa memandang Rasulullah SAW dengan penuh kasih dan hormat. Setiap kali Rasulullah SAW bertandang ke rumahnya ia menganggapnya satu keberkatan dan kemuliaan. Dia juga pernah meminta agar Rasulullah SAW mendoakan anaknya Anas, sehingga Anas menjadi perawi hadis yang unggul dan terkenal.

Di antara banyak peristiwa yang berlaku ke atas Ummi Sulaim, ada satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh sesiapa jua yang mendengarnya. Salah seorang dari anaknya bersama Abu Talhah telah diserang penyakit. Semakin lama penyakit itu semakin kuat. Maka akhirnya anak itu pun meninggal dunia.

Ketika itu Abu Talhah tidak ada di rumah. Dia berada di luar kota. Lalu dimandikan dan diuruskan jenazah anaknya itu. Kemudian dibaringkan jenazah itu di atas katilnya seakan-akan dia sedang tidur lena.

Apabila Abu Talhah pulang ke rumah pada malam itu, seperti biasa Ummi Sulaim telah menyambutnya dengan penuh kemesraan. Kemudian Abu Talhah bertanyakan khabar anaknya. Maka Ummi Sulaim pun menjawab bahawa anak mereka itu berada di dalam keadaan yang lebih aman dan tenteram dari sebelumnya. Mendengarkan ini Abu Talhah merasa amat gembira sekali. Dia menyangka bahawa anaknya itu telah sembuh dari penyakitnya.

Ummi Sulaim pun menyediakan makanan buat Abu Talhah. Kemudian dia menghiasi dirinya supaya kelihatan cantik dan menarik. Setelah makan, Abu Talhah pun duduk bersama-sama isterinya. Sesudah itu mereka pun berehat bersama sambil bergurau senda. Ummi Sulaim pun tanpa membuang masa lagi terus bertanya kepada Abu Talhah, "Apa pandanganmu jika ada meminjam sesuatu daripada jiran kita, haruskah kita memulangkannya kembali?"

Abu Talhah pun menjawab, "Sudah tentu setiap barang yang kita pinjam harus dikembalikan kepada tuannya."

Ummi Sulaim pun berkata lagi, "Begitu juga dengan anak kita itu, wahai Abu Talhah. Dia milik Allah yang telah dipinjamkan kepada kita dan sekarang ini Allah telah mengambilnya kembali."

Mendengar ucapan isterinya itu, maka fahamlah Abu Talhah apa yang telah berlaku ke atas anaknya itu. Dia redha atas segala kehendakNya. Kemudian Abu Talhah keluar untuk menemui Rasulullah SAW dan menceritakan apa yang telah berlaku itu. Maka Rasulullah SAW pun pun berdoa untuk mereka dengan katanya: " semoga Allah SWT memberkati kamu."

Ummi Sulaim telah meriwayatkan 14 buah hadis di mana 4 daripadanya dikeluarkan di dalam Sahih Bukhari dan Muslim.

No comments:

Post a Comment