Monday, March 8, 2010

Kaca Mata Kehidupan

“Enti tak sayangkan Al-Quran ke?”

Sudah hampir sebulan masa berlalu namun masih terngiang-ngiang lagi kata-kata seorang ustaz. Rasa begitu terpukul dengan kata-kata ustaz itu. Lantas saat itu juga air mata mula bergenang dan tanpa dapat dibendung lagi, mengalir laju tanpa henti dari kelopak mata. Begitu tajam kata-kata ustaz, menyentap hati kecil seorang hamba yang kerdil. “Betul ke aku tak sayangkan Al- Quran?”, hati kecilnya bertanya. Astaghfirullahal’azim…

“Sudah-sudah. Ustaz tak nak tengok enti menangis, ustaz cuma nak mengingatkan.” Tegur ustaz lembut.
“Boleh enti berjanji dengan ustaz? Sebelum masuk ke Gombak, pastikan enti habiskan hafalan surah Ali Imran ni. Boleh?”

Dia memandang ustaz, hanya mengangguk lemah.
“Insyaallah ustaz.” dia kembali tunduk. Malu dengan sikap diri sendiri.

Sepanjang hari tersebut kata-kata ustaz tersebut sentiasa berlegar di ruang fikiran. Kata-kata yang punyai maksud tersirat. Kata-kata itu memberinya peluang untuk berfikir lantas memuhasabah diri sendiri. 4 bulan diberi untuk menyelesaikan hafalan separuh daripada surah Ali Imran, satu tempoh yang cukup lama. Besar kemungkinan dalam tempoh 4 bulan tersebut, beberapa buah novel, buku cerita, atau pelbagai buku lain dapat dihabiskan dan dihadamkan. Namun mengapa gagal menghafal sebuah kitab yang mampu mengalahkan semua buku kisah dongeng di dunia? Mengapa? Mengapa? Mengapa mampu menyelami buku khayalan manusia, namun gagal menyelami sebuah kitab kebenaran dari kalam Allah itu sendiri?

Ibarat seseorang yang baru tersedar dari lena yang panjang, dia terpinga-pinga apabila berada di dunia yang nyata. Dunia sebenar yang sepatutnya dia berada, bukan di dalam lena yang terus menerus dibuai dengan mimpi duniawi, sekadar palsu dan sementara. Akhirnya bisa lenyap dan hilang pabila dikejut dan disentak dari lena. Berfikir dan terus berfikir, ligat otak berfikir akan hakikat sebenar kehidupan yang telah dilalui selama ini.

“Wahai Tuhan, Engkau Maha Pengampun kepada hamba-hambaMu, ku yakini janjiMu. Maka janganlah Kau murka terhadapku, ku panjatkan kesyukuran kerana Kau memberi peringatan kepadaku dan tidak membiarkan aku terus alpa dan lalai. Kau Maha Pengasih Ya Allah. “



Sahabat- sahabat,
Moga kisah tersebut diambil ibrah bersama. Kisah sebenar yang dilalui seorang hamba Allah, bukan rekaan khayalan seorang manusia. Ringkas sahaja kisahnya, bukan menarik atau seronok yang menjadi persoalan, namun apa yang tersirat dan terselit di sebaliknya dapat dijadikan bekalan peringatan bersama dalam mujahadah diri menjadi hamba yang dikasihiNya.

Melihat atau menilai kehidupan melalui kaca mata kehidupan diri sendiri mahupun orang di sekeliling adalah salah satu cara untuk meneruskan kelangsungan hidup untuk bergelar hamba Allah yang soleh/ah. Kaca mata biasanya digunakan oleh golongan yang kurang jelas penglihatannya atau istilah mudah, mereka yang rabun. Jadi, mereka dapat melihat segala isi alam dan seluruh ciptaan Allah dengan lebih jelas. Begitu jualah yang dimaksudkan dengan ‘KACA MATA KEHIDUPAN’. Menilai dan melihat kehidupan melalui kaca mata kehidupan insan baik orang lain atau diri sendiri bisa membuka luas mata kita tentang hakikat dan erti sebenar kehidupan.

Melihat menggunakan kaca mata membantu seseorang melihat sesuatu hanya pada zahirnya. Namun melihat dari sudut kaca mata kehidupan, kita bukan sahaja menilai apa yang ada pada zahirnya, malah menilai jauh di sebalik zahir kehidupan, melihat dengan ‘MATA HATI’. Mata hati memandu manusia untuk menilai kebaikan dan hikmah di sebalik kisah kehidupan yang dilalui seseorang. Maka kebaikan yang diperolehi untuk diambil sebagai pengajaran seterusnya dijadikan perkongsian bersama.

Seterusnya, tidak akan timbul persoalan bahawa kita mencari-cari dan memperkatakan kesalahan orang lain. Ada sesetengah pihak bimbang untuk membincangkan tentang kisah orang lain, bimbang andai dikatakan mengumpat ataupun mencari kesalahan saudaranya seperti larangan yang disebut dalam sebuah hadith. Benar, tidak dinafikan kita dilarang mengumpat dan mencari-cari kesalahan saudara kita, namun apa yang membezakannya adalah sama ada kita sekadar melihat dan mencanang-canang keburukan hidup seseorang atau kita mengambil satu pengajaran dan peringatan buat diri sendiri dan juga orang lain.
Allah turut mengingatkan kita supaya mengambil pengajaran daripada kisah umat-umat terdahulu dalam usaha mengislahkan diri sendiri dan juga seluruh umat akhir zaman.

Saya suka membaca penulisan Ustaz Hasrizal @ Saiful Islam yang banyak mengaitkan kisah kehidupan dengan pengajaran. Banyak perkara yang dapat dipelajari daripada kisah kehidupan orang lain. Mendengar atau bercerita tentang kehidupan membuatkan kita banyak berfikir dan seterusnya mencari hikmah di sebaliknya, buat dijadikan pengajaran. Segala yang buruk dijadikan peringatan, yang baik pula dijadikan ikutan.

Inilah KACA MATA KEHIDUPAN… Menilai kehidupan bukan sekadar pada zahir, mutiara ibrah hakikatnya yang diburu. Mata hati takkan kabur apatah lagi kan buta seandainya ia terus memandu manusia dalam menilai dan melihat kaca mata kehidupan.

Segala yang baik daripada Pencipta, segala yang lemah dan buruk datangnya daripada yang dicipta. Namun hakikatnya, yang baik dan buruk adalah daripada Sang Pencipta, disandarkan pada hamba yang hina ini. Jua menjadi kelemahan hamba ini untuk menilai bahawa di sebalik keburukan yang disandarkan pada diri terselit hikmah dan kebaikan, untuk kita berzikir dan berfikir. Subhanallah. Fikir zikir, renung-renungkan. 
Wallahua’lam

No comments:

Post a Comment