Friday, May 28, 2010

ALLAH Beri Apa Yang Kita Perlukan...

“Dik, ada meeting.” Sapa salah seorang staf Al-Azhar Media.
Meeting? Dah lama tak pergi meeting… huuu….

“Kita ada staf baru hari ni, jadi kita jemput semua untuk taaruf diri masing-masing”. Kata ustaz Khairi.

Itulah antara catatan memori pertama berada di Al- Azhar Media. Alhamdulillah, di saat jari menari di dada keyboard, waktu sudah berlalu hampir 3 minggu. Mengutip pengalaman di sini merupakan satu mutiara nikmat yang tak terucap syukurnya.





ALLAH BERI APA YANG KITA PERLUKAN….


Tidak pernah terlintas di fikiran atau angan bahawa saya akan berada di sini, atau di mana-mana syarikat penerbitan buku. Sememangnya ada memasang impian untuk melibatkan diri dalam dunia penulisan suatu hari nanti, tetapi saya tidak pernah melihat ruang dan peluang yang lebih luas bagi memulakan langkah ke dunia itu. Sekadar meletakkan langkah pertama dengan melibatkan diri di alam maya Blogger. Allah tahu apa yang hamba-hambaNya inginkan. Tapi Allah tidak terus memberikan apa yang kita mahukan. Jika Allah mahu makbulkan, Allah boleh sahaja makbulkan permintaan dan kemahuan hambaNya. Tiba-tiba datang satu tawaran dari mana-mana editor majalah menawarkan peluang untuk menerbitkan buku. Allah mampu melakukan apa sahaja.

Allah Pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak (untuk menciptakan) sesuatu, maka (cukuplah) Dia hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah!" Lalu jadilah ia. (Al- Baqarah: 117)

Tetapi mengapa Allah tidak berbuat demikian?
Ketahuilah bahawa Allah memberikan apa yang kita perlukan…
Allah memberi peluang untuk kita ke hadapan bagi mencapai apa yang kita inginkan. Allah juga sedang mendidik kita untuk mengenal erti penat lelah berusaha bagi mencapai kemahuan. Kita perlu TAHU dahulu sebelum MAHU.

TAHU & MAHU???


“Nak jadi doktor? Nah! Ini dia sijil kelayakan awak sebagai doktor.”

Bolehkah situasi di atas berlaku? Mustahil. Dan sangat-sangat mustahil ia akan berlaku. Di sinilah perlunya konsep TAHU sebelum mencapai MAHU.

Mana mungkin impian menjadi doktor termakbul dengan begitu mudah sekali. Bertahun-tahun diperlukan untuk menjadi seorang yang TAHU sebelum MAHU menjadi doktor. Pengalaman dan pengetahuan lah merupakan asset utama untuk mencapai apa yang kita mahu. Sama-sama kita panjatkan doa kepadaNya:

~Ya Allah Ya ‘Alim. Yang Maha Mengetahui segala-galanya. Sedikit sekali bekalan ilmu di dada kami. Moga tiap saat nadi kami berdetik, Kau alirkan sedikit ilmu dan pengetahuan. Kami juga tidak mampu mengetahui rahsia di sebalik aturan hidup kami yang pastinya di bawah aturanMu. Engkau Maha Mengetahui Ya Allah. Kami memohon Ya Allah moga dibukakan pintu hati kami, agar dapat kami menilai dan melihat kebaikan di sebalik tiap aturan hidup olehMu. Moga jauh hati kami dari berburuk sangka kepadaMu, bimbang satu hari nanti kami berputus asa dari rahmatMu, lantas berpaling dari jalanMu. Nauzubillahiminzalik Ya Allah, jauhkanlah kami dari perkara tersebut Ya Allah…~

Segala puji bagi ALLAH…

Tuesday, May 25, 2010

Beratnya Menanggung Rindu...

“ Nanti! Tunggu dulu! “

Abah berlari-lari anak menuju ke kereta yang sedang menuju keluar dari pintu pagar rumah. Seperti ada perkara penting yang hendak disampaikan. Akak saya (kakde) menurunkan cermin kereta di hadapan. Saya menjengukkan kepala ke tingkap, bertanya kepada abah.

“Ada apa abah?”

“Nak pesan ni, rasanya adik dah tahu tapi nak ingatkan jelah. Solat jangan dilewatkan, solat awal waktu, jaga solat ye.” Kata abah sambil menepuk lembut bahu saya.

Saya terkedu sedang mulut terus terukir senyuman.
“InsyaAllah abah.”

Kereta MyVi terus meninggalkan kampung, lambaian mak dan abah mengiringi keberangkatan saya dan kakde ke Kajang. Terasa sayu meninggalkan mak dan abah pada pagi itu, suasana yang begitu berbeza saya kira, hu4. Sudah menjadi kebiasaan apabila hendak meninggalkan rumah sejak dulu lagi,(balik asrama atau tempat belajar) mak tak henti-henti bercakap. Ada saja yang pesanan dan peringatan. Tapi pagi itu sama sekali berbeza, mak banyak mendiamkan diri, tidak seperti biasa. Namun sebelum kereta dihidupkan enjin, mak sempat bertanya dari beranda rumah,

“Lepas habis kerja nanti, adik tak balik rumah dah ke? Terus pergi Gombak dari rumah kakde?”
“Eh taklah mak, mestilah balik rumah dulu.”
Saya menyedapkan hati mak, seperti dapat dihidu punca perubahan sikap mak pada pagi itu…

Manakala abah yang saya kenali lebih mengambil sikap mendiamkan diri, bercakap apabila perlu, kadang-kadang pandangan mata abah sudah cukup menjadi isyarat peringatan kepada kami adik-beradik. Namun ketegasan abah sekadar pada luaran, hatinya begitu mudah tersentuh, mudah matanya basah dengan linangan air mata. Pagi itu, terkedu saya sebentar apabila mendengar nasihat yang diberi oleh abah. Sedikit menggugat emosi saya pada pagi itu, terngiang-ngiang nasihat abah sehingga saat ini.

Bagi saya, 2 bulan meluangkan masa di rumah begitu meninggalkan kesan kepada diri saya, diri mak dan juga abah. Pemergian pada pagi itu terasa berat dan membebankan. Berada 2 bulan di rumah memberi ruang dan peluang untuk saya memberi dan menerima kasih sayang. Mungkin ada jua ruang yang diberi tidak dimanfaatkan sebaiknya, tetapi saya melihat tempoh tersebut membuatkan hati ini berat menanggung kerinduan tatkala berjauhan dengan mak dan abah. Owh, manjanya… Bagi saya, rugilah sesiapa yang tidak tercalit sedikit perasaan ini, kerana sesungguhnya rindu itu adalah anugerah dari Allah, pengikat kasih sayang… =)

Saya sahaja yang rindu mak dan abah? Mereka tak rindu ke? He4…
Mestilah rindu… (perasannyeeeer)

Pernah sekali dalam tempoh 2 bulan itu, saya pergi ke rumah kakde di Kajang dan juga melawat sahabat-sahabat di Nilai, hampir 2 minggu meninggalkan rumah. Ketika baru tiba di Nilai mak menelefon saya, bertanya berapa hari akan tidur di sana dan bila mahu balik ke rumah. Apa yang mengejutkan, mak bertanya “tak rindukan mak ke? Mak dah rindu ni, jangan lama-lama sangat kat sana”… Terasa amat bahagia saat itu, seolah-olah sayalah anak yang paling disayangi dan dirindui oleh mak…

Terfikir sejenak, pasti mak dan abah juga merasakan perasaan yang serupa seandainya menerima ungkapan yang sama. Ungkapan yang lahir dari hati bukan sekadar manis di mulut. Namun kekadang keegoan diri menjadi benteng dan penghalang ikatan kasih sayang anak dan ibu bapa. Moga Allah sentiasa menganugerahkan perasaan rindu ini, agar tidak pudar kasih kita kepada ibu bapa. Bimbang seandainya dalam kesibukan kita mengutuk si anak yang membuang ibu bapa ke rumah kebajikan, kita apa kurangnya? Tanpa disedari, kita turut ‘membuang’ mereka, menyisihkan mereka dalam segala hal, tiada keutamaan yang diberikan kepada mereka.

Sama-sama kita fikirkan mengapa Allah mewujudkan perasaan rindu. Allah tidak mengadakan sesuatu dengan sengaja tanpa bersebab. Manusia sering mengungkap “ beratnya menanggung rindu”… Benar, namun lihatlah kemanisan di sebalik beban berat yang ditanggung…
RINDU ITU ADALAH ANUGERAH DARI ALLAH, INSAN YANG BERHATI NURANI PUNYAI RASA RINDU….. =)

Berputik Semaian Di Dunia...

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang…

Segala puji bagiMu Ya Allah.
Hari ini saya berusaha menolak rasa malas mencoret sesuatu. Bukan malas barangkali, namun sejak akhir-akhir ini ilham dan idea agak terbatas. Ya Allah, kurniakan ilham dariMu kepadaku untukku mencoret sedikit peringatan buat diri sendiri dan perkongsian bersama saudaraku yang lain.

Microsoft Office Word 2007 yang dibuka masih tidak tercemar dengan sedikit titik warna kalam. Putih dan kosong, tak ubah seperti kotak pemikiran saya yang masih kosong daripada idea dan ilham. Daripada satu lagu kepada satu lagu dendangan In-Team berkumandang, Allahu Rabbi, Kepastian, Hamzah Asadullah, Dia Muhammad, Hanya Takdir, namun gagal juga saya beroleh ilham melalui nasyid tersebut.

Terasa pedih mata menatap laptop terlalu lama, saya beralih bangun dari kerusi ke tepi tingkap bilik. Saya menggosok mata yang berair, pedih tatkala matahari memancarkan sinarnya. Cuaca seperti hari-hari sebelumnya, cerah dan agak panas tapi tidak terlalu berbahang. Mata dihampar dengan pemandangan yang sama, pohon kelapa, pokok jambu, durian, bacang, belimbing buluh, pisang, si ibu ayam dan anak-anaknya, serta pelbagai lagi ciptaan Allah Yang Maha Agung.

Tiba-tiba mata saya terpaku kepada sesuatu yang tidak biasa dilihat, bukanlah luar biasa tetapi pada hari ini barulah saya sedar akan kehadirannya. Subhanallah, Maha Suci Allah… Serta merta fikiran saya melayang, merenung sebentar dan berfikir. Turut mengajak hati saya berzikir kepadaNya. Alhamdulillah, saya turut melihat dan menyedari apa yang terlintas di saat itu adalah ilham dari Allah, bukan sekadar coretan sebaliknya sebagai peringatan dan muhasabah bersama. Jadi, tidak rugi rasanya andai saya ingin mengheret anda sama-sama berfikir dan berzikir… Hayya =)

.....................................................................................






“Eh, pokok durian ni dah berputik!”
Kagum saya melihat putik-putik buah durian yang masih kecil. Ini kali pertama pokok durian itu membuahkan hasil, pokok yang masih kecil lagi pada kiraan saya. Alhamdulillah…

“Kenapa tak perasan pun sebelum ni?”
Saya bertanya pada diri sendiri, berfikir sejenak. Saya ketemu jawapan, tersedar dan terpukul dengan teguran dari Allah barangkali, selama ini saya hanya melihat ciptaan Allah, bukan merenung. Selama ini saya melihat dengan pandangan mata kasar, bukan dengan mata hati. Astaghfirullahal’azim…

Terpandang akan pokok durian yang sudah mula berputik, menyedarkan dan mengingatkan saya akan kehadiran nikmat-nikmat Allah yang lain di sekelilingnya. Buah bacang yang pada bila-bila masa akan gugur, kelapa yang sentiasa menjadi pelengkap gulai di meja santap, gugusan belimbing yang menggiurkan bagi si penggemar air asam, SUBHANALLAH tak terhitung nikmatMu Ya Allah…

Allah-lah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu berbagai buah-buahan menjadi rezeki untukmu; dan Dia telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu, berlayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu sungai-sungai. (Ibrahim: 32)


~ Ya Allah, detik dan saat ini, tidak putus-putus ku mengecap nikmat dariMu. Sungguh! Menguatkan keyakinan dan keimananku bahawa Engkau Maha Pengasih… Tapi aku khuatir Ya Allah, apa mungkin nikmat ini akan berterusan? Apa mungkin aku layak mengecapnya di hari mendatang kelak. Aku khuatir, aku bimbang, aku gusar Ya Allah seandainya manis buah yang kunikmati di dunia ini kelak bakal diganti dengan si buah zaqqum yang merobek anak tekakku.
Ya Allah, apakah ku dapat memetik buah-buahan di syurgaMu kelak? Andai dijadikan sekecil cuma amalan dan ibadahku sebagai bayarannya, ku kira tidak mampu untuk ku beli segunung nikmat dan kasihMu itu. Hanya belas ihsan dan kasihanMu ku damba Ya Allah. Kasihanilah kami, hamba-hambaMu… sesungguhnya kami ini hambaMu yang tak punya apa-apa. Segalanya dariMu. Ketentuan hidup kami di atas kehendakMu. Kasihanilah kami. ~


Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahwa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezeki buah-buahan dalam syurga-syurga itu, mereka mengatakan : "Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu." Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya. (Al-Baqarah:25)


Tika diingatkan dengan janji Allah dan juga khabar gembira dari Allah, kekalutan dan kegusaran mulai bersarang di jiwa. Sama- sama kita fikirkan, andai di dunia kita menikmati musim durian sehinggakan berlonggok- longgok di tepi jalan, apa mungkin kita mengecapi nikmat yang sama di hari yang dijanjikan bakal tiba. Gusar seandainya ‘raja buah’ di dunia yang menjadi kegemaran ramai digantikan Allah dengan ‘raja buah’ di akhirat yang menjadi kegerunan ramai.

(Makanan syurga) itukah hidangan yang lebih baik ataukah pohon zaqqum. Sesungguhnya Kami menjadikan pohon zaqqum itu sebagai siksaan bagi orang-orang yang zalim. Sesungguhnya dia adalah sebatang pohon yang keluar dari dasar neraka yang menyala. mayangnya seperti kepala syaitan-syaitan. Maka sesungguhnya mereka benar-benar memakan sebagian dari buah pohon itu, maka mereka memenuhi perutnya dengan buah zaqqum itu. Kemudian sesudah makan buah pohon zaqqum itu pasti mereka mendapat minuman yang bercampur dengan air yang sangat panas.
(Ash- Shaaffaat: 62-67)

Sama- samalah kita memohon kepada Allah moga kita tergolong sebagai hamba yang dikasihiNya. Jika di dunia hari ini, pohon-pohon durian mula berputik dan bakal mengeluarkan hasil, begitu jualah diharap bakal berlaku di akhirat kelak. Moga- moga amalan kita yang benar-benar ikhlas kerana Allah bakal berputik di sana, agar dapat kita rasai hasil buahnya yang telah kita semai sejak di dunia lagi. Jangan pula kerana kemaksiatan dan kemungkaran kita di dunia akan menjadi benih yang tidak sepatutnya. Bimbang andai pohon yang berputik adalah si raja buah zaqqum di neraka. Na'uzubillahi minzalik Ya Allah….

SUBHANALLAH… Sama-sama fikir dan zikir...

p/s : dah lama ditulis, baru berkesempatan di ‘post’ kan… sekadar perkongsian dan peringatan bersama

Monday, May 10, 2010

Peluk Khinzir, Dapat Syurga???

Eh, peluk khinzir masuk syurga? Peluk kucing takpelah. Betul ke ni?

Tak percaya? Mari baca dan hayati kisah ini. Moga dapat diambil ibrah dari kisah ini.
Kisah yang tercatat pada zaman Nabi Musa.

~Allah telah bertanya kepada Nabi Musa adakah Nabi Musa ingin tahu siapakah jirannya di syurga kelak. Nabi Musa menjawab sudah tentu ingin mengenali jirannya. Lalu Allah memberitahu bahawa akan masuk seorang pemuda ke dalam masjid dan mengerjakan solat. Apabila masuk seorang pemuda mendirikan solat, ketahuilah Nabi Musa bahawa itulah pemuda yang dimaksudkan Allah. Nabi Musa pun menunggu sehingga pemuda itu selesai solat. Sebaik sahaja selesai solat, pemuda itu keluar meninggalkan masjid.

Di atas dorongan ingin mengenali dengan lebih dekat jirannya di syurga seperti yang dikhabarkan Allah, Nabi Musa mengekori pemuda itu pulang ke rumah. Si pemuda menyedari dirinya diekori, lalu Nabi Musa memberitahu bahawa dia ingin menumpang sebentar di rumah si pemuda. Dengan senang hati, pemuda itu mengalu-alukan kedatangan Nabi Musa. Pemuda itu tidak mengenali bahawa yang mengikutnya pulang ke rumah adalah seorang Nabi.

Sebaik tiba di rumah pemuda itu, Nabi Musa dijemput masuk. Pemuda itu meminta Nabi Musa duduk dahulu, kerana ada urusan yang ingin dilakukan terlebih dahulu. Tidak lama kemudian pemuda itu keluar dengan memeluk seekor khinzir. Terkejut Nabi Musa melihat perlakuan pemuda itu. Lalu pemuda itu memandikan dan menguruskan khinzir itu dengan penuh kasih sayang. Kemudian pemuda itu membawa keluar seekor lagi khinzir, lalu dilakukan perkara yang sama kepada khinzir itu. Nabi Musa memerhatikan dengan penuh tanda tanya.

Nabi Musa mendekati pemuda itu dan bertanya akan perbuatan pemuda itu. Lalu jawab pemuda itu bahawa kedua-dua khinzir itu adalah ibu dan bapanya yang telah dihukum oleh Allah kerana tidak melaksanakan perintah solat. Maka fahamlah Nabi Musa mengapa pemuda ini merupakan jirannya di syurga kelak.

Kasih pemuda itu tidak pernah pudar walaupun kedua ibu bapanya adalah khinzir. Atas dasar ketaatan kepada Allah, pemuda itu tidak menolak ketaatan kepada ibu bapanya walau dalam apa jua keadaan.~

********************************************************************************************************

Jangan disalah erti, bukan saya ingin menyeru kita memeluk khinzir untuk beroleh syurga Allah, tetapi peluklah dengan penuh kasih sayang dua insan yang kita gelar ibu dan ayah. Redha mereka merupakan batu loncatan untuk kita memperoleh redha daripada Allah.

Sama-sama kita jadikan kisah pemuda di atas sebagai satu iktibar dan peringatan buat diri yang selalu khilaf dan alpa ini. Sedang dia sanggup membelai kedua ibu bapanya yang berubah khinzir dengan penuh kasih sayang dan keikhlasan, mengapa tidak kita yang dikurniakan Allah ibu bapa yang sempurna sifatnya? Namun mungkin ada khilaf yang dilakukan sepanjang membesar dan mendidik kita, anak-anaknya. Tetapi ketahuilah, kita tidak sesekali layak dan berhak menghukum mereka. Membuang, menyisih dan menolak kehadiran mereka dalam hidup kita sesekali dilarang oleh Allah SWT. Andai kita dibimbing Allah berjalan di jalan yang lurus, bimbinglah mereka bersama-sama kita menyusurinya. Doa yang tulus adalah senjata buat anak soleh kepada kedua ibu bapanya.
Subhanallah… Sama-sama zikir dan fikir.

Dasar Manusia Tak Kenang Budi!!!

“Ooo… Bila susah baru kau nak cari aku ye. Waktu kau senang dulu, nak tengok batang hidung pun payah. Dah susah sekarang, baru terhegeh-hegeh nak mintak tolong kat aku. Kau ni memang manusia tak kenang budi! Dasar kacang lupakan kulit!!”

Amboi, marahnya mak cik. Marah kat sape tu? Kalau nak marah pun, janganlah kasar sangat. Berlapiklah sikit bahasa tu…

“Kalau mak cik cakap baik-baik pun tak guna. Nanti mak cik cakap belakang jugak. Itu mengumpat pulak namanya. Berdosa tau…”

Ops… No comment =)

*******************************************************************************************************
Begitulah adat masyarakat kita, “ada ubi ada batas, ada budi ada balas”, “pecah kaca pecah gelas, lepas baca harap balas”, dan macam-macam lah lagi perumpamaan yang menggambarkan betapa perlunya kita menghargai dan membalas segala kebaikan yang dihulurkan. Jika tidak, kita akan dilabelkan seperti kacang lupakan kulit, ataupun seperti kera mendapat bunga. Yang pasti kita tak mahu dilabelkan sebagai ‘kacang’ apatah lagi ‘seekor kera’ bukan? (~_ ^)

Namun begitulah hakikat kehidupan bermasyarakat. Menjadi satu lumrah hidup bermasyarakat apabila ada tangan yang menghulur, maka akan ada tangan yang membalas. Inilah kunci keharmonian dan mahabbah dalam kehidupan bermasyarakat.

Menyelami dan merenungi sejenak akan fenomena kehidupan manusia di akhir zaman ini, membuka luas mata saya akan kebesaran Tuhan Sang Pencipta. Dialog di atas sekadar satu senario yang mungkin berlaku dalam sesetengah masyarakat kita. Jua sebagai satu suntikan idea untuk mengheret anda semua bersama-sama saya berfikir dan berzikir… Hayya bina :)

~Marah betul mak cik dalam dialog di atas apabila ‘si kacang’ datang kembali menagih simpati dan bantuan. Ketika senang si mak cik dilupakan. Cuba fikir sejenak, marahkah kita jika berada di tempat si mak cik? Tepuk dada dan tanyalah iman masing-masing.

Mungkin bagi yang terselit secebis iman akan berkata, “ takpelah, biasalah manusia selalu lupa. Sedangkan nabi ampunkan umat, siapalah kita nak menghukum”. Lain pula bagi mereka yang hatinya sedang diprovok syaitan, “dasar manusia tak sedar diri, tak kenang budi, jangan harap aku nak tolong kau lagi”. (sekadar contoh)

Manusia… Sering didorong perasaan dan emosi, begitu jugalah yang pernah dihadapi oleh penulis dan mungkin juga anda. Tika itu, akal dan hati kita sedang dipandu hawa nafsu dan syaitan. Iman melayang entah ke mana, hati mula memberontak marah, menghalang maaf dihulur dengan mudah.

Astaghfirullahal’azim…. Sedang lancang mulut kita memarahi dan menghukum manusia (manusia tak sedar diri, tak kenang budi, dan macam-macam lagi ), sedarkah bahawa kita sedang meludah ke langit? Saudara, mengapa meludah ke langit tidak ke tanah? Lihat! Akhirnya, air liur yang dianggap jijik itu jatuh ke muka sendiri. Nah! Inilah padahnya!

Kita sedang menghina diri sendiri!

Mengapa???

Sedarkah kita, hakikatnya kita juga seorang manusia yang tak sedar diri, tak sedar sedar diuntung, tak kenang budi dan tak tahu berterima kasih! Berapa banyak nikmat dan anugerah yang sedang kita kecapi, namun kita tak hargai dan syukuri. Kita marah apabila dilabelkan seperti kera mendapat bunga, tersinggung apabila diri disamakan dengan seekor kera. Namun, campakkanlah sebentar ego kita, sama-sama kita hisab dan renung kembali akan kebenaran kalam Allah ini:

Katakanlah: "Dia-lah Yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati." (Tetapi) amat sedikit kamu bersyukur. (Al- Mulk: 23)


Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah). (Ibrahim: 34)

Allah turut menegur sikap hamba-hambaNya yang mengungkit akan kebaikan yang dilakukan dalam kitab suciNya yang bermaksud:

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya karena riya kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir. (Al- Baqarah: 264)


Astaghfirullah… Hanya kerana mengharap balasan terima kasih kita menjadi seorang yang rugi kerana memberi dan menghulur. Ramai yang bimbang menjadi rugi seandainya terus memberi dan menghulur, lalu hanya mengharap untuk menerima. Benar! Kita akan rugi seandainya balasan terima kasih serta pujian yang ditagih, sebaliknya kebahagiaan akan bertandang andai tangan yang menghulur penuh keikhlasan dan kasih sayang.



~Hitunglah nikmat Allah walau hakikatnya nikmat yang dikecapi tak terhitung nilainya, dengan doa dan harapan kita menjadi hamba yang bersyukur. Saling memberi dan menghulur kerana hakikatnya kita menerima dariNya lebih dari apa yang kita hulurkan. Seluas lautan tak mampu jadi bandingannya, itulah pemberian dariNya.~

SUBHANALLAH… Sama-sama fikir dan zikir…