Amboi, marahnya mak cik. Marah kat sape tu? Kalau nak marah pun, janganlah kasar sangat. Berlapiklah sikit bahasa tu…
“Kalau mak cik cakap baik-baik pun tak guna. Nanti mak cik cakap belakang jugak. Itu mengumpat pulak namanya. Berdosa tau…”
Ops… No comment =)
*******************************************************************************************************
Begitulah adat masyarakat kita, “ada ubi ada batas, ada budi ada balas”, “pecah kaca pecah gelas, lepas baca harap balas”, dan macam-macam lah lagi perumpamaan yang menggambarkan betapa perlunya kita menghargai dan membalas segala kebaikan yang dihulurkan. Jika tidak, kita akan dilabelkan seperti kacang lupakan kulit, ataupun seperti kera mendapat bunga. Yang pasti kita tak mahu dilabelkan sebagai ‘kacang’ apatah lagi ‘seekor kera’ bukan? (~_ ^)
Namun begitulah hakikat kehidupan bermasyarakat. Menjadi satu lumrah hidup bermasyarakat apabila ada tangan yang menghulur, maka akan ada tangan yang membalas. Inilah kunci keharmonian dan mahabbah dalam kehidupan bermasyarakat.
Menyelami dan merenungi sejenak akan fenomena kehidupan manusia di akhir zaman ini, membuka luas mata saya akan kebesaran Tuhan Sang Pencipta. Dialog di atas sekadar satu senario yang mungkin berlaku dalam sesetengah masyarakat kita. Jua sebagai satu suntikan idea untuk mengheret anda semua bersama-sama saya berfikir dan berzikir… Hayya bina :)
~Marah betul mak cik dalam dialog di atas apabila ‘si kacang’ datang kembali menagih simpati dan bantuan. Ketika senang si mak cik dilupakan. Cuba fikir sejenak, marahkah kita jika berada di tempat si mak cik? Tepuk dada dan tanyalah iman masing-masing.
Mungkin bagi yang terselit secebis iman akan berkata, “ takpelah, biasalah manusia selalu lupa. Sedangkan nabi ampunkan umat, siapalah kita nak menghukum”. Lain pula bagi mereka yang hatinya sedang diprovok syaitan, “dasar manusia tak sedar diri, tak kenang budi, jangan harap aku nak tolong kau lagi”. (sekadar contoh)
Manusia… Sering didorong perasaan dan emosi, begitu jugalah yang pernah dihadapi oleh penulis dan mungkin juga anda. Tika itu, akal dan hati kita sedang dipandu hawa nafsu dan syaitan. Iman melayang entah ke mana, hati mula memberontak marah, menghalang maaf dihulur dengan mudah.
Astaghfirullahal’azim…. Sedang lancang mulut kita memarahi dan menghukum manusia (manusia tak sedar diri, tak kenang budi, dan macam-macam lagi ), sedarkah bahawa kita sedang meludah ke langit? Saudara, mengapa meludah ke langit tidak ke tanah? Lihat! Akhirnya, air liur yang dianggap jijik itu jatuh ke muka sendiri. Nah! Inilah padahnya!
Kita sedang menghina diri sendiri!
Mengapa???
Sedarkah kita, hakikatnya kita juga seorang manusia yang tak sedar diri, tak sedar sedar diuntung, tak kenang budi dan tak tahu berterima kasih! Berapa banyak nikmat dan anugerah yang sedang kita kecapi, namun kita tak hargai dan syukuri. Kita marah apabila dilabelkan seperti kera mendapat bunga, tersinggung apabila diri disamakan dengan seekor kera. Namun, campakkanlah sebentar ego kita, sama-sama kita hisab dan renung kembali akan kebenaran kalam Allah ini:
Katakanlah: "Dia-lah Yang menciptakan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati." (Tetapi) amat sedikit kamu bersyukur. (Al- Mulk: 23)
Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah). (Ibrahim: 34)
Allah turut menegur sikap hamba-hambaNya yang mengungkit akan kebaikan yang dilakukan dalam kitab suciNya yang bermaksud:
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya karena riya kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah dia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir. (Al- Baqarah: 264)
Astaghfirullah… Hanya kerana mengharap balasan terima kasih kita menjadi seorang yang rugi kerana memberi dan menghulur. Ramai yang bimbang menjadi rugi seandainya terus memberi dan menghulur, lalu hanya mengharap untuk menerima. Benar! Kita akan rugi seandainya balasan terima kasih serta pujian yang ditagih, sebaliknya kebahagiaan akan bertandang andai tangan yang menghulur penuh keikhlasan dan kasih sayang.
~Hitunglah nikmat Allah walau hakikatnya nikmat yang dikecapi tak terhitung nilainya, dengan doa dan harapan kita menjadi hamba yang bersyukur. Saling memberi dan menghulur kerana hakikatnya kita menerima dariNya lebih dari apa yang kita hulurkan. Seluas lautan tak mampu jadi bandingannya, itulah pemberian dariNya.~
SUBHANALLAH… Sama-sama fikir dan zikir…
No comments:
Post a Comment