Meeting? Dah lama tak pergi meeting… huuu….
“Kita ada staf baru hari ni, jadi kita jemput semua untuk taaruf diri masing-masing”. Kata ustaz Khairi.
Itulah antara catatan memori pertama berada di Al- Azhar Media. Alhamdulillah, di saat jari menari di dada keyboard, waktu sudah berlalu hampir 3 minggu. Mengutip pengalaman di sini merupakan satu mutiara nikmat yang tak terucap syukurnya.
ALLAH BERI APA YANG KITA PERLUKAN….
Tidak pernah terlintas di fikiran atau angan bahawa saya akan berada di sini, atau di mana-mana syarikat penerbitan buku. Sememangnya ada memasang impian untuk melibatkan diri dalam dunia penulisan suatu hari nanti, tetapi saya tidak pernah melihat ruang dan peluang yang lebih luas bagi memulakan langkah ke dunia itu. Sekadar meletakkan langkah pertama dengan melibatkan diri di alam maya Blogger. Allah tahu apa yang hamba-hambaNya inginkan. Tapi Allah tidak terus memberikan apa yang kita mahukan. Jika Allah mahu makbulkan, Allah boleh sahaja makbulkan permintaan dan kemahuan hambaNya. Tiba-tiba datang satu tawaran dari mana-mana editor majalah menawarkan peluang untuk menerbitkan buku. Allah mampu melakukan apa sahaja.
Allah Pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak (untuk menciptakan) sesuatu, maka (cukuplah) Dia hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah!" Lalu jadilah ia. (Al- Baqarah: 117)
Tetapi mengapa Allah tidak berbuat demikian?
Ketahuilah bahawa Allah memberikan apa yang kita perlukan…
Allah memberi peluang untuk kita ke hadapan bagi mencapai apa yang kita inginkan. Allah juga sedang mendidik kita untuk mengenal erti penat lelah berusaha bagi mencapai kemahuan. Kita perlu TAHU dahulu sebelum MAHU.
TAHU & MAHU???
“Nak jadi doktor? Nah! Ini dia sijil kelayakan awak sebagai doktor.”
Bolehkah situasi di atas berlaku? Mustahil. Dan sangat-sangat mustahil ia akan berlaku. Di sinilah perlunya konsep TAHU sebelum mencapai MAHU.
Mana mungkin impian menjadi doktor termakbul dengan begitu mudah sekali. Bertahun-tahun diperlukan untuk menjadi seorang yang TAHU sebelum MAHU menjadi doktor. Pengalaman dan pengetahuan lah merupakan asset utama untuk mencapai apa yang kita mahu. Sama-sama kita panjatkan doa kepadaNya:
~Ya Allah Ya ‘Alim. Yang Maha Mengetahui segala-galanya. Sedikit sekali bekalan ilmu di dada kami. Moga tiap saat nadi kami berdetik, Kau alirkan sedikit ilmu dan pengetahuan. Kami juga tidak mampu mengetahui rahsia di sebalik aturan hidup kami yang pastinya di bawah aturanMu. Engkau Maha Mengetahui Ya Allah. Kami memohon Ya Allah moga dibukakan pintu hati kami, agar dapat kami menilai dan melihat kebaikan di sebalik tiap aturan hidup olehMu. Moga jauh hati kami dari berburuk sangka kepadaMu, bimbang satu hari nanti kami berputus asa dari rahmatMu, lantas berpaling dari jalanMu. Nauzubillahiminzalik Ya Allah, jauhkanlah kami dari perkara tersebut Ya Allah…~
Segala puji bagi ALLAH…
No comments:
Post a Comment