Tuesday, May 25, 2010

Beratnya Menanggung Rindu...

“ Nanti! Tunggu dulu! “

Abah berlari-lari anak menuju ke kereta yang sedang menuju keluar dari pintu pagar rumah. Seperti ada perkara penting yang hendak disampaikan. Akak saya (kakde) menurunkan cermin kereta di hadapan. Saya menjengukkan kepala ke tingkap, bertanya kepada abah.

“Ada apa abah?”

“Nak pesan ni, rasanya adik dah tahu tapi nak ingatkan jelah. Solat jangan dilewatkan, solat awal waktu, jaga solat ye.” Kata abah sambil menepuk lembut bahu saya.

Saya terkedu sedang mulut terus terukir senyuman.
“InsyaAllah abah.”

Kereta MyVi terus meninggalkan kampung, lambaian mak dan abah mengiringi keberangkatan saya dan kakde ke Kajang. Terasa sayu meninggalkan mak dan abah pada pagi itu, suasana yang begitu berbeza saya kira, hu4. Sudah menjadi kebiasaan apabila hendak meninggalkan rumah sejak dulu lagi,(balik asrama atau tempat belajar) mak tak henti-henti bercakap. Ada saja yang pesanan dan peringatan. Tapi pagi itu sama sekali berbeza, mak banyak mendiamkan diri, tidak seperti biasa. Namun sebelum kereta dihidupkan enjin, mak sempat bertanya dari beranda rumah,

“Lepas habis kerja nanti, adik tak balik rumah dah ke? Terus pergi Gombak dari rumah kakde?”
“Eh taklah mak, mestilah balik rumah dulu.”
Saya menyedapkan hati mak, seperti dapat dihidu punca perubahan sikap mak pada pagi itu…

Manakala abah yang saya kenali lebih mengambil sikap mendiamkan diri, bercakap apabila perlu, kadang-kadang pandangan mata abah sudah cukup menjadi isyarat peringatan kepada kami adik-beradik. Namun ketegasan abah sekadar pada luaran, hatinya begitu mudah tersentuh, mudah matanya basah dengan linangan air mata. Pagi itu, terkedu saya sebentar apabila mendengar nasihat yang diberi oleh abah. Sedikit menggugat emosi saya pada pagi itu, terngiang-ngiang nasihat abah sehingga saat ini.

Bagi saya, 2 bulan meluangkan masa di rumah begitu meninggalkan kesan kepada diri saya, diri mak dan juga abah. Pemergian pada pagi itu terasa berat dan membebankan. Berada 2 bulan di rumah memberi ruang dan peluang untuk saya memberi dan menerima kasih sayang. Mungkin ada jua ruang yang diberi tidak dimanfaatkan sebaiknya, tetapi saya melihat tempoh tersebut membuatkan hati ini berat menanggung kerinduan tatkala berjauhan dengan mak dan abah. Owh, manjanya… Bagi saya, rugilah sesiapa yang tidak tercalit sedikit perasaan ini, kerana sesungguhnya rindu itu adalah anugerah dari Allah, pengikat kasih sayang… =)

Saya sahaja yang rindu mak dan abah? Mereka tak rindu ke? He4…
Mestilah rindu… (perasannyeeeer)

Pernah sekali dalam tempoh 2 bulan itu, saya pergi ke rumah kakde di Kajang dan juga melawat sahabat-sahabat di Nilai, hampir 2 minggu meninggalkan rumah. Ketika baru tiba di Nilai mak menelefon saya, bertanya berapa hari akan tidur di sana dan bila mahu balik ke rumah. Apa yang mengejutkan, mak bertanya “tak rindukan mak ke? Mak dah rindu ni, jangan lama-lama sangat kat sana”… Terasa amat bahagia saat itu, seolah-olah sayalah anak yang paling disayangi dan dirindui oleh mak…

Terfikir sejenak, pasti mak dan abah juga merasakan perasaan yang serupa seandainya menerima ungkapan yang sama. Ungkapan yang lahir dari hati bukan sekadar manis di mulut. Namun kekadang keegoan diri menjadi benteng dan penghalang ikatan kasih sayang anak dan ibu bapa. Moga Allah sentiasa menganugerahkan perasaan rindu ini, agar tidak pudar kasih kita kepada ibu bapa. Bimbang seandainya dalam kesibukan kita mengutuk si anak yang membuang ibu bapa ke rumah kebajikan, kita apa kurangnya? Tanpa disedari, kita turut ‘membuang’ mereka, menyisihkan mereka dalam segala hal, tiada keutamaan yang diberikan kepada mereka.

Sama-sama kita fikirkan mengapa Allah mewujudkan perasaan rindu. Allah tidak mengadakan sesuatu dengan sengaja tanpa bersebab. Manusia sering mengungkap “ beratnya menanggung rindu”… Benar, namun lihatlah kemanisan di sebalik beban berat yang ditanggung…
RINDU ITU ADALAH ANUGERAH DARI ALLAH, INSAN YANG BERHATI NURANI PUNYAI RASA RINDU….. =)

No comments:

Post a Comment