Wednesday, February 23, 2011

Kemenangan ke-12 Pro-M Universiti Islam Antarabangsa



Oleh INTAN ABDULLAH

GOMBAK: Buat kali ke-12, kumpulan Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berjaya merangkul kemenangan bergaya selepas berjaya menewaskan kumpulan Aspirasi dengan memperolehi 23 kerusi daripada 26 yang dipertandingkan pada Pilihan Raya kampus (PRK) sesi 2010/11 baru-baru ini.

Menurut Ketua Pro M UIAM, Wan Mohd Hakimi Wan Ahmad kemenangan yang diperolehi oleh kumpulan berkenaan banyak didorong oleh komitmen pendokong dan penyokong kumpulan berkenaan yang konsisten bekerja keras tanpa mengenal erti jemu dan selesa dengan keadaan yang telah sedia ada.

"Alhamdulillah, kami dianugerahkan Allah kemenangan buat kesekian kalinya pada sesi ini bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan mahasiswa dengan aspirasi memartabatkan agenda kebajikan dan kecemerlangan," ujarnya kepada Harakah selepas Majlis Pengumuman Keputusan PRK di Experimental Hall UIAM baru-baru ini.

Pihaknya juga merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera Pro M yang bertungkus lumus bagi memastikan kemenangan tersebut - termasuk sokongan pihak pentadbiran universiti yang membantu menggalakkan mahasiswa keluar mengundi.

Sementara itu, timbalan beliau, Ubaid Abd Akla pula berkata kemenangan yang diperolehi tersebut membuatkan mereka terus matang dan berhasrat untuk berkongsi bersama oleh kampus-kampus lain yang turut mencipta kemenangan pada PRK kali ini.

"Kita akan mengadakan kerjasama dan bertukar-tukar idea dengan MPP IPTA lain yang telah berjaya bagi melaksanakan agenda dalam manifesto Pro M Nasional selain memperbaiki kelemahan yang ada.

"Selain itu, kami juga akan membuat pelan tindakan untuk terus memperkukuhkan kuasa dan sokongan mahasiswa terhadap Pro M," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa UIAM, Ustaz Fauzi Muda berkata pihaknya berpuas hati dengan peningkatan peratus keluar mengundi pad PRK kali ini iaitu 65.68 peratus berbanding 48 peratus pada sesi lalu.

walau bagaimanapun pihaknya tidak bercadang untuk mewajibkan mahasiswa untuk keluar mengundi pada pilihan raya akan datang sebagai jalan pintas mencapai sasaran peratusan yang diharapkan iaitu 70 peratus.

"Pihak jawatankuasa telah memberikan sokongan dan berusaha menggalakkan mahasiswa turun mengundi dengan menaikkan lebih banyak kain rentang, mengedarkan handbill serta menampal poster di sekitar kampus," ujarnya.

Langkah tersebut ujarnya dilihat menerima maklumbalas yang positif daripada mahasiswa terutamanya pihak yang mengambil bahagian dalam PRK ini.

Thursday, February 17, 2011

Ya Rasulullah... Kami Penyambung Perjuanganmu

Bismillahirahmanirrahim…



Salam Maulidurrasul, setinggi-tinggi selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad. Saya kira tidak terlambat untuk mengucapkan salam maulidur rasul kerana sesungguhnya kita sentiasa perlu bersyukur dan bergembira dengan kehadiran seorang utusan Allah yang mulia ini. Kita tidak pernah melihat wajahnya, tidak pernah mendengar suaranya, tidak pernah bersalaman dengannya, tidak pernah juga berbicara dengannya. Namun kita yakin percaya dan beriman bahawa berpuluh ribu tahun dahulu, baginda hadir menyampaikan risalah Islam yang sangat indah.

Sedar dan ingatlah bahawa keimanan kita kepada Rasul adalah salah satu nikmat yang besar daripada Allah. Alhamdulillah, di saat ini setelah berpuluh ribu tahun Rasulullah meninggalkan umatnya, kita dipilih Allah di kalangan yang beriman kepada baginda dan seluruh para rasul dan anbiya’. Sedangkan di luar sana, masih ramai lagi yang mendustakan dan menolak ajaran Islam yang disampaikan Rasulullah S.A.W.

“Sampaikanlah dariku walau satu ayat”, itulah antara pesanan daripada baginda. Perjuangan Rasulullah menyampaikan risalah Islam tidak pernah terhenti selepas kewafatan baginda. Bahkan darah perjuangan baginda terus mengalir dalam setiap diri yang bergelar daie. Suka saya mengajak diri sendiri dan anda yang membaca coretan ini supaya bertanya kepada diri sendiri, sejauh mana telah kita laksanakan amanah ini.

Kita rasakan sudah banyak kerja dakwah yang kita buat, berlambak-lambak program dakwah yang kita anjurkan. Namun, kenapa masih ramai umat Nabi Muhammad yang alpa, lalai, rosak, hancur dek tipu daya dunia. Di manakah silapnya dakwah kita?
Sama-sama kita fikirkan…..

Sedarkah, kadang-kadang kita sibuk menjaga kepentingan diri sendiri. Sedang kita khusyuk berada di tikar sejadah sepanjang hari memohon keampunan untuk diri sendiri, mereka yang tenggelam terkapai-kapai meminta diselamatkan dari lautan nafsu dunia terus lemas dibawa arus duniawi. Air mata tak henti mengalir menangisi dosa diri di hadapan Allah, tapi kita tidak pernah menangisi nasib dan dosa masyarakat yang rosak di luar sana.

Sedang kita asyik menjaga ukhwah islam sesama kumpulan daie masing-masing, kita lupa untuk membina dan menjalin hubungan dengan masyarakat di luar yang memerlukan bimbingan dari golongan yang memahami agama. Pergi ke sana ke mari tak pernah berenggang daripada kumpulan kita, hingga golongan mad’u rasa rendah diri nak bersama kita. Akhirnya mereka jauh daripada kita, terus menjauhkan diri walau kita cuba mendekati.

Sedang kita sibuk hadir ke program ke sana ke mari, kita abaikan hak kepada sahabat dan mad’u. Kita langsung tak menjaga hati dan perasaan mereka, hingga mereka rasa tersisih dan tersinggung. Kita pujuk hati kita, “tak mengapa, Allah lebih tau apa yang aku buat,”. Namun hakikat yang berlaku, mereka berasa jelek dan kecewa dengan sikap kita. Inikah sikap da’i yang ingin kita pamerkan? Hingga hilang rasa hormat dan percaya dalam diri mereka untuk mendengar apa yang ingin kita sampaikan. Mereka menutup telinga dan kaki diangkat melangkah pergi menjauhi kita.

Sedang kita kelihatan hebat bercakap dalam meeting atau program, kita jadi bisu bila berhadapan dengan realiti masyarakat sebenar. Lidah jadi kelu, kaki jadi kaku bila melihat kemungkaran di depan mata, kita kata pada hati, cukuplah hati yang membenci maksiat yang kita lihat. Hati kita mengutuk sekeras-kerasnya perkara mungkar tersebut, namun pernahkah hati kita berbisik kepada Allah, “ Ya Allah, seperti mana kau kurniakan nikmat iman kepadaku saat ini, kurniakan jua kepada saudara semuslimku. Ampunkan dosa mereka, berilah hidayah kepada mereka.”?

Sedang anda membaca coretan ini saat ini, di luar alam maya ini, ramai insan yang memerlukan bantuan kita. Merekalah mad’u kita. Sama-sama kita bimbing mereka meniti laluan mencari redha dan rahmat Allah. Tundukkan ego kita, selidikilah di mana kesilapan kita, jangan pula kita menyalahkan mad’u sekiranya mereka memalingkan muka dari apa yang kita sampaikan. Benar, HIDAYAH ITU MILIK ALLAH, namun jangan pula dijadikan alasan untuk kita berhenti selepas sedikit usaha yang kita lakukan.

~Ya Allah, ampunkan segala kesilapan dan kesalahan kami. Kami sedar, terbeban di bahu kami satu amanah yang sangat besar. Namun kadang- kadang ada langkah dan hayunan kami yang tersalah rentak serta tersumbang alunannya. Beri kami kekuatan dan pandulah kami dalam meneruskan perjuangan RasulMu, amiin.~

~Ya Rasulullah, kami ingin benar berjumpa denganmu, melihat wajahmu, mendengar suaramu, berbicara denganmu. Namun, apakah kami layak andai sedikit benar usaha kami dalam meneruskan perjuanganmu. Bukan sahaja sedikit, malah banyak pula kekurangannya. Terasa malu untuk berhadapan denganmu wahai Rasulullah. Apakah berita dan khabar yang akan ku sampaikan kepadamu setanding dengan pengorbanan para sahabatmu. Tiada apa yang dapat kami banggakan dengan pengorbanan yang sedikit ini, namun kami bangga menjadi rantai mata perjuanganmu Ya Rasulullah. Syafaatkan kami ya Rasulullah, kami merinduimu...

Moga kita sama-sama dapat menghisab diri, maaf andai ada terkasar bahasa dan terlanjur perkataan. Apa yang disampaikan di atas sekadar luahan hati seorang insan yang juga banyak kekurangan. Sesungguhnya, saya cuma ingin mengajak kita sama-sama berfikir dan mula melakukan perubahan, tidak berniat menghentam mana-mana pihak atau kumpulan.

Mungkin segala di atas berlaku pada saya dan juga pada anda. Malahan mungkin ada yang melihat perkara di atas sekadar perkara kecil dan tak perlu diperbesar-besarkan. Tetapi ingatlah.. Satu sel BARAH yang tumbuh dalam badan manusia mungkin dianggap tidak merbahaya, tetapi seandainya dibiarkan bertahun-tahun tidak diubati, ia mampu MEMBUNUH manusia itu. Sebelum ia menjadi BARAH dalam golongan da’i dan umat islam umumnya, sama-samalah kita mencegahnya bermula dengan perubahan diri sendiri.

Wallahua’lam…

~Nasihat untuk diri dan anda semua~ (^_^)
~Sama-sama zikir dan fikir~

Wednesday, February 16, 2011

Pro-M menang 13 kerusi tanpa bertanding di UIA

Sumber: Malaysiakini.com

Kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) telahpun memenangi tanpa bertanding 13 kerusi, termasuk merampas dua 'kubu kuat' pro-Aspirasi selepas penamaan calon ditutup hari ini.

Keputusan tersebut diumumkan oleh ketua jawatankuasa pemilihan, Fauzi Muda - yang juga pengetua Kolej Ali - di Galeri pameran kuliah senibina, UIA jam 3 petang tadi.

Dalam pilihan raya kampus tahun lalu, pro-M memenangi 17 daripada 24 kerusi fakulti yang dipertandingkan.

Bagi tahun ini, 26 kerusi yang dipertandingkan - bertambah dua kerusi baru di fakulti pendidikan, hasil desakan kumpulan tersebut sebelum ini.

Daripada jumlah tersebut, 14 kerusi dipertandingkan di kampus induk di Gombak manakala 12 kerusi lagi di kampus UIA Kuantan.

Timbalan pengerusi pro-M, Ubaid Abd Akla berkata, enam daripada kerusi tersebut dimenangi di tiga kuliah, iaitu kejuruteraan (2), teknologi maklumat (2) dan kuliah alam bina (2) - kesemuanya di kampus induk di Gombak.

Manakala tujuh kerusi lagi dimenangi di empat kuliah di kampus cawangan UIA Kuantan - iaitu kuliah sains (2), farmasi (2), perubatan (2) dan pergigian (1).

Ubaid berkata, pro-M berjaya mempertahankan kubu kuat mereka tanpa bertanding di kuliah sains, farmasi dan perubatan.

Pengundian akan diadakan pada 22 Februari ini yang membabitkan lapan kerusi di Gombak (kuliah undang-undang (2), ekonomi (2), ilmu wahyu dan sains sosial (2) dan pendidikan (2).

Di Kuantan pula, empat lagi akan dipertandingkan, iaitu kuliah sains bersekutu (2) dan kejururawatan (2).

Manakala kumpulan pro-Aspirasi pula menang tanpa bertanding satu kerusi di kuliah pergigian. Tahun lalu, kumpulan tersebut memenangi tujuh kerusi.

Sementara itu, Fauzi juga mengumumkan bahawa kelima-lima kerusi antarabangsa turut dimenangi tanpa bertanding.

Selain UIAM, lima lagi universiti akan mengadakan penamaan calon masing-masing esok, iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor.

RENUNG KEMBALI~



عن أنس قال: سمعت رسول الله يقول: (( قال الله تعالى: يا إبن آدم إنك ما دعوتني ورجوتني غفرت لك، على ما كان منك، ولا أبالي. يا إبن آدم، لو بلغت ذنوبك عنان السماء، ثم استغفرتني غفرت لك. يا إبن آدم، إنك لوأتيتني بقراب الأرض خطايا ثم لقيتني لا تشرك بي شيئا لأتيتك بقرابها مغفرة )) رواه الترمذي وقال: حديث حسن صحيح

Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi. Beliau berkata ia adalah hadis hasan sahih.

Daripada Anas r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Allah Ta'ala berfirman: Wahai anak Adam! Selagi mana engkau meminta, berdoa dan mengharapkan Aku, Aku akan ampunkan apa-apa dosa yang ada pada dirimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Seandainya dosa-dosamu banyak sampai mencecah awan langit kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, nescaya Aku akan ampunkan bagimu. Wahai anak Adam! Sesungguhnya engkau, andainya engkau datang mengadapKu dengan dosa-dosa sepenuh isi bumi, kemudian engkau datang menghadapKu tanpa engkau mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku akan mengurniakan untukmu keampunan sepenuh isi bumi.


SUBHANALLAH…
Segala puji bagiMu wahai Tuhan Ya Rahman, Ya Rahim, Ya ‘Afu, Ya Tawwab, Ya Ghaffar…

Sungguh! Kami hambaMu yang hina dina, tidak mampu kami menghulur dan memberi maaf seluas keampunanMu kepada saudara kami dek kesombongan dan keangkuhan kami.
Sungguh! Kami hambaMu yang alpa, menjadi hamba yang tidak bersyukur dek tenggelam dengan nikmat dan keseronokan dunia fana.

Astaghfirullahal’azim… moga kita sama-sama menghisah dan mengislah diri.

Lihatlah betapa Allah itu Al Wahhab, Yang Maha Memberi kepada hamba-hambaNya. Renunglah hadith di atas, betapa Allah itu Maha Memberi taubat kepada kita, hambaNya. Begitu banyak kerosakan dan kemungkaran yang kita lakukan di muka bumi, tanda tidak bersyukurnya kita kepada nikmat Allah. Tetapi Allah tidak pernah berdendam kepada hambaNya, malah menghamparkan seluas lautan keampunan bahkan lebih dari itu.

Renung kembali, bagaimana pula dengan kita? Pergaduhan, perpecahan, dan bermacam permusuhan yang berlaku dek kesombongan serta keangkuhan kita di muka bumi ini. Siapa kita? Fikirlah, siapa kita? Tuhankah kita? Tidak! Kita hanya hamba… Hamba kepadaNYA…

Kerana kita hamba, maka fikirkan dan renungkanlah sifat Allah Al Wahhab:

1. Allah memberi tanpa pinta dibalas

2. Allah memberi sebelum dipinta

3. Allah memberi berulang-ulang kali dan berterusan

4. Allah memberi segala sesuatu yang sangat berharga

5. Allah memberi sesuatu yang baik untuk menghasilkan kebaikan

Moga Allah Ya Wahhab terus meminjamkan sedikit sifat Al Wahhab-Nya kepada kita.
Hakikatnya sebagai hamba kita tidak punya apa-apa. Bahkan sedikit sifat pemurah yang ada pada diri kita saat ini jua adalah pemberian Allah. Bahkan jua segala sifat yang baik adalah pemberian daripadaNya. Lihat! Betapa Allah itu Maha Memberi…
SUBHANALLAH. Sama-sama fikir dan zikir….

~Ya Allah, kami ingin menjadi hambaMu yang baik di sisiMu, kami ingin merasai kemanisan dan keseronokan menjadi hambaMu.., bimbing dan bantulah kami Ya Allah~

Sumber rujukan: hadith 40, Solusi isu 14