Wednesday, February 16, 2011

RENUNG KEMBALI~



عن أنس قال: سمعت رسول الله يقول: (( قال الله تعالى: يا إبن آدم إنك ما دعوتني ورجوتني غفرت لك، على ما كان منك، ولا أبالي. يا إبن آدم، لو بلغت ذنوبك عنان السماء، ثم استغفرتني غفرت لك. يا إبن آدم، إنك لوأتيتني بقراب الأرض خطايا ثم لقيتني لا تشرك بي شيئا لأتيتك بقرابها مغفرة )) رواه الترمذي وقال: حديث حسن صحيح

Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi. Beliau berkata ia adalah hadis hasan sahih.

Daripada Anas r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Allah Ta'ala berfirman: Wahai anak Adam! Selagi mana engkau meminta, berdoa dan mengharapkan Aku, Aku akan ampunkan apa-apa dosa yang ada pada dirimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Seandainya dosa-dosamu banyak sampai mencecah awan langit kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, nescaya Aku akan ampunkan bagimu. Wahai anak Adam! Sesungguhnya engkau, andainya engkau datang mengadapKu dengan dosa-dosa sepenuh isi bumi, kemudian engkau datang menghadapKu tanpa engkau mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku akan mengurniakan untukmu keampunan sepenuh isi bumi.


SUBHANALLAH…
Segala puji bagiMu wahai Tuhan Ya Rahman, Ya Rahim, Ya ‘Afu, Ya Tawwab, Ya Ghaffar…

Sungguh! Kami hambaMu yang hina dina, tidak mampu kami menghulur dan memberi maaf seluas keampunanMu kepada saudara kami dek kesombongan dan keangkuhan kami.
Sungguh! Kami hambaMu yang alpa, menjadi hamba yang tidak bersyukur dek tenggelam dengan nikmat dan keseronokan dunia fana.

Astaghfirullahal’azim… moga kita sama-sama menghisah dan mengislah diri.

Lihatlah betapa Allah itu Al Wahhab, Yang Maha Memberi kepada hamba-hambaNya. Renunglah hadith di atas, betapa Allah itu Maha Memberi taubat kepada kita, hambaNya. Begitu banyak kerosakan dan kemungkaran yang kita lakukan di muka bumi, tanda tidak bersyukurnya kita kepada nikmat Allah. Tetapi Allah tidak pernah berdendam kepada hambaNya, malah menghamparkan seluas lautan keampunan bahkan lebih dari itu.

Renung kembali, bagaimana pula dengan kita? Pergaduhan, perpecahan, dan bermacam permusuhan yang berlaku dek kesombongan serta keangkuhan kita di muka bumi ini. Siapa kita? Fikirlah, siapa kita? Tuhankah kita? Tidak! Kita hanya hamba… Hamba kepadaNYA…

Kerana kita hamba, maka fikirkan dan renungkanlah sifat Allah Al Wahhab:

1. Allah memberi tanpa pinta dibalas

2. Allah memberi sebelum dipinta

3. Allah memberi berulang-ulang kali dan berterusan

4. Allah memberi segala sesuatu yang sangat berharga

5. Allah memberi sesuatu yang baik untuk menghasilkan kebaikan

Moga Allah Ya Wahhab terus meminjamkan sedikit sifat Al Wahhab-Nya kepada kita.
Hakikatnya sebagai hamba kita tidak punya apa-apa. Bahkan sedikit sifat pemurah yang ada pada diri kita saat ini jua adalah pemberian Allah. Bahkan jua segala sifat yang baik adalah pemberian daripadaNya. Lihat! Betapa Allah itu Maha Memberi…
SUBHANALLAH. Sama-sama fikir dan zikir….

~Ya Allah, kami ingin menjadi hambaMu yang baik di sisiMu, kami ingin merasai kemanisan dan keseronokan menjadi hambaMu.., bimbing dan bantulah kami Ya Allah~

Sumber rujukan: hadith 40, Solusi isu 14

No comments:

Post a Comment