Salam Maulidurrasul, setinggi-tinggi selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad. Saya kira tidak terlambat untuk mengucapkan salam maulidur rasul kerana sesungguhnya kita sentiasa perlu bersyukur dan bergembira dengan kehadiran seorang utusan Allah yang mulia ini. Kita tidak pernah melihat wajahnya, tidak pernah mendengar suaranya, tidak pernah bersalaman dengannya, tidak pernah juga berbicara dengannya. Namun kita yakin percaya dan beriman bahawa berpuluh ribu tahun dahulu, baginda hadir menyampaikan risalah Islam yang sangat indah.
Sedar dan ingatlah bahawa keimanan kita kepada Rasul adalah salah satu nikmat yang besar daripada Allah. Alhamdulillah, di saat ini setelah berpuluh ribu tahun Rasulullah meninggalkan umatnya, kita dipilih Allah di kalangan yang beriman kepada baginda dan seluruh para rasul dan anbiya’. Sedangkan di luar sana, masih ramai lagi yang mendustakan dan menolak ajaran Islam yang disampaikan Rasulullah S.A.W.
“Sampaikanlah dariku walau satu ayat”, itulah antara pesanan daripada baginda. Perjuangan Rasulullah menyampaikan risalah Islam tidak pernah terhenti selepas kewafatan baginda. Bahkan darah perjuangan baginda terus mengalir dalam setiap diri yang bergelar daie. Suka saya mengajak diri sendiri dan anda yang membaca coretan ini supaya bertanya kepada diri sendiri, sejauh mana telah kita laksanakan amanah ini.
Kita rasakan sudah banyak kerja dakwah yang kita buat, berlambak-lambak program dakwah yang kita anjurkan. Namun, kenapa masih ramai umat Nabi Muhammad yang alpa, lalai, rosak, hancur dek tipu daya dunia. Di manakah silapnya dakwah kita?
Sama-sama kita fikirkan…..
Sedarkah, kadang-kadang kita sibuk menjaga kepentingan diri sendiri. Sedang kita khusyuk berada di tikar sejadah sepanjang hari memohon keampunan untuk diri sendiri, mereka yang tenggelam terkapai-kapai meminta diselamatkan dari lautan nafsu dunia terus lemas dibawa arus duniawi. Air mata tak henti mengalir menangisi dosa diri di hadapan Allah, tapi kita tidak pernah menangisi nasib dan dosa masyarakat yang rosak di luar sana.
Sedang kita asyik menjaga ukhwah islam sesama kumpulan daie masing-masing, kita lupa untuk membina dan menjalin hubungan dengan masyarakat di luar yang memerlukan bimbingan dari golongan yang memahami agama. Pergi ke sana ke mari tak pernah berenggang daripada kumpulan kita, hingga golongan mad’u rasa rendah diri nak bersama kita. Akhirnya mereka jauh daripada kita, terus menjauhkan diri walau kita cuba mendekati.
Sedang kita sibuk hadir ke program ke sana ke mari, kita abaikan hak kepada sahabat dan mad’u. Kita langsung tak menjaga hati dan perasaan mereka, hingga mereka rasa tersisih dan tersinggung. Kita pujuk hati kita, “tak mengapa, Allah lebih tau apa yang aku buat,”. Namun hakikat yang berlaku, mereka berasa jelek dan kecewa dengan sikap kita. Inikah sikap da’i yang ingin kita pamerkan? Hingga hilang rasa hormat dan percaya dalam diri mereka untuk mendengar apa yang ingin kita sampaikan. Mereka menutup telinga dan kaki diangkat melangkah pergi menjauhi kita.
Sedang kita kelihatan hebat bercakap dalam meeting atau program, kita jadi bisu bila berhadapan dengan realiti masyarakat sebenar. Lidah jadi kelu, kaki jadi kaku bila melihat kemungkaran di depan mata, kita kata pada hati, cukuplah hati yang membenci maksiat yang kita lihat. Hati kita mengutuk sekeras-kerasnya perkara mungkar tersebut, namun pernahkah hati kita berbisik kepada Allah, “ Ya Allah, seperti mana kau kurniakan nikmat iman kepadaku saat ini, kurniakan jua kepada saudara semuslimku. Ampunkan dosa mereka, berilah hidayah kepada mereka.”?
Sedang anda membaca coretan ini saat ini, di luar alam maya ini, ramai insan yang memerlukan bantuan kita. Merekalah mad’u kita. Sama-sama kita bimbing mereka meniti laluan mencari redha dan rahmat Allah. Tundukkan ego kita, selidikilah di mana kesilapan kita, jangan pula kita menyalahkan mad’u sekiranya mereka memalingkan muka dari apa yang kita sampaikan. Benar, HIDAYAH ITU MILIK ALLAH, namun jangan pula dijadikan alasan untuk kita berhenti selepas sedikit usaha yang kita lakukan.
~Ya Allah, ampunkan segala kesilapan dan kesalahan kami. Kami sedar, terbeban di bahu kami satu amanah yang sangat besar. Namun kadang- kadang ada langkah dan hayunan kami yang tersalah rentak serta tersumbang alunannya. Beri kami kekuatan dan pandulah kami dalam meneruskan perjuangan RasulMu, amiin.~
~Ya Rasulullah, kami ingin benar berjumpa denganmu, melihat wajahmu, mendengar suaramu, berbicara denganmu. Namun, apakah kami layak andai sedikit benar usaha kami dalam meneruskan perjuanganmu. Bukan sahaja sedikit, malah banyak pula kekurangannya. Terasa malu untuk berhadapan denganmu wahai Rasulullah. Apakah berita dan khabar yang akan ku sampaikan kepadamu setanding dengan pengorbanan para sahabatmu. Tiada apa yang dapat kami banggakan dengan pengorbanan yang sedikit ini, namun kami bangga menjadi rantai mata perjuanganmu Ya Rasulullah. Syafaatkan kami ya Rasulullah, kami merinduimu...
Mungkin segala di atas berlaku pada saya dan juga pada anda. Malahan mungkin ada yang melihat perkara di atas sekadar perkara kecil dan tak perlu diperbesar-besarkan. Tetapi ingatlah.. Satu sel BARAH yang tumbuh dalam badan manusia mungkin dianggap tidak merbahaya, tetapi seandainya dibiarkan bertahun-tahun tidak diubati, ia mampu MEMBUNUH manusia itu. Sebelum ia menjadi BARAH dalam golongan da’i dan umat islam umumnya, sama-samalah kita mencegahnya bermula dengan perubahan diri sendiri.
Wallahua’lam…
~Nasihat untuk diri dan anda semua~ (^_^)
~Sama-sama zikir dan fikir~
No comments:
Post a Comment