Wednesday, February 23, 2011

Kemenangan ke-12 Pro-M Universiti Islam Antarabangsa



Oleh INTAN ABDULLAH

GOMBAK: Buat kali ke-12, kumpulan Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berjaya merangkul kemenangan bergaya selepas berjaya menewaskan kumpulan Aspirasi dengan memperolehi 23 kerusi daripada 26 yang dipertandingkan pada Pilihan Raya kampus (PRK) sesi 2010/11 baru-baru ini.

Menurut Ketua Pro M UIAM, Wan Mohd Hakimi Wan Ahmad kemenangan yang diperolehi oleh kumpulan berkenaan banyak didorong oleh komitmen pendokong dan penyokong kumpulan berkenaan yang konsisten bekerja keras tanpa mengenal erti jemu dan selesa dengan keadaan yang telah sedia ada.

"Alhamdulillah, kami dianugerahkan Allah kemenangan buat kesekian kalinya pada sesi ini bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan mahasiswa dengan aspirasi memartabatkan agenda kebajikan dan kecemerlangan," ujarnya kepada Harakah selepas Majlis Pengumuman Keputusan PRK di Experimental Hall UIAM baru-baru ini.

Pihaknya juga merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera Pro M yang bertungkus lumus bagi memastikan kemenangan tersebut - termasuk sokongan pihak pentadbiran universiti yang membantu menggalakkan mahasiswa keluar mengundi.

Sementara itu, timbalan beliau, Ubaid Abd Akla pula berkata kemenangan yang diperolehi tersebut membuatkan mereka terus matang dan berhasrat untuk berkongsi bersama oleh kampus-kampus lain yang turut mencipta kemenangan pada PRK kali ini.

"Kita akan mengadakan kerjasama dan bertukar-tukar idea dengan MPP IPTA lain yang telah berjaya bagi melaksanakan agenda dalam manifesto Pro M Nasional selain memperbaiki kelemahan yang ada.

"Selain itu, kami juga akan membuat pelan tindakan untuk terus memperkukuhkan kuasa dan sokongan mahasiswa terhadap Pro M," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa UIAM, Ustaz Fauzi Muda berkata pihaknya berpuas hati dengan peningkatan peratus keluar mengundi pad PRK kali ini iaitu 65.68 peratus berbanding 48 peratus pada sesi lalu.

walau bagaimanapun pihaknya tidak bercadang untuk mewajibkan mahasiswa untuk keluar mengundi pada pilihan raya akan datang sebagai jalan pintas mencapai sasaran peratusan yang diharapkan iaitu 70 peratus.

"Pihak jawatankuasa telah memberikan sokongan dan berusaha menggalakkan mahasiswa turun mengundi dengan menaikkan lebih banyak kain rentang, mengedarkan handbill serta menampal poster di sekitar kampus," ujarnya.

Langkah tersebut ujarnya dilihat menerima maklumbalas yang positif daripada mahasiswa terutamanya pihak yang mengambil bahagian dalam PRK ini.

No comments:

Post a Comment