Wednesday, February 23, 2011

Kemenangan ke-12 Pro-M Universiti Islam Antarabangsa



Oleh INTAN ABDULLAH

GOMBAK: Buat kali ke-12, kumpulan Pro-Mahasiswa (Pro-M) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berjaya merangkul kemenangan bergaya selepas berjaya menewaskan kumpulan Aspirasi dengan memperolehi 23 kerusi daripada 26 yang dipertandingkan pada Pilihan Raya kampus (PRK) sesi 2010/11 baru-baru ini.

Menurut Ketua Pro M UIAM, Wan Mohd Hakimi Wan Ahmad kemenangan yang diperolehi oleh kumpulan berkenaan banyak didorong oleh komitmen pendokong dan penyokong kumpulan berkenaan yang konsisten bekerja keras tanpa mengenal erti jemu dan selesa dengan keadaan yang telah sedia ada.

"Alhamdulillah, kami dianugerahkan Allah kemenangan buat kesekian kalinya pada sesi ini bagi meneruskan kesinambungan kepimpinan mahasiswa dengan aspirasi memartabatkan agenda kebajikan dan kecemerlangan," ujarnya kepada Harakah selepas Majlis Pengumuman Keputusan PRK di Experimental Hall UIAM baru-baru ini.

Pihaknya juga merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera Pro M yang bertungkus lumus bagi memastikan kemenangan tersebut - termasuk sokongan pihak pentadbiran universiti yang membantu menggalakkan mahasiswa keluar mengundi.

Sementara itu, timbalan beliau, Ubaid Abd Akla pula berkata kemenangan yang diperolehi tersebut membuatkan mereka terus matang dan berhasrat untuk berkongsi bersama oleh kampus-kampus lain yang turut mencipta kemenangan pada PRK kali ini.

"Kita akan mengadakan kerjasama dan bertukar-tukar idea dengan MPP IPTA lain yang telah berjaya bagi melaksanakan agenda dalam manifesto Pro M Nasional selain memperbaiki kelemahan yang ada.

"Selain itu, kami juga akan membuat pelan tindakan untuk terus memperkukuhkan kuasa dan sokongan mahasiswa terhadap Pro M," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa UIAM, Ustaz Fauzi Muda berkata pihaknya berpuas hati dengan peningkatan peratus keluar mengundi pad PRK kali ini iaitu 65.68 peratus berbanding 48 peratus pada sesi lalu.

walau bagaimanapun pihaknya tidak bercadang untuk mewajibkan mahasiswa untuk keluar mengundi pada pilihan raya akan datang sebagai jalan pintas mencapai sasaran peratusan yang diharapkan iaitu 70 peratus.

"Pihak jawatankuasa telah memberikan sokongan dan berusaha menggalakkan mahasiswa turun mengundi dengan menaikkan lebih banyak kain rentang, mengedarkan handbill serta menampal poster di sekitar kampus," ujarnya.

Langkah tersebut ujarnya dilihat menerima maklumbalas yang positif daripada mahasiswa terutamanya pihak yang mengambil bahagian dalam PRK ini.

Thursday, February 17, 2011

Ya Rasulullah... Kami Penyambung Perjuanganmu

Bismillahirahmanirrahim…



Salam Maulidurrasul, setinggi-tinggi selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad. Saya kira tidak terlambat untuk mengucapkan salam maulidur rasul kerana sesungguhnya kita sentiasa perlu bersyukur dan bergembira dengan kehadiran seorang utusan Allah yang mulia ini. Kita tidak pernah melihat wajahnya, tidak pernah mendengar suaranya, tidak pernah bersalaman dengannya, tidak pernah juga berbicara dengannya. Namun kita yakin percaya dan beriman bahawa berpuluh ribu tahun dahulu, baginda hadir menyampaikan risalah Islam yang sangat indah.

Sedar dan ingatlah bahawa keimanan kita kepada Rasul adalah salah satu nikmat yang besar daripada Allah. Alhamdulillah, di saat ini setelah berpuluh ribu tahun Rasulullah meninggalkan umatnya, kita dipilih Allah di kalangan yang beriman kepada baginda dan seluruh para rasul dan anbiya’. Sedangkan di luar sana, masih ramai lagi yang mendustakan dan menolak ajaran Islam yang disampaikan Rasulullah S.A.W.

“Sampaikanlah dariku walau satu ayat”, itulah antara pesanan daripada baginda. Perjuangan Rasulullah menyampaikan risalah Islam tidak pernah terhenti selepas kewafatan baginda. Bahkan darah perjuangan baginda terus mengalir dalam setiap diri yang bergelar daie. Suka saya mengajak diri sendiri dan anda yang membaca coretan ini supaya bertanya kepada diri sendiri, sejauh mana telah kita laksanakan amanah ini.

Kita rasakan sudah banyak kerja dakwah yang kita buat, berlambak-lambak program dakwah yang kita anjurkan. Namun, kenapa masih ramai umat Nabi Muhammad yang alpa, lalai, rosak, hancur dek tipu daya dunia. Di manakah silapnya dakwah kita?
Sama-sama kita fikirkan…..

Sedarkah, kadang-kadang kita sibuk menjaga kepentingan diri sendiri. Sedang kita khusyuk berada di tikar sejadah sepanjang hari memohon keampunan untuk diri sendiri, mereka yang tenggelam terkapai-kapai meminta diselamatkan dari lautan nafsu dunia terus lemas dibawa arus duniawi. Air mata tak henti mengalir menangisi dosa diri di hadapan Allah, tapi kita tidak pernah menangisi nasib dan dosa masyarakat yang rosak di luar sana.

Sedang kita asyik menjaga ukhwah islam sesama kumpulan daie masing-masing, kita lupa untuk membina dan menjalin hubungan dengan masyarakat di luar yang memerlukan bimbingan dari golongan yang memahami agama. Pergi ke sana ke mari tak pernah berenggang daripada kumpulan kita, hingga golongan mad’u rasa rendah diri nak bersama kita. Akhirnya mereka jauh daripada kita, terus menjauhkan diri walau kita cuba mendekati.

Sedang kita sibuk hadir ke program ke sana ke mari, kita abaikan hak kepada sahabat dan mad’u. Kita langsung tak menjaga hati dan perasaan mereka, hingga mereka rasa tersisih dan tersinggung. Kita pujuk hati kita, “tak mengapa, Allah lebih tau apa yang aku buat,”. Namun hakikat yang berlaku, mereka berasa jelek dan kecewa dengan sikap kita. Inikah sikap da’i yang ingin kita pamerkan? Hingga hilang rasa hormat dan percaya dalam diri mereka untuk mendengar apa yang ingin kita sampaikan. Mereka menutup telinga dan kaki diangkat melangkah pergi menjauhi kita.

Sedang kita kelihatan hebat bercakap dalam meeting atau program, kita jadi bisu bila berhadapan dengan realiti masyarakat sebenar. Lidah jadi kelu, kaki jadi kaku bila melihat kemungkaran di depan mata, kita kata pada hati, cukuplah hati yang membenci maksiat yang kita lihat. Hati kita mengutuk sekeras-kerasnya perkara mungkar tersebut, namun pernahkah hati kita berbisik kepada Allah, “ Ya Allah, seperti mana kau kurniakan nikmat iman kepadaku saat ini, kurniakan jua kepada saudara semuslimku. Ampunkan dosa mereka, berilah hidayah kepada mereka.”?

Sedang anda membaca coretan ini saat ini, di luar alam maya ini, ramai insan yang memerlukan bantuan kita. Merekalah mad’u kita. Sama-sama kita bimbing mereka meniti laluan mencari redha dan rahmat Allah. Tundukkan ego kita, selidikilah di mana kesilapan kita, jangan pula kita menyalahkan mad’u sekiranya mereka memalingkan muka dari apa yang kita sampaikan. Benar, HIDAYAH ITU MILIK ALLAH, namun jangan pula dijadikan alasan untuk kita berhenti selepas sedikit usaha yang kita lakukan.

~Ya Allah, ampunkan segala kesilapan dan kesalahan kami. Kami sedar, terbeban di bahu kami satu amanah yang sangat besar. Namun kadang- kadang ada langkah dan hayunan kami yang tersalah rentak serta tersumbang alunannya. Beri kami kekuatan dan pandulah kami dalam meneruskan perjuangan RasulMu, amiin.~

~Ya Rasulullah, kami ingin benar berjumpa denganmu, melihat wajahmu, mendengar suaramu, berbicara denganmu. Namun, apakah kami layak andai sedikit benar usaha kami dalam meneruskan perjuanganmu. Bukan sahaja sedikit, malah banyak pula kekurangannya. Terasa malu untuk berhadapan denganmu wahai Rasulullah. Apakah berita dan khabar yang akan ku sampaikan kepadamu setanding dengan pengorbanan para sahabatmu. Tiada apa yang dapat kami banggakan dengan pengorbanan yang sedikit ini, namun kami bangga menjadi rantai mata perjuanganmu Ya Rasulullah. Syafaatkan kami ya Rasulullah, kami merinduimu...

Moga kita sama-sama dapat menghisab diri, maaf andai ada terkasar bahasa dan terlanjur perkataan. Apa yang disampaikan di atas sekadar luahan hati seorang insan yang juga banyak kekurangan. Sesungguhnya, saya cuma ingin mengajak kita sama-sama berfikir dan mula melakukan perubahan, tidak berniat menghentam mana-mana pihak atau kumpulan.

Mungkin segala di atas berlaku pada saya dan juga pada anda. Malahan mungkin ada yang melihat perkara di atas sekadar perkara kecil dan tak perlu diperbesar-besarkan. Tetapi ingatlah.. Satu sel BARAH yang tumbuh dalam badan manusia mungkin dianggap tidak merbahaya, tetapi seandainya dibiarkan bertahun-tahun tidak diubati, ia mampu MEMBUNUH manusia itu. Sebelum ia menjadi BARAH dalam golongan da’i dan umat islam umumnya, sama-samalah kita mencegahnya bermula dengan perubahan diri sendiri.

Wallahua’lam…

~Nasihat untuk diri dan anda semua~ (^_^)
~Sama-sama zikir dan fikir~

Wednesday, February 16, 2011

Pro-M menang 13 kerusi tanpa bertanding di UIA

Sumber: Malaysiakini.com

Kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) telahpun memenangi tanpa bertanding 13 kerusi, termasuk merampas dua 'kubu kuat' pro-Aspirasi selepas penamaan calon ditutup hari ini.

Keputusan tersebut diumumkan oleh ketua jawatankuasa pemilihan, Fauzi Muda - yang juga pengetua Kolej Ali - di Galeri pameran kuliah senibina, UIA jam 3 petang tadi.

Dalam pilihan raya kampus tahun lalu, pro-M memenangi 17 daripada 24 kerusi fakulti yang dipertandingkan.

Bagi tahun ini, 26 kerusi yang dipertandingkan - bertambah dua kerusi baru di fakulti pendidikan, hasil desakan kumpulan tersebut sebelum ini.

Daripada jumlah tersebut, 14 kerusi dipertandingkan di kampus induk di Gombak manakala 12 kerusi lagi di kampus UIA Kuantan.

Timbalan pengerusi pro-M, Ubaid Abd Akla berkata, enam daripada kerusi tersebut dimenangi di tiga kuliah, iaitu kejuruteraan (2), teknologi maklumat (2) dan kuliah alam bina (2) - kesemuanya di kampus induk di Gombak.

Manakala tujuh kerusi lagi dimenangi di empat kuliah di kampus cawangan UIA Kuantan - iaitu kuliah sains (2), farmasi (2), perubatan (2) dan pergigian (1).

Ubaid berkata, pro-M berjaya mempertahankan kubu kuat mereka tanpa bertanding di kuliah sains, farmasi dan perubatan.

Pengundian akan diadakan pada 22 Februari ini yang membabitkan lapan kerusi di Gombak (kuliah undang-undang (2), ekonomi (2), ilmu wahyu dan sains sosial (2) dan pendidikan (2).

Di Kuantan pula, empat lagi akan dipertandingkan, iaitu kuliah sains bersekutu (2) dan kejururawatan (2).

Manakala kumpulan pro-Aspirasi pula menang tanpa bertanding satu kerusi di kuliah pergigian. Tahun lalu, kumpulan tersebut memenangi tujuh kerusi.

Sementara itu, Fauzi juga mengumumkan bahawa kelima-lima kerusi antarabangsa turut dimenangi tanpa bertanding.

Selain UIAM, lima lagi universiti akan mengadakan penamaan calon masing-masing esok, iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor.

RENUNG KEMBALI~



عن أنس قال: سمعت رسول الله يقول: (( قال الله تعالى: يا إبن آدم إنك ما دعوتني ورجوتني غفرت لك، على ما كان منك، ولا أبالي. يا إبن آدم، لو بلغت ذنوبك عنان السماء، ثم استغفرتني غفرت لك. يا إبن آدم، إنك لوأتيتني بقراب الأرض خطايا ثم لقيتني لا تشرك بي شيئا لأتيتك بقرابها مغفرة )) رواه الترمذي وقال: حديث حسن صحيح

Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi. Beliau berkata ia adalah hadis hasan sahih.

Daripada Anas r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Allah Ta'ala berfirman: Wahai anak Adam! Selagi mana engkau meminta, berdoa dan mengharapkan Aku, Aku akan ampunkan apa-apa dosa yang ada pada dirimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Seandainya dosa-dosamu banyak sampai mencecah awan langit kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, nescaya Aku akan ampunkan bagimu. Wahai anak Adam! Sesungguhnya engkau, andainya engkau datang mengadapKu dengan dosa-dosa sepenuh isi bumi, kemudian engkau datang menghadapKu tanpa engkau mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku akan mengurniakan untukmu keampunan sepenuh isi bumi.


SUBHANALLAH…
Segala puji bagiMu wahai Tuhan Ya Rahman, Ya Rahim, Ya ‘Afu, Ya Tawwab, Ya Ghaffar…

Sungguh! Kami hambaMu yang hina dina, tidak mampu kami menghulur dan memberi maaf seluas keampunanMu kepada saudara kami dek kesombongan dan keangkuhan kami.
Sungguh! Kami hambaMu yang alpa, menjadi hamba yang tidak bersyukur dek tenggelam dengan nikmat dan keseronokan dunia fana.

Astaghfirullahal’azim… moga kita sama-sama menghisah dan mengislah diri.

Lihatlah betapa Allah itu Al Wahhab, Yang Maha Memberi kepada hamba-hambaNya. Renunglah hadith di atas, betapa Allah itu Maha Memberi taubat kepada kita, hambaNya. Begitu banyak kerosakan dan kemungkaran yang kita lakukan di muka bumi, tanda tidak bersyukurnya kita kepada nikmat Allah. Tetapi Allah tidak pernah berdendam kepada hambaNya, malah menghamparkan seluas lautan keampunan bahkan lebih dari itu.

Renung kembali, bagaimana pula dengan kita? Pergaduhan, perpecahan, dan bermacam permusuhan yang berlaku dek kesombongan serta keangkuhan kita di muka bumi ini. Siapa kita? Fikirlah, siapa kita? Tuhankah kita? Tidak! Kita hanya hamba… Hamba kepadaNYA…

Kerana kita hamba, maka fikirkan dan renungkanlah sifat Allah Al Wahhab:

1. Allah memberi tanpa pinta dibalas

2. Allah memberi sebelum dipinta

3. Allah memberi berulang-ulang kali dan berterusan

4. Allah memberi segala sesuatu yang sangat berharga

5. Allah memberi sesuatu yang baik untuk menghasilkan kebaikan

Moga Allah Ya Wahhab terus meminjamkan sedikit sifat Al Wahhab-Nya kepada kita.
Hakikatnya sebagai hamba kita tidak punya apa-apa. Bahkan sedikit sifat pemurah yang ada pada diri kita saat ini jua adalah pemberian Allah. Bahkan jua segala sifat yang baik adalah pemberian daripadaNya. Lihat! Betapa Allah itu Maha Memberi…
SUBHANALLAH. Sama-sama fikir dan zikir….

~Ya Allah, kami ingin menjadi hambaMu yang baik di sisiMu, kami ingin merasai kemanisan dan keseronokan menjadi hambaMu.., bimbing dan bantulah kami Ya Allah~

Sumber rujukan: hadith 40, Solusi isu 14

Friday, January 7, 2011

Isu Pelantikan SUK Negeri Selangor

Assalamualaikum...

Moga kita sentiasa dalam redha Allah, moga Allah suka akan setiap kerja yang kita lakukan, moga Allah tidak murka...

Current issue...
Isu kerajaan Selangor, sultan Selangor, SUK, SPA, JPA dan macam-macam yang saya dengar daripada mulut sahabat-sahabat. Menjadi seorang pendengar sahaja? Terima bulat-bulat je? Maka saya memaksa(push) diri sendiri untuk mengikuti isu ini sebaiknya.

Isu pelantikan SUK Negeri Selangor timbul apabila pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai SUK yang baru di luar pengetahuan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.



Berikut adalah kronologi pelantikan SUK Negeri Selangor:

26 Oktober 2010

PSM memberi Nota Amalan kepada Dato’ Menteri Besar tentang prosedur pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri. Nota ini menyatakan bahawa:

i) Suruhunjaya Perkhidmatan Awam (SPA) akan menghantar senarai calon yang difikirkan layak ( Gred 54 ke atas ) kepada Menteri Besar.

ii) Menteri Besar kemudiannya memilih calon atau calon-calon yang sesuai dan menyerahkan senarai pendek kepada DYMM Sultan Selangor.

iii) Setelah Tuanku berkenan memilih nama yang dicadangkan MB akan menyerahkan semula nama tersebut kepada SPA untuk tujuan penyediaan dokumentasi lantikan.

26 Oktober 2010

Pusat Sumber Manusia memberi nota amalan kepada Pejabat Dato’ Menteri Besar tentang prosedur pelantikan Setiausaha Kerajaan yang baharu dan menyenaraikan 8 nama yang dicalonkan untuk pelantikan.

8 November 2010

Pejabat Menteri Besar menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan untuk memilih calon yang paling layak daripada 8 nama pegawai yang telah dicadangkan.

22 November 2010.

Jawatankuasa memulakan proses menemubual semua calon .

1 Disember 2010.

Mesyuarat EXCO bersidang. Dato’ Ramli Mahmud tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai pelantikan Setiausaha Kerajaan yang akan menggantikan beliau.

2 Disember 2010

Mesyuarat MTES bersidang Dato’ Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau.

3 Disember 2010

Jawatankuasa telah memaklumkan kepada pejabat Dato’ Menteri Besar bahawa 3 nama telah dipilih untuk dilantik serta memberitahu bahawa 2 calon tidak mahu mengambil bahagian

8 Disember 2010


Mesyuarat EXCO bersidang. Dato’ Ramli Mahmud tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau.

9 Disember 2010

Mesyuarat MTES bersidang Dato’ Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau.

15 Disember 2010

Mesyuarat EXCO bersidang. Dato’ Ramli Mahmud tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan menggantikan beliau.

16 Disember 2010

2pm: Mesyuarat MTES bersidang Dato’ Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan menganti beliau.

9pm: Majlis Persaraan untuk Dato’ Ramli Mahmud dan dihadiri oleh Dato’ Menteri Besar serta Setiausaha Politik. Dato’ Ramli tidak membuat apa-apa kenyataan atau perbincangan mengenai perlantikan setiausaha kerajaan yang akan mengganti beliau

17 Disember 2010

Dato’ Menteri Besar menulis surat kepada Istana untuk memaklumkan DYMM Sultan Selangor tentang prosedur pemilihan yang dijalankan Kerajaan Negeri dan tiga calon akhir telah dipilih dan Dato’ Menteri Besar terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan DYMM Sultan untuk pandangan dan nasihat. Ini selepas pemeriksaan teliti terhadap tiga calon ini.

20 Disember 2010

Dato’ Menteri Besar menulis surat kepada Pusat Sumber Manusia untuk memaklumkan Menteri Besar telah menghantar tiga nama calon kepada DYMM Sultan Selangor dan belum menerima maklum balas. Surat berkenaan juga memberitahu Dato’ Menteri Besar akan bercuti sehingga 30 Disember dan sebarang pengumuman mengenai Setiausaha Kerajaan Negeri perlu dirujuk kepada Menteri Besar.

21 Disember 2010

Istana menerusi Setiausaha Sulit kepada DYMM Sultan Selangor, Dato’ Muhamad Munir Bani menulis surat kepada Setiausaha Sulit kepada Dato’ Menteri Besar, Haji Mustapha.

Bersama surat itu dilampirkan surat bertarikh 10 Disember 2010 yang dialamatkan kepada Dato’ Ramli Mahmud sebagai balasan surat yang dihantar Dato’ Ramli bertarikh 3 Disember.

Surat 3 Disember itu memaklumkan kepada DYMM Sultan Selangor tiga calon yang layak.

Manakala surat 10 Disember memaklumkan kepada Dato’ Ramli bahawa DYMM Sultan Selangor telah berkenan dengan pelantikan Dato’ Muhamad Khusrin Munawi. Surat itu juga menyatakan Dato’ Ramli boleh membuat pengumuman pada 16 Disember 2010.

24 Disember 2010

Pejabat Menteri Besar menjawab surat bertarikh 21 Disember dari Dato’ Mohamad Munir bahawa Dato’ Menteri Besar tidak pernah diberitahu keputusan yang telah dibuat bertarikh 10 Disember 2010 itu. Sehubungan itu, Pejabat Menteri Besar memohon perkenan untuk mengadap DYMM Sultan untuk perbincangan.

27 Disember 2010

Dato’ Menteri Besar menerusi surat memohon untuk menghadap DYMM Sultan untuk perbincangan.

3 Januari 2011

Dato’ Menteri Besar menghadap DYMM Sultan Selangor. Dato’ Menteri Besar juga menulis kepada SPA menyatakan Kerajaan Negeri menolak pelantikan Dato’ Mohamad Khusrin dan tidak mengadakan majlis angkat sumpah menyimpan rahsia sehingga perkara ini selesai.

4 Januari 2011

Pejabat Dato’ Menteri Besar menulis surat kepada DYMM Sultan memohon supaya majlis angkat sumpah ditangguhkan sehingga Kerajaan Negeri dan SPA menyelesaikan perkara ini.

6 Januari 2011

Dato’ Menteri Besar dan barisan Exco hadir ke majlis angkat sumpah di Istana Bukit Kayangan sebagai taat setia dan kasih kepada DYMM Sultan dan DYTM Raja Muda tetapi tetap tidak menerima pelantikan Dato’ Mohamad Khusrin.

Wednesday, January 5, 2011

KESEDERHANAAN DALAM BERIBADAT
(Perkongsian Kuliah Riyadussolihin oleh Ust Imran)

Memetik dari sebuah hadis diriwayatkan oleh Muslim(hadisnya panjang)

Rasulullah bersabda: "Demi Allah yang jiwaku ada di tanganNya, seandainya kamu dapat berterusan dalam keadaan keimanan yang kamu rasakan ketika kamu berada di hadapanku dan di dalam zikir, tentu malaikat akan menyalami tanganmu di atas tempat tidurmu dan di dalam perjalananmu. Akan tetapi wahai Hanzalah, sesaat dan sesaat."

Hadis ini disabdakan oleh Rasulullah apabila baginda mendengar pengaduan seorang sahabat, Hanzalah yang mengatakan dirinya telah munafiq kerana di saat berada bersama Rasulullah di dalam majlis ilmu, beliau dan sahabat2 yang lain menangis teringat akan akhirat. Akan tetapi apabila pulang ke rumah, mereka bergembira dan berseronok, malah banyak lupa.
Maka hadis di atas adalah jawapan yang diberikan Rasulullah.

Apa yang telah dihuraikan oleh Ust Imran, dalam hadis di atas:

~Rasulullah mengumpamakan orang yang sentiasa dapat mengekalkan tahap keimanannya seperti mana ketika berada di majlis ilmu, maka malaikat akan memuliakannya sehingga datang malaikat ke tempat tidunya untuk bersalaman.
~Apa yang diingatkan dalam hadis ini, MANUSIA dan MALAIKAT adalah berbeza. Seorang hamba diciptakan Allah dengan nafsu, manakala malaikat dicipta bebas tanpa nafsu, sangat taat dan patuh kepada perintah Allah.
~Maka Rasulullah mengingatkan,"sesaat dan sesaat"... Ada waktu berkhulwahlah menghisab diri, mengingati mati, mengingati akhirat. Tetapi ambil juga masa untuk bergembira bersama keluarga dan sahabat, penuhilah hak mereka. Dan mengingati Allah itu setiap masa...

Dalam konteks kehidupan kita, ambillah waktu untuk memenuhi hak orang lain. Hak kepada Allah, agama, keluarga, sahabat2, keluarga, dan diri sendiri.

ISLAM adalah agama yang sangat indah. Islam tidak menyuruh kita bersikap keras pada sesuatu yang tidak perlu berkeras. Bersederhanalah dalam beragama. Moga kita sama-sama dapat praktikkan apa yang kita telah tahu, ameen...
العلم بلا عمل كالشجر بلا ثمر


***Diari Hidup Rasulullah*** ~sekadar perkongsian

Minggu ini, buku pilihan saya adalah DHR...
Topik yang tidak jauh beza, masih mengenai ibadat- Qiamullai (solat malam)



Memetik satu perenggan dalam buku ini:

Salah satu ciri solat malam Rasulullah adalah dengan membaca surah-surah yang panjang, yang mana tidak dapat diikuti oleh Aisyah. Isteri termuda Rasulullah ini selalui ditemui tertidur semasa sedang solat. Di sini, dapat dilihat sifat penyayang Rasulullah, baginda tidak menegur atau menasihati Aisyah kerana tidur semasa solat. Malah, semasa baginda membaca doa, baginda meletakkan kepala isterinya ke atas kedua belah pahanya. Akhirnya puteri Abu Bakar ini tertidur di atas pangkuan suaminya. Dia hanya terbangun apabila air mata agung menitis perlahan-lahan ke atas mukanya.

SUBHANALLAH... Itulah Rasulullah..

Rasulullah tidak menyuruh dan memaksa sesiapa beribadah berlebih-lebihan, cukuplah mengikut kemampuan. Jika mengantuk, maka tidurlah. Itu lebih baik daripada kita tahu apa yang kita kerjakan.

Aisyah meriwayatkan, Rasulullah berkata: " Apabila kalian bangun malam untuk solat, kemudian berat hendak membaca Quran sehingga tidak sedar apa yang dibacanya itu, sebaik-baiknya dia tidur lagi." (Hadis Riwayat Muslim)

Pada suatu malam, Rasulullah masuk ke dalam masjid dan ternampak tali terbentang antara 2 tiang. Baginda lalu bertanya, " Apakah ini?". Orang menjawab, "Itu milik Zainab. Sekiranya dia letih atau mengantuk, dia tidur di situ". Kemudian Rasulullah berkata, " Tanggalkan tali itu. Seseorang itu hanya solat apabila dia segar, dan apabila dia letih ataupun mengantuk, sebaik-baiknya dia tidur." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Wallahua'lam...

~Diibaratkan majlis ilmu itu sebahagian dari taman-taman syurga... SUBHANALLAH~

Sekian Lama...


Assalamualaikum...

Sudah lama benar saya membiarkan ruang kecil ini kekosongan, sepi dari sebarang bicara...
Mohon maaf, masih mencari kesempatan dan kekuatan untuk memastikan perjuangan ini tidak berhenti sebegitu sahaja. Tiada alasan yang ingin saya lontarkan. Manusia memang suka beralasan, beralasan dengan orang lain dan juga dengan diri sendiri!!!

INSYAALLAH, saya akan teruskan perjuangan ini...


Wallahua'lam