Monday, March 1, 2010

HELAIAN YANG HILANG :(

Alhamdulillah, saya berkesempatan mencoretkan kembali sesuatu di laman blog yang tidak seberapa ini selepas hampir 2 minggu ia diabaikan.Hari ini (ahad) saya selamat tiba di kampung. Selepas habis final exam, saya tidak terus pulang ke rumah. InsyaAllah, mengisi waktu lapang ketika itu dengan perkara yang sangat berfaedah dan bermanfaat.

Menyambung kembali bahagian ‘helaian yang koyak’… Tetapi kali ini bukan setakat helaian buku yang koyak, bahkan kesemua helaian buku tersebut telah hilang. Dalam erti kata lain, buku tersebut telah hilang. Macam mana boleh hilang???

Selepas pulang dari usrah minggu lepas, saya meletakkannya di atas meja di dalam bilik study. Pada petang itu juga, saya mengemas semua buku-buku untuk dibawa pulang. Tetapi buku tersebut saya biarkan sahaja di atas meja. Niat saya ingin menyambung pembacaan. Namun niat saya itu terbengkalai begitu sahaja kerana saya perlu fokus kepada exam terakhir pada hari Isnin. Sepanjang tempoh tersebut, saya langsung tidak mengendahkan buku tersebut, sehinggalah pada hari saya ingin bergegas meninggalkan mahallah (hari Selasa), saya pergi ke bilik study untuk mengambilnya. Saya terkejut, buku tersebut tiada di situ. Saya mencari di semua meja sahabat-sahabat lain, mungkin ada sesiapa yang mengalihkannya. Puas saya menyelongkar di celah-celah buku yang masih berbaki di dalam bilik study, namun tak juga ditemui. Dalam kekalutan mengejar waktu ketika itu, hati saya mengalah, “ biarlah… tak sempat dah nak cari ni”. Saya redha…

Di saat ini, apabila difikirkan kembali, saya rasa agak terkilan. Walaupun buku itu telah lama dibeli, hampir 2 tahun, namun masih ada beberapa bahagian yang belum dibaca. Kiranya buku tersebut masih belum dihadam. (sikap yang tidak bagus)

Saya memujuk hati…. Hakikatnya buku tersebut adalah pinjaman daripada Allah cuma. Seperti juga nyawa dan segala nikmat serta rezeki yang kita kecapi tika ini, semuanya sekadar pinjaman daripada Allah. Allah berhak mengambilnya kembali dari sisi kita apa-apa sahaja dan pada bila-bila masa. Kerana segalanya milik Allah. Manusia tak punya apa-apa, bahkan di bumi kita berpijak sekarang jua adalah milik Allah. Betapa kerdilnya kita. SUBHANALLAH….

Menyebut mengenai nyawa adalah pinjaman Allah, saya berfikir sebentar. Kadang-kadang kita terlalu sibuk dengan urusan dunia sehingga terlupa dari mengingati suatu perkara yang saya kira ia mampu menghapuskan segala kenikmatan dunia, iaitu kematian…
Allah berfirman:

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati.
Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan.”
(QS. Al Ankabut:57)


Setiap yang hidup di muka bumi ini ditakdirkan untuk mati. Tanpa pengecualian, mereka semua akan kembali kepada penciptanya. Saat ini, kita tidak pernah menemukan jejak orang-orang yang telah meninggal dunia. Mereka yang saat ini masih hidup dan mereka yang akan hidup juga akan menghadapi kematian pada hari yang telah ditentukan. Hanya Allah yang memiliki kuasa untuk memberikan nafas bagi kehidupan atau untuk mengambilnya. Semua makhluk akan hidup sampai suatu hari yang telah ditentukan dan kemudian akan mati; Allah menjelaskan dalam Al-Quran tentang perilaku manusia pada umumnya terhadap kematian dalam ayat berikut;

Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya,
maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu,
kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah),
yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata,
lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.”
(QS.Al Jumu’ah:8)


Kebanyakan kita menghindari untuk berfikir mengenai kematian. Dalam kehidupan moden zaman ini, manusia hanyut dalam menguruskan urusan-urusan dunia yang sangat menjauhi kematian. Kehidupan di dunia adalah satu ujian daripada Allah dalam menguji sejauh mana keimanan dan ketaqwaan hamba-hambaNya. Sepertimana Allah telah berfirman:

"Tiap-tiap diri akan merasakan kematian. Dan sesungguhnya pada hari
kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari
neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah
beruntung. Kehidupan dunia itu tiada lain kesenangan yang
memperdayakan. Kamu sungguh-sungguh akan diuji terhadap hartamu
dan dirimu. Dan (juga) kamu sungguh-sungguh akan mendengar dari
orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu, dan dari orang-orang
yang mempersekutukan Allah, gangguan yang banyak dan menyakitkan
hati. Jika kamu bersabar dan bertakwa, maka sesungguhnya yang
demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan."
QS Ali Imran : 185-186)


Katakanlah: “Lari itu sekali-kali tidaklah berguna bagimu,
jika kamu melarikan diri daripada kematian atau pembunuhan,
dan jika (kamu terhindar daripada kematian)
kamu tidak juga akan mengecap kesenangan kecuali sebentar saja.”
(QS. Al Ahzab:16)

Moga Allah memberi hidayah kepada kita setiap masa, agar kita tidak dilalaikan dari urusan dunia yang melampau. Moga setiap urusan yang dilakukan dikira sebagai amalan di sisi Allah SWT dan mampu menjadi wasilah untuk mendekatiNya. Insyaallah….
Sebagaimana hilangnya helaian-helaian buku tersebut, begitulah jua nyawa dan kehidupan kita. Hanya pinjaman dan bisa diambil pada bila-bila masa. Namun ingatlah, Allah Maha Pengasih dan Maha Penyayang, Dia sentiasa memberi peringatan dan nasihat kepada hamba-hambaNya.

Persoalannya sama ada mata hati kita mampu melihat atau mata hati kita telah buta untuk menilainya? Sama-sama kita fikirkan…
wallahua’lam

No comments:

Post a Comment