Wednesday, March 24, 2010

Tenggelam Dalam Cinta...

‘Tenggelam aku dalam cinta…..’

Telinga pantas menangkap satu baris lagu yang sedang berkumandang di dalam bas menuju ke Kuala Lumpur. Saya baru sahaja menutup buku Langit Ilahi, selesai membaca beberapa bab yang menyentuh tentang ketuhanan.
Perjalanan menuju ke Kuala Lumpur bersama kakak dan anak saudara dihidangkan dengan pemandangan yang begitu menyakitkan mata. Bosan dan sakit hati melihat aksi mesra pasangan muda zaman sekarang di dalam bas, saya beralih tempat ke kerusi belakang yang kosong dan mengeluarkan buku hasil tulisan Hilal Asyraf. Niat awal sekadar mahu membelek-belek sahaja, namun membaca satu bab mengheret saya menyoroti bab yang seterusnya. Membawa saya berfikir dan menyelami akan hakikat dan matlamat kehidupan seorang hamba, setelah sekian lama hampir tenggelam dalam cinta. Cinta dunia…

Terasa terpukul mendengar bait- bait lagu tersebut walaupun mesej yang disampaikan melalui lagu itu adalah sekadar cinta kepada manusia, lagu cintan cintun anak muda sekarang. Namun di saat selesai menyelami sebentar buku Langit Ilahi, ibarat terkena batang hidung sendiri.

Benar! Matlamat sebenar berkelananya seorang hamba adalah ibadah kepada Allah, setiap perkara yang dilakukan, baik berdiri, berjalan, makan, minum, bekerja dan sebagainya adalah satu ibadah kepada Allah. Tidak saya nafikan apa yang diingatkan oleh Hilal Asyraf dalam bukunya.
Namun inilah kita semua yang bergelar hamba. Seringkali lalai dan alpa akan hakikat diri hamba sebenar. Hamba bisa bertukar tuan. Tidak bertuankan Tuhan sebenar, tetapi bertuankan nafsu, yang akhirnya mengheret diri hamba menjadi hamba dunia dan nafsu. Ya Allah, ampunilah dosa hamba-hambaMu dan bimbinglah kami kembali andai kami berpaling dari jalanMu…

Daripada satu lagu kepada satu lagu berkumandang di dalam bas. Satu lagu menarik minat saya untuk menghayati mesej yang ingin disampaikan.

“Aku insan yang lemah,
hanya mampu berserah,
ingin sekali bertemu untuk mencurah rindu”

Khusyuk saya mendengar setiap bait lagu tersebut, rupanya lagu yang dituju kepada kekasih hati. Namun mari kita berfikir kembali, siapakah sebetul dan sepatutnya berada di hati kita? Juga siapakah yang selayaknya kita rindu untuk bertemu. Alangkah indahnya sekiranya bait-bait lagu di atas dituju kepada Sang Pencipta, tuan kepada hamba-hamba yang sedang berkelana di dunia ini. Bukanlah kepada ‘si dia’ yang cuma seorang hamba di dunia.
Inilah hamba…
Hamba-hamba semua sedar bahawa diri hanyalah insan yang lemah dan hanya mampu berserah, sepertimana yang diungkapkan dalam lagu tersebut. Namun Ya Allah, hambaMu ini sering tergelincir di jalan mujahadah yang licin ini, lantas hampir lemas dan tenggelam dalam cinta dunia…

Bimbinglah kami wahai pemilik jiwa hamba… Moga kami lebih berhati-hati melangkah di jalan menuju kepadaMu…

Sekadar renungan buat kita sama-sama berfikir dan berzikir…

18 Mac 2010

No comments:

Post a Comment