Wednesday, March 24, 2010

Si Anak Kecil Yang Bertatih

Hampir 2 minggu berada di rumah, namun masih belum ada aktiviti yang tersusun dirancang. Kebanyakan masa diluangkan untuk berada di hadapan laptop, jari tak berhenti menari-nari di dada keyboard mengikut rentak tuannya. Idea datang melimpah di ruang legar fikiran. Namun tak semuanya dapat diterjemahkan oleh setiap tarian hujung jari. Mungkin di peringkat permulaan, saya masih merangkak-rangkak dalam dunia penulisan ini. InsyaAllah, ini langkah pertama sebelum mahu melangkah lebih jauh lagi, mengorak langkah ke dunia penulisan sebenar. Sepertimana Hilal Asyraf, bermula menulis di blog, akhirnya dia mampu menghasilkan beberapa buah buku. Tidaklah terlalu berharap menjadi sepertinya, namun tidak salah rasanya meletakkan suatu target dan perancangan dalam bidang yang diminati. Yang penting usaha berterusan, tidak sekadar angan-angan yang ibarat debu, hilang apabila ditiup angin (motivasi untuk diri sendiri)

Menjenguk seketika di halaman Saiful Islam.com, alhamdulillah memberi saya peluang berfikir dan berzikir, saya disedar dan diingatkan kembali akan pesan Hassan al-Banna, “kewajipan yang kita ada melebihi waktu yang kita ada”. Tersentak dengan kata-kata Ustaz Hasrizal, ‘tidakkah pernah rasa berdosa, andai terkeluh bicara, “bosan, tak tahu nak buat apa!” ‘ InsyaAllah selepas berakhirnya cuti sekolah yang bakal tiba, saya sudah meletakkan beberapa perancangan bagi menjadikan cuti 4 bulan ini tidak terbuang begitu sahaja. Tidak akan timbul lagi istilah ‘bina badan di rumah’,hu2, yang biasa digunakan oleh saya dan rakan-rakan sekolah ketika cuti panjang selepas SPM, perlu diubah mind setting sebegitu. Sebaiknya, saya manfaatkan waktu lapang yang ada tika ini untuk mengasah minat yang semakin membuak-buak dalam dunia penulisan. Segan untuk saya gunakan istilah ‘mengasah bakat’ kerana saya tidak pasti sejauh mana bakat yang ada dalam diri. Justeru, menjadikan blog sebagai landasan utama untuk bertatih ke dunia penulisan sebenar. Ibarat seorang anak kecil, begitulah ibaratnya diri ini. Bermula dari mengiring, meniarap, merangkak dan sekarang dalam proses bertatih, kerapkali terjatuh namun akan cuba bangun kembali. InsyaAllah…



Kadang-kadang saya terfikir, adakah masa terbuang begitu saja, tiap-tiap hari ‘exicted’ untuk menghasilkan sekurang-kurangnya satu hasil penulisan. Namun seperti yang saya katakan, saya tak ubah seperti anak kecil yang sedang bertatih. Saya memerlukan dua hari untuk menghasilkan satu hasil penulisan yang bagi saya betul-betul complete dan sempurna(berpuas hati dengan hasilnya), walaupun bukanlah terlalu panjang yang hendak dihasilkan. Itulah yang dikatakan masih setahun jagung, masih memerlukan bimbingan.

Teringat saya akan kata-kata seorang sahabat:
“Saya pernah dengar, orang yang menulis blog ni, dia akan ketagih nak post di blognya bila dah ada idea yang datang. Kadang-kadang tu sampai duduk berjam-jam depan blog” lebih kurang begitulah katanya.

Saya membisu, tak memberi apa-apa respon, berfikir barangkali. Ketika itu, saya baru sahaja mewujudkan blog sendiri. Jadi, tak berani memberi apa-apa komen. Bimbang terkena batang hidung sendiri satu hari nanti. “No comment”…

Tetapi sekarang, saya mengakui sedikit sebanyak kata-kata sahabat saya. Perkara tersebut terjadi kepada diri sendiri tika ini. Nasib baiklah saya tiada kemudahan online 24 jam. Bimbang juga andai perkara itu berlaku pabila saya dapat menghadap blog 24 jam. Saya lebih menumpukan kepada menulis, menulis dan terus menulis. Ada yang boleh dikongsi di halaman blog dan ada juga yang menjadi koleksi simpanan sendiri. Sedikit sebanyak mengajar saya untuk bersabar apabila terpaksa menunggu waktu yang sesuai untuk pergi ke cc, tidak lain tidak bukan, ‘posting’di blog.

Kembali mengajak anda semua berfikir, adakah membazir waktu? Masih belum terjawab…

Kepada mereka yang minat menulis atau berkarya, semestinya menjadi satu kepuasan apabila melihat hasil sendiri berjaya disiapkan, walau sependek dan seringkas cuma. Berbeza kepuasannya dengan sekadar cut and paste dari sumber tertentu. Lebih-lebih lagi apabila hasil curahan idea mampu memberi manfaat kepada orang lain, apabila ia diadun dengan mesej yang terkandung peringatan dan mengajak manusia berfikir dan berzikir. Point utama di sini, kembali kepada niat sebenar. Adakah kepuasan yang dicari sekadar untuk diri sendiri atau manfaat insan lain? Moga apa yang dihasilkan dikira oleh Allah sebagai satu amalan, salah satu wadah mengajak manusia kearah kebaikan, terus berfikir dan berzikir.

Jadi tidak salah jika saya nafikan di sini, menulis bukanlah satu aktiviti yang membazir waktu atau melalaikan. Malah kebaikannya juga terpantul kepada diri penulis sendiri. Mana mungkin mereka yang menulis sekadar menghamburkan omong kosong tanpa isi dan fakta. Pasti memerlukan rujukan dari sumber yang dipercayai. Justeru, menulis bukan mudah seandainya kita tidak berusaha untuk menambah ilmu di dada. Sentiasa mencari bahan bacaan, membaca segala jenis bahan bacaan, sebagai harta di dada jua bekalan sepanjang perjalanan. Sekadar pesanan bersama…

Sebagai anak kecil yang bertatih dalam dunia ini, saya masih tidak mampu memulakan penulisan mengenai isu semasa. Mengulas dan mengupas mengenai isu semasa memerlukan kita peka kepada setiap isu yang berlaku. Mungkin kerana kurang mengikuti perkembangan isu semasa, saya masih belum dapat mengupas sedikit sebanyak mengenainya. Bila saya mampu melakukannya? Jangan sekadar berfikir, tindakan seterusnya perlu disusuli…

Juga masih terlalu banyak kekurangan yang perlu diperbaiki dan perlu dibaiktambah dalam penulisan. Kadang-kadang ia sekadar indah dibaca, namun tiada mesej yang terkandung. Minta dijauhkan dari sekadar menyulam kata-kata indah, namun hakikatnya terpalit seribu kehodohan. Na’uzubillah.

Moga sedikit usaha ini dikira sebagai satu amalan di sisi Allah, moga dihadirkan hati dalam setiap penulisan, dalam menjadi wadah perjuangan menyeru makhluk mendekati Pencipta. Teruskan berjuang di medan mata pena kerana dakwatnya tidak sesekali kan kekeringan.

Bukan kerana nama hamba ini menulis, terpanggil rasa mengajak manusia berfikir dan berzikir. Fikir zikir… Segala puji bagi Allah.

Wallahua’lam…

10 Mac 2010

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. salam anje..teruskan perjuangn ye dlm bidang penulisan ni..adik tau anje mmg mempunyai kelebihan 2..cuma xterpancar je sblm nie..mgkin adik ada blog, tp xmampu@xreti nk menulis cm anje..xsemua yg ada kelebihan menulis nie..adik setakat copy n paste untuk perkongsian bersama dari apa yg dibaca boleh la..huhu..mint menulis..tp menulis khat la..=)pape pn teruskan ye..adik sokong dari belakang n adik nk tengok suatu hari nnt anje ada hasilknkarya anje sendiri..bleh??=)

    ReplyDelete